NOTA KAKI | Nota kaki ialah nota yang dicetak dalam huruf kecil di sebelah bawah sesuatu halaman. Ia digunakan untuk memberi maklumat yang terlalu panjang atau terlalu terperinci untuk dimasukkan ke dalam kenyataan yang asal. Nota kaki kadangkala digunakan untuk menerangkan sesuatu perkataan atau idea yang mungkin mudah disalahertikan, tetapi biasanya ia hanyalah memetik sumber atau kewibawaan untuk menjelaskan apa yang dikatakan oleh pengarang. Nota kaki membantu memendekkan ayat dan membebaskannya daripada fakta yang berlebihan. | UMUM | |
NOTA JANJI | Nota janji ialah janji tidak bersyarat serta tak boleh mansuh yang dibuat secara bertulis untuk membayar sejumlah wang tertentu apabila dituntut ataupun pada waktu yang telah ditetapkan kepada orang yang dinamakan. Nota janji biasanya berupa janji hendak membayar balik wang yang telah dipinjamkan untuk tujuan perniagaan. Jumlah yang harus dibayar balik itu biasanya lebih besar daripada jumlah yang dipinjam. Perbezaannya ialah faedah bagi pinjaman tersebut. Orang yang menandatangani nota tersebut dikenali sebagai pembuat . Orang yang akan dibuat bayaran kepadanya dikenali sebagai penerima . Tarikh apabila bayaran itu perlu dibuat dikenali sebagai tarikh tebus . | UMUM | |
SHOSTAKOVICH, DIMITRI | Shostakovich, Dimitri (1906–1975) ialah penggubah Rusia yang paling penting. Pendidikan muzik dan kerjayanya hanya di Kesatuan Soviet (lihat Kesatuan Republik Sosialis Soviet). Karya utamanya ialah 15 simfoni dan 15 kuartet alat tali. Dia juga menulis konserto, lagu, nota muzik filem, balet, dan opera. Gubahannya yang paling popular termasuk “Polka” yang rancak daripada balet The Golden Age (1930). | UMUM | |
MONET, CLAUDE | Monet, Claude (1840–1926), pelukis Perancis dan pemimpin terkemuka dalam gerakan impresionis. Dia mempengaruhi seni lukis dengan melukiskan tindak balas spontan peribadinya kepada lukisan pemandangan luar atau peristiwa. Pelukis awal cuba menggambarkan kajian di luar secara pantas seperti trengkas. Kajian itu digunakan sebagai “nota” untuk lukisan gambar yang lebih hebat di studio. Monet ialah pelukis yang pertama dan paling penting menggunakan kesan impresi pemandangan di luar untuk menjadikan hasil kerja yang sempurna. Dia amat tertarik dengan kesan cahaya luaran dan keadaan sekeliling. Kepekaannya tentang perkara tersebut dapat dilihat dalam Rouen Cathedral (1895), yang diterbitkan semula dalam rencana Seni lukis, dan dalam La Grenouillere (1869). | UMUM | |
SCHOENBERG, ARNOLD | Schoenberg, Arnold (1874–1951), mungkin merupakan penggubah muzik yang paling berpengaruh pada tahun 1900-an. Nama Schoenberg juga dieja Schönberg. Pada tahun 1908, Schoenberg mula menulis muzik yang atonal , iaitu muzik yang kurang satu kekunci. Penggunaan atonal akhirnya membawa kepada pembentukan sistem 12 nada. Dalam sistem 12 nadanya, bahan melodi dan harmoni nada adalah berdasarkan urutan khusus 12 nota pada skala kromatik yang dikenali sebagai baris atau set 12 nada. Cara gubahan ini dikenali sebagai serialisme. | UMUM | |
SURAT-MENYURAT | Surat-menyurat ialah satu kaedah komunikasi bertulis. Orang menulis surat untuk urusan perniagaan dan untuk tujuan peribadi. Surat urus niaga umumnya lebih rasmi daripada surat peribadi. Surat urus niaga termasuk untuk tujuan memohon pekerjaan, surat bantahan, surat untuk jualan menjual barangan dan surat peringatan. Surat peribadi termasuk surat kiriman antara anggota keluarga atau sahabat, surat undangan, dan nota ucapan terima kasih. | UMUM | |