SENEFELDER, ALOIS | Senefelder, Alois (1771–1834), mencipta proses litografi (lihat Litografi). Sebagai anak muda, Senefelder menulis drama. Oleh kerana dia tidak dapat menerbitkan dramanya, maka dia cuba mencetaknya sendiri. Semasa menyediakan goresan di atas papak batu, dia menulis di atasnya menggunakan krayon lilin dan mendapati bahawa goresan itu boleh didakwatkan (diwarnakan) dan dicetak. Dia lahir di Munich, Jerman. | UMUM | |
PERANGKAP LALAT VENUS | Perangkap lalat Venus ialah tumbuhan yang terdapat di satu kawasan kecil di kawasan pantai Carolina Utara dan Carolina Selatan, Amerika Syarikat. Ia juga dikenali sebagai Dionaea. Tumbuhan ini memerangkap serangga dalam daunnya, dan menghadamnya. Oleh kerana tabiat ini, ia dikenali sebagai tumbuhan karnivor . Perangkap lalat Venus tumbuh di rawa yang tanahnya kurang oksigen. Serangga adalah ganti nitrogen dalam diet tumbuhan ini. Ia tumbuh subur di tempat yang lembap tetapi memerlukan sinar matahari. | UMUM | |
RENIUM | Renium ialah unsur kimia dengan simbol Re. Ia adalah logam nadir, mahal, berwarna putih keperakan. Ia didapati sedikit dalam mineral seperti gadolinit , dan molibdenit . Renium mempunyai satu daripada takat lebur yang paling tinggi antara unsur kimia. Oleh kerana ini ia tahan terhadap suhu tinggi. Tenium adalah bahan yang berharga dalam aloi (campuran logam) tertentu. Ia kadangkala dicampurkan dengan tungsten atau platinum untuk membuat kelengkapan elektrik tahan panas. Ia juga digunakan untuk membuat filamen (dawai halus) untuk alat yang dikenali sebagai spektrometer , yang digunakan untuk mengukur jisim atom dan molekul yang bercas. | UMUM | |
PORSELIN | Porselin ialah sejenis seramik yang dinilai tinggi kerana keindahan dan kekuatannya. Ia sering dikenali sebagai china atau chinaware kerana ia pertama kali dibuat di China. Porselin dicirikan oleh keputihannya, rupanya yang halus, dan lut cahaya (boleh ditembusi cahaya). Oleh kerana ia adalah keluaran seramik yang paling keras, porselin digunakan sebagai penebat elektrik dan kelengkapan makmal. Walau bagaimanapun, porselin dikenali terutamanya sebagai bahan untuk membuat vas bermutu tinggi, barang meja dan juga patung kecil dan barang hiasan yang lain. Jenis porselin yang digunakan untuk tujuan ini menghasilkan bunyi berdenting apabila dijentik. | UMUM | |
TEPUNG JAGUNG | Tepung jagung ialah tepung halus putih yang dibuat dengan mengisar dan menapis butir jagung. Ia dibuat daripada jagung yang telah dibuang bahagian yang mengeluarkan biji benih yang dinamakan germa . Jagung dikisar dalam proses yang dikenali sebagai kisaran basah. Selepas dibuang protein jagung, tepung jagung yang tertinggal dikeringkan dalam ketuhar. Oleh kerana hanya 10 peratus lembapan yang masih ada dalam tepung jagung selepas dikeringkan, tepung jagung biasanya dicampurkan dengan makanan lain untuk melindunginya daripada lembapan. Pembuat menggunakan tepung jagung dalam keluaran berbakar, serbuk penaik, gula-gula dan kuah salad. Tukang masak menggunakannya untuk memekatkan kuah dan puding. Pembuat juga menggunakan tepung jagung dalam bahan letupan, cat, dan tekstil. Lihat juga Jagung (Industri pengilangan basah). | UMUM | |
SPRINGBOK | Springbok, yang juga dikenali sebagai springbuck, ialah antelop yang hidup di dataran berumput terbuka di barat daya Afrika. Haiwan ini mendapat namanya kerana tabiatnya melompat-lompat berulang kali setinggi dua meter ke udara apabila ketakutan, dan kemudian memacu dengan kencang. Lompatan ini mengalih perhatian pemangsa seperti singa dan harimau kumbang. Springbok mempunyai sejalur bulu panjang berwarna putih di tengah belakangnya yang akan tertegak apabila ia dalam ketakutan. Oleh kerana sifat ini, orang Portugis di Angola menamakan antelop ini kambing kipas. | UMUM | |
PERABOT | Perabot terdiri daripada kerusi, meja, katil, dan kelengkapan lain yang memberikan keselesaan dan kemudahan di dalam rumah, sekolah, dan pejabat kita. Kita berehat di atas kerusi dan kerusi panjang, dan menyimpan pelbagai barang di dalam peti, kabinet dapur, dan almari buku. Meja tulis menyediakan tempat untuk menelaah dan membuat kerja-kerja menulis. Sesetengah set televisyen dan sistem hi-fi mempunyai kabinet yang menarik, dan oleh kerana itu, ia juga dianggap sebagai perabot. Piano merupakan sejenis perabot yang menarik di kebanyakan rumah. | UMUM | |
DENDA | Denda ialah bayaran wang yang diperintahkan oleh mahkamah untuk dibayar oleh seseorang yang didapati bersalah kerana melanggar undang-undang. | UMUM | |
ANDRE, JOHN | Andre, John (1751–1780), pegawai Inggeris, digantung oleh Tentera Revolusi Amerika kerana menjadi perisik. Dia merupakan utusan jeneral Inggeris, Sir Henry Clinton, yang bersama-sama Benedict Arnold, mempunyai rancangan untuk merampas kubu penting orang Amerika di West Point (lihat Arnold, Benedict ). | UMUM | |
MILLIKAN, ROBERT ANDREWS | Millikan, Robert Andrews (1868–1953), ahli fizik Amerika, yang menjadi salah seorang ahli sains Amerika Syarikat yang paling dikenali ramai. Dia terkenal kerana ukuran cas elektrik yang dibawa oleh elektron, dan kerana sumbangannya terhadap penyelidik sinar kosmik. | UMUM | |