| OMBAK | Ombak, bentuk permukaan air laut yang beralun-alun. Umumnya ombak terbentuk akibat daripada tiupan angin. | GEOGRAFI DAN GEOLOGI | Proses/Tindak Balas |
| SELAT BRISTOL | Selat Bristol ialah cabang Lautan Atlantik yang terletak di antara Wales dengan barat daya England. Ia menganjur kira-kira 130 kilometer dari laut ke Sungai Severn (lihat United Kingdom [peta muka bumi]). Pasang surut yang melanda bahagian terusan yang sempit ini menyebabkan berlaku ombak muara (ombak gadang yang tinggi). Ombak ini telah menyongsangkan aliran Sungai Severn. Ketinggian ombak gadang boleh mencapai 12 meter. Swansea dan Cardiff ialah pelabuhan utama di pantai Wales. Bristol terletak berhampiran dengan hulu selat. Manakala berhampiran Bristol pula ialah Sungai Avon yang mengalir ke muara Sungai Severn. | UMUM | |
| NEREIDS | Nereids ialah 50 dewi laut yang cantik yang menghadiri pertemuan tuhan laut, iaitu Poseidon dan Amphitrite. Nereid ialah anak-anak kepada dewi laut Doris dan Nereus yang juga dikenali sebagai Orang Tua Laut. Nereid tinggal di laut dan timbul di permukaan untuk menari di dalam ombak. Pemimpin mereka ialah Thetis, iaitu ibu kepada wira Archilles. Nereid yang terkenal termasuklah Psamathe dan Galatea. Lihat Andromeda; Nereus. | UMUM | |
| KELONG | Kelong suatu kaedah penangkapan ikan di laut. Ia terdiri daripada barisan pancang yang dibina menghadap arus laut dalam bentuk menirus seperti huruf V, dengan kepungan empat persegi di hujungnya yang merupakan kawasan perangkap ikan. Kelong dibina di kawasan yang tidak begitu jauh dari pantai untuk mengelakkan gelombang atau ombak besar yang memungkinkan pancang patah atau tercabut. | UMUM | |
| SHEARWATER | Shearwater ialah nama sekumpulan burung laut yang hidup di lautan. Ia berbeza-beza panjangnya dari 25 sentimeter hingga 50 sentimeter. Shearwater berwarna perang atau hitam kekelabuan. Sesetengah spesies mempunyai perut putih. Ia mempunyai paruh yang bengkok sedikit, dengan lubang hidung berbentuk tiub. Burung ini terbang melayang di atas ombak, mengepak-ngepakkan sayapnya yang panjang, kurus sekali-sekala sahaja. Sesetengahnya terbang bersendirian, tetapi yang lain berhimpun berkawanan yang mungkin terdiri daripada ribuan ekor. Burung ini memakan ikan, sotong, dan krustasea kecil. | UMUM | |
| PETREL | Petrel adalah satu daripada sekumpulan besar burung laut. Ia berkeliaran di semua lautan di dunia. Petrel jarang datang ke daratan kecuali semasa musim membiak, atau apabila ia ditiup angin ribut ke pantai. Ia biasanya membuat sarang di belebas yang terlindung atau dalam lubang di sepanjang pesisir. Petrel berwarna hitam, kelabu atau putih. Panjangnya berbeza-beza daripada kira- kira 15 sentimeter hingga 90 sentimeter. Sesetengah petrel mencari makanan dengan menjunam ke dalam air. Tetapi kebanyakan petrel terbang dekat dengan ombak dan mengambil makanan dari permukaan air. | UMUM | |