Askar yang tidak dikenali. Selepas Perang Dunia I (1914–1918), pegawai negara-negara Berikat menemui banyak mayat askar yang tidak dapat dikenali. Kerajaan Belgium, Perancis, Great Britain, Itali, dan Amerika Syarikat mengambil keputusan memberikan suatu bentuk penghormatan sebagai tanda mengingati askar ini. Setiap kerajaan memilih satu simbol yang mewakili askar mereka yang tidak dikenali, mengebumikan sisa mayat itu di dalam atau berhampiran dengan ibu negara dan membina satu tugu peringatan untuk mengenang jasa askar tersebut. Belgium menempatkan askar yang tidak dikenali di sebuah kawasan perkuburan di dasar Colonnade of the Congress di Brussels. Perancis pula mengebumikan askar yang tidak dikenalinya di bawah Arc de Triomphe di Paris dan menyalakan obor di atas makam tersebut. |