Shahnon Ahmad, Dato’ (1933– ) ialah penulis, pengkritik sastera, dan ahli politik. Dia merupakan penerima Anugerah Sasterawan Negara yang kedua (1982). Shahnon juga merupakan pelopor penerapan konsep Islam dalam kesusasteraan Melayu. Novel Shahnon yang terkenal, Ranjau Sepanjang Jalan (1969) mengisahkan kemiskinan keluarga petani di Banggul Derdap, Sik, Kedah yang diwakili oleh Lahuma bersama-sama isteri, Jeha, serta anak-anaknya. Novel ini diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, Jepun, Sweden, Rusia, Iceland, Belanda, dan Denmark. Di samping itu, novelnya yang berunsur Islam seperti al-Shiqaq (1986), Umi dan Abang Syeikul (1988), dan Tuk Guru (1988) menampilkan suatu pendekatan baharu dalam menyampaikan kesedaran beragama dan pelaksanaannya. Shahnon juga menghasilkan novel-novel yang berkaitan dengan fenomena politik semasa yang berlaku di tanah air seperti tergambar dalam novelnya Menteri (1967), Perdana (1969), Tunggul Gerigis (1988), Patriarch (1991), Sutan Baginda (1990), dan Shit (novel satira, 1999). Shahnon juga menghasilkan novel-novel yang berkaitan dengan pergolakan sosial dan kejatuhan moral masyarakat kesan daripada pengaruh pemodenan seperti terlukis dalam novelnya Kemelut (1977) dan Tivi (1995). |