ORANG SAMNIT | Orang Samnit ialah golongan puak purba di tempat yang kini selatan Itali. Orang Samnit ini dikenali terutamanya kerana perlawanannya yang sengit menentang orang Rom. Orang Rom meluaskan empayarnya ke wilayah Samnit pada tahun 300-an S.M. Orang Rom dikalahkan oleh orang Samnit dalam Pertempuran Caudine Forks, tetapi pada tahun 290-an S.M., orang Samnit dikalahkan oleh orang Rom. Kejadian ini dengan ketaranya mengurangkan penduduk Samnit. Dalam Perang Sosial pada tahun 80-an S.M., orang Samnit dihancurkan oleh orang Rom. Orang Samnit kemudiannya menerima dan mengamalkan adat resam dan bahasa Rom. | UMUM | |
MIKADO | Mikado ialah gelaran Maharaja Jepun pada masa silam. Istilah ini digunakan juga oleh orang-orang asing. Istilah ini asalnya ialah perkataan Jepun yang bermaksud pintu yang disanjungi. Penggunaan istilah memperlihatkan sanjungan orang Jepun terhadap pemerintah mereka. Selepas tamadun Cina sampai ke Jepun pada tahun 500-an M., orang Jepun mula menggelar maharaja mereka Tenno, yang bermaksud Maharaja dari Syurga. Maharaja tidak dipanggil dengan namanya sendiri. Maharaja dan pemerintahan mereka pada masa kini dikenali dengan nama yang dipilih khas untuk mereka. Maharaja Hirohito dikenal dengan nama Tenno Showa atau Maharaja Showa. | UMUM | |
MENGUMPUL SETEM | Mengumpul setem ialah salah satu daripada hobi mengumpul yang paling popular di dunia. Orang muda, orang tua, orang kaya, dan orang miskin di setiap negara mengumpul setem. Mengumpul setem pernah dikenali sebagai “hobi raja dan raja segala hobi”. Raja George V dari England, Presiden Amerika Syarikat, Franklin D. Roosevelt, dan ramai lagi tokoh terkemuka, mengumpul setem. Pengumpul setem dikenali sebagai ahli filateli. Nama tersebut berasal daripada dua perkataan Yunani, philos yang bermaksud penyayang, dan atelos, yang bermaksud bebas daripada cukai, atau berbayar. Setem ialah tanda pengeposan atau cukai telah dibayar. | UMUM | |
ORANG ASLI AMERIKA | Orang Asli Amerika. Orang yang kini dikenali sebagai Orang Asli atau Peribumi Amerika ialah orang yang mula-mula tinggal di Amerika Utara dan Amerika Selatan. Mereka sudah tinggal di sana selama beribu-ribu tahun sebelum orang Eropah sampai. | UMUM | |
ORANG ASLI ARAWAK | Orang Asli Arawak ialah Orang Asli Amerika pertama yang ditemui oleh Christopher Columbus pada tahun 1492. Orang Asli Arawak pernah tinggal di kebanyakan pulau di Hindia Barat. Orang Asli Arawak yang tinggal di kawasan timur Cuba dan di Pulau Hispaniola serta Pulau Puerto Rico di Kepulauan Caribbean juga dikenal sebagai Orang Asli Taino. Kumpulan Orang Asli Amerika lain yang menggunakan bahasa Arawak tinggal di Lembangan Sungai Amazon dan kawasan lain Amerika Selatan. | UMUM | |
ORANG SAXON | Orang Saxon ialah orang Jerman yang menyerang Kepulauan Britain kira-kira 1500 tahun yang lalu. Orang Angle dan Jute, yang juga orang Jerman, menyerang Britain pada masa yang sama. Kumpulan ini kemudiannya bersatu dan menubuhkan kerajaan Anglo–Saxon yang berakhir sehingga penaklukan Norman pada tahun 1066 (lihat Penaklukan Norman). | UMUM | |
ORANG BUNIAN | Orang bunian ialah makhluk khayalan. Dalam sesetengah kebudayaan, orang bunian dikenal sebagai pari-pari. Dalam kebanyakan cerita rakyat, orang bunian ialah orang kenit. Walau bagaimanapun, dalam beberapa kebudayaan tradisi, saiz orang bunian sama seperti saiz manusia. | UMUM | |
ORANG IONIAN | Orang Ionian ialah sekumpulan orang Yunani purba. Mereka tinggal di beberapa bahagian Peloponnesus (bahagian selatan semenanjung Greece) sebelum tahun 1100 S.M. Kumpulan lain orang Yunani yang dinamai Dorian menyerang Peloponnesus pada akhir tahun 1100-an. Untuk menyelamatkan diri daripada penyerang itu, ramai orang Ionian lari ke bahagian timur Greece yang dikenali sebagai Attica. Sesetengah orang Ionia ini menjadi nenek moyang kepada orang yang tinggal di Athens apabila ia berkembang menjadi bandar raya bertaraf negara kota di Attica. Orang Ionian yang lain berlayar merentasi Laut Aegean dan menduduki Ionian , sebuah wilayah di sepanjang pantai barat Asia Kecil (Turki kini). | UMUM | |
ORANG NORMAN | Orang Norman ialah sekumpulan orang Viking, atau Norsemen (orang Scandinavia), yang mula- mula menduduki utara Perancis, kemudiannya mara ke England, selatan Itali, dan Sicily. Pada tahun 800-an M., pahlawan Norman memulakan penaklukan dengan menyerang pantai dan lembah sungai di Perancis. Menjelang tahun 900-an M., mereka sudah pun menetap di wilayah Perancis yang terletak berhampiran muara Sungai Seine, yang sekarang dikenali sebagai Normandy. Pada tahun 911 M., seorang ketua Norman, Hrolf atau Rollo (860?–931?) menjadi duke untuk raja Frank, Charles Yang Sederhana (Charles the Simple). Orang Norman pun menganut agama Kristian dan menerima adat Perancis. Ramai orang Norman yang menjadi terkenal sebagai pentadbir, ketua gereja, dan pahlawan Perang Salib. | UMUM | |
ORANG TURKI | Orang Turki ialah orang yang bertutur dalam bahasa Turkik. Terdapat kira-kira 10 bahasa Turkik. Bahasa utama ialah bahasa Turki. Hampir separuh daripada kira-kira 90 juta orang Turki di dunia tinggal di Turki. Yang lainnya tinggal di kawasan Asia Tengah, di Azerbaijan, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Turkmenistan, dan Uzbekistan. Terdapat juga komuniti besar orang Turki di Afghanistan, China, Iran, Mongolia, dan Rusia. Sesetengah orang Turki juga tinggal di negara Balkan, di tenggara Eropah. | UMUM | |