Samoset (1590?–1655) ialah salah seorang Orang Asli Amerika yang menjadi sahabat awal kepada penduduk Pilgrim dari Tanah Jajahan Plymouth di Amerika Syarikat. Dia ialah sagamore (ketua) Orang Asli Amerika suku Pemaquid dan mula berhubungan dengan orang Inggeris apabila dia bertemu dengan beberapa orang nelayan Inggeris di pinggir laut Maine. Dia belajar sedikit bahasa Inggeris daripada mereka. Pada bulan Mac 1621, Samoset mengejutkan penduduk tanah jajahan Plymouth dengan muncul di jalan raya serta mengalu-alukan kedatangan mereka dalam bahasa Inggeris pasar. Kemudian, dia memperkenalkan para pemimpin tanah jajahan itu kepada Massasoit, ketua Orang Asli Amerika kawasan Plymouth. Pada tahun 1625, Samoset membuat surat ikatan pemindahan tanah Orang Asli Amerika kepada penduduk tanah jajahan Inggeris, iaitu yang dipercayai surat ikatan yang pertama. Dia memindahkan 4856 hektar tanah puaknya kepada John Brown, salah seorang peneroka di situ. |