NEGARA KOTA | Negara kota ialah sebuah negeri yang merdeka atau hampir merdeka yang aktiviti politik dan budaya dilaksanakan dalam satu pusat bandar. Negara kota sering diperintah oleh seorang raja, diktator atau sekumpulan kecil penduduk yang berkuasa. Dalam sesetengah hal, kehidupan politik dikuasai oleh penghuni bandar. Penduduk bandar dan luar bandar mempunyai kuasa politik. | UMUM | |
PERANG PELOPONNESIA | Perang Peloponnesia ialah pertempuran antara negara kota Yunani, iaitu antara Athens dengan Sparta dari tahun 431 S.M. hingga tahun 404 S.M. Mengikut Thucydides, ahli sejarah Yunani yang hidup semasa peperangan ini, Liga Peloponnesia mengandungi Sparta dan perikatannya telah menyerang empayar Athenia kerana bimbangkan kuasa Athens bertambah kuat. | UMUM | |
ACROPOLIS | Acropolis ialah pusat agama dan tentera sesebuah negara kota di Yunani purba. Orang Yunani biasanya membina kubu di atas bukit, yang dinamakan acropolis, di dalam atau dekat kota untuk pertahanan. Ia kerap merupakan tempat pertama yang diduduki. Semasa kegemilangan era Mycenaea (1400–1200 S.M.), istana raja biasanya dibina di atas bukit. Istana juga menjadi kubu tentera dan tempat perlindungan bagi warga kota semasa kecemasan. Kuil-kuil terpenting bagi negara kota juga dibina di sini, termasuk rumah berhala dewa mereka. | UMUM | |
SPARTA | Sparta, juga dikenali sebagai Lacedaemon, ibu negeri Laconia, pada suatu masa dahulu merupakan negara kota yang paling berkuasa di Yunani purba. Sparta masyhur dengan kuasa ketenteraannya dan kesetiaan askarnya. Penghormatan yang paling tinggi bagi seorang penduduk Sparta ialah terkorban semasa mempertahankan negerinya. Ketahanan, kebencian terhadap benda mewah, dan ketegasan yang sukar digoyah, masih disebut dalam perbandingan sebagai sikap atau sifat baik penduduk Spartan. | UMUM | |
THEBES | Thebes ialah bandar purba di Boeotia, kawasan di tengah Yunani. Pada suatu masa, Thebes ialah negara kota paling berkuasa di Yunani, dan merupakan ketua persekutuan bandar-bandar yang dikenali sebagai Liga Boeotia. Bandar ini terletak di bahagian tenggara Boeotia, kira-kira 48 kilometer ke utara Athens. Menurut legenda purba, Cadmus, putera dari Phoenicia, mengasaskan Thebes. Bandar ini muncul dalam legenda Oedipus, yang hampir sama terkenal dengan kisah Troy (lihat Oedipus ). | UMUM | |
AEROPAGUS | Areopagus ialah majlis tertua dan paling dihormati pada zaman Athens purba. Warganegara ternama yang memegang jawatan sebagai archon, salah satu jawatan tertinggi di negara kota Athens, ialah anggota Aeropagus seumur hidup. Pada sejarah awal Athens, Areopagus mempunyai kuasa pentadbiran dan kuasa perlembagaan. Kira-kira pada tahun 600 S.M., sebuah kumpulan baru, Majlis Empat Ratus mengambil alih banyak tugas Areopagus. Kira-kira tahun 450 S.M., kebanyakan tugas dan keistimewaan Areopagus dipindahkan ke mahkamah awam. Tetapi Areopagus masih mengadili kes bunuh dan masih berkuasa untuk mendenda rakyat yang didapati bersalah kerana boros, biadab atau melampau. Majlis archon dinamai sempena nama Aeropagus atau Hill of Ares, iaitu tempat majlis itu bermesyuarat. Lihat juga Solon . | UMUM | |
NEGARA POLIS | Negara polis, berlaku apabila kerajaan sesebuah negara atau unit politik membenarkan agensi penguatkuasaan undang-undang negara itu mengekalkan keamanan melalui ketakutan rakyat. Dalam keadaan ini, pihak polis tidak lagi tertakluk kepada undang-undang atau kekangan lain yang biasanya mengehadkan tindakan mereka dalam sebuah negara demokrasi berperlembagaan. Pihak polis boleh merisik sesiapa sahaja tanpa menghiraukan privasi individu. Mereka juga boleh menangkap, memenjarakan, membunuh, atau membuang negeri sesiapa sahaja tanpa sebarang sebab. Pada zaman dahulu, negara kota Yunani, Sparta, merupakan sebuah negara polis yang paling lengkap. Pada tahun 1990-an, taktik negara polis ini sering digunakan oleh golongan fasis dan negaranegara komunis. Lihat juga Polis rahsia. | UMUM | |
THUCYDIDES | Thucydides (460?–400? S.M.), ahli sejarah Yunani, menjadi ahli sejarah pertama di dunia yang bercita-cita untuk mencatat sejarah yang tepat dan tidak berat sebelah yang juga boleh mendedahkan perjalanan sifat kemanusiaan semula jadi dalam masyarakat. Bahan sejarahnya ialah perang besar di antara dua negara kota Yunani, Athens dan Sparta . Perang ini berlaku dari tahun 431 S.M. hingga tahun 404 S.M. Catatan Thucydides yang terkenal, History of the Peloponnesian War , berakhir pada tahun 411 S.M. | UMUM | |
ORANG IONIAN | Orang Ionian ialah sekumpulan orang Yunani purba. Mereka tinggal di beberapa bahagian Peloponnesus (bahagian selatan semenanjung Greece) sebelum tahun 1100 S.M. Kumpulan lain orang Yunani yang dinamai Dorian menyerang Peloponnesus pada akhir tahun 1100-an. Untuk menyelamatkan diri daripada penyerang itu, ramai orang Ionian lari ke bahagian timur Greece yang dikenali sebagai Attica. Sesetengah orang Ionia ini menjadi nenek moyang kepada orang yang tinggal di Athens apabila ia berkembang menjadi bandar raya bertaraf negara kota di Attica. Orang Ionian yang lain berlayar merentasi Laut Aegean dan menduduki Ionian , sebuah wilayah di sepanjang pantai barat Asia Kecil (Turki kini). | UMUM | |
KOTA TAMPAN | KOTA TAMPAN, tapak arkeologi yang tertua di Semenanjung Malaysia berusia 30 000 hingga 34 000 tahun. Kota Tampan terletak lebih kurang 5 km dari pekan Lenggong, Perak. Kawasan yang luas ini merangkumi Kampung Kota Tampan, Air, Bukit Kota Tampan, Kampung Baru Kota Tampan, Ladang Kota Tampan dan Kampung Kota Tampan. Sebelum penemuan Kota Tampan, prasejarah di Semenanjung Malaysia hanya menjangkau 6000 tahun dahulu, iaitu tapak Gua Cha di Kelantan. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bandar/Negeri/Negara/Tempat |