ORDER | Order ialah unit pengelasan saintifik. Organisma dibahagikan kepada tujuh kumpulan utama yang dinamakan alam, filum, kelas, order, famili, genus, dan spesies. Anggota sesuatu order berkaitan lebih rapat daripada anggota sesuatu kelas. Bagaimanapun, anggota order tidak berkaitan terlalu rapat sebagaimana anggota famili. Lihat juga Pengelasan saintifik ( jadual). | UMUM | |
ORDER IN COUNCIL | Order in Council. Dekri yang dikeluarkan oleh kerajaan British apabila perkara yang amat penting melanda negara dikenali sebagai Order in Council. Ia mendapat nama tersebut kerana ia diisytiharkan atas nasihat Majlis Privi. Pada tahun 1807, Great Britain mengeluarkan Order in Council sebagai jawapan kepada ancaman Napoleon untuk menyekat empayar kepulauan. Dengan order ini, kapal-kapal British menyekat pantai Eropah dan menahan kapal perdagangan yang berkecuali daripada memasuki pelabuhan Eropah yang terletak di bawah kekuasaan Napoleon. Lihat juga Majlis Privi. | UMUM | |
MONYET | Monyet adalah satu daripada banyak jenis mamalia kecil, cergas dan antara haiwan yang paling cerdik. Ahli sains mengelaskan monyet – bersama manusia, beruk, lemur, dan kongkang dalam order Primat, iaitu order yang tertinggi. Kecerdikan monyet membolehkannya menyesuaikan diri dengan pelbagai persekitaran. Oleh sebab persamaan antara monyet dengan manusia, ahli sains menggunakan monyet dalam penyelidikan tentang kelakuan dan penyakit manusia. Misalnya, bahan darah yang dikenali sebagai faktor Rh ditemui dalam eksperimen menggunakan monyet Rhesus (lihat Faktor Rh). | UMUM | |
CIGER | Ciger adalah hama order atau subkelas Akari, famili Trombiculidae. Lihat juga Hama | UMUM | Umum |
SIRENIA | Sirenia ialah nama bagi order (kumpulan) mamalia air yang berkaitan dengan gajah dan hiraks. Dua famili mamalia air yang masih hidup ialah dugong dan manatee (lihat Dugong; Manatee). Nama Sirenia berasal daripada kepercayaan pelaut bahawa dugong dan manatee adalah makhluk penggoda atau ikan duyung. | UMUM | |
SETASEA | Setasea ialah anggota order mamalia laut yang terdiri daripada paus, dolfin dan ikan lumba-lumba. Setasea melahirkan anaknya dan ia hidup menyusui susu ibunya. Setasea hidup sepenuhnya dalam air dan bernafas melalui paru-paru. Badannya yang seperti ikan mempunyai lapisan lemak yang tebal yang dinamakan bluber yang memanaskannya. Setasea mempunyai kaki sirip bagi kaki depan dan tidak mempunyai sirip belakang. Setasea hampir tidak berbulu. | UMUM | |
ANUGERAH KESATERIA | Anugerah Kesateria. Kesateria Zaman Pertengahan bersatu dalam kumpulan-kumpulan yang disebut sebagai order . Mereka melafazkan ikrar taat setia kepada raja atau tuan mereka, dan membentuk pertubuhan ketenteraan untuk mempertahankan tanahnya daripada musuh. Ketika Perang Salib, pelbagai golongan kesateria bertempur dengan tentera Islam di Tanah Suci. Kesateria yang menyertai golongan ini bersumpah untuk hidup sebagai rahib dan juga saudara yang setia semasa peperangan. Golongan agama yang paling terkenal ialah Knights of Saint John, Knights Templars, dan Teutonic Knights. | UMUM | |
DOMINICAN | Dominican ialah anggota mazhab agama Katolik yang diasaskan oleh Saint Dominic dari Sepanyol pada awal tahun 1200-an. Nama rasmi mazhab ini ialah Order of Friars Preachers. | UMUM | |
TARSIER | Tarsier ialah mamalia kecil yang mempunyai kepala yang bulat dan mata yang luar biasa besarnya bak mata burung hantu. Seperti manusia dan beruk, tarsier tergolong dalam order primat (lihat Primat ). Tarsier hidup di Indonesia dan Filipina. Telinganya besar dan ekornya panjang, kurus dan tidak berbulu. Kaki depannya pendek dan kaki belakangnya panjang yang membantunya melompat dari dahan ke dahan tempat tinggalnya. Kesemua jari tangannya yang panjang dan kebanyakan jari kakinya mempunyai kuku, tetapi jari kakinya yang kedua dan ketiga mempunyai cakar. Tarsier tidak boleh menggerakkan matanya. Tetapi ia boleh memusingkan kepalanya hampir kesemua arah. Tarsier membesar kira-kira sebesar tikus. Ekornya boleh tumbuh sehingga 25 sentimeter panjangnya. Namanya berasal daripada tulang tarsus yang panjang pada kakinya. Tarsier tidur pada siang hari dan bergerak dari pokok ke pokok pada malam hari, memakan serangga, siput, dan cicak kecil. Pengelasan saintifik. Tarsier tergolong dalam famili tarsier, Tarsiidae. Ia adalah genus Tarsius . | UMUM | |
AMISH | Amish tergolong dalam kumpulan Protestan yang berasal dari Switzerland, tetapi kini berpusat di Amerika Syarikat dan Kanada. Mereka juga dikenali sebagai Old Order Amish . Amish mengajar tentang kehidupan yang terpisah daripada dunia. Ahli-ahlinya dilarang pergi berperang, mengangkat sumpah, atau memegang jawatan awam. Doktrin mereka menghendaki mereka bertani dan menjalani kehidupan ringkas. Kaum lelaki Amish menyimpan janggut dan memakai topi bertepi lebar manakala kamu wanita memakai gaun labuh dan topi bonet. Ahli-ahli bertemu di rumah mereka setiap dua minggu untuk bersembahyang. Mereka membajak tanah dengan kuda, dan Ordnung (kitab) mereka melarang mereka menggunakan kuasa elektrik serta telefon. Mereka mengehadkan pendidikan setakat usia 15 tahun. Mereka yang mengingkari Kitab Perjanjian Lama biasanya menyertai golongan Mennonite (lihat Mennonite ). | UMUM | |