PELABURAN | | UMUM | |
YAYASAN PELABURAN BUMIPUTERA | YAYASAN PELABURAN BUMIPUTERA, sebuah institusi pelaburan yang ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia. Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB) ditubuhkan di Kuala Lumpur pada bulan Januari 1978 dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Hussein Onn, pada 14 April 1978. Penubuhan yayasan ini khusus untuk menggembleng tabungan bumiputera bagi meningkatkan pemilikan ekuiti mereka dalam sektor ekonomi moden untuk merapatkan jurang perbezaan ekonomi antara bumiputera dengan bukan bumiputera. YPB melalui anak syarikat milik penuhnya, iaitu Permodalan nasional Berhad (PNB) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), menjadi alat penting bagi pelaksanaan matlamat serampang dua mata Dasar Ekonomi Baru (DEB), iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat untuk menghapuskan pengenalan kaum menurut fungsi ekonomi. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |
PERMODALAN NASIONAL BERHAD | Permodalan Nasional Berhad, institusi pelaburan saham amanah yang terbesar di Malaysia . PNB ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia pada 17 Mac 1978 di bawah Akta Syarikat. Modal sebenar PNB berjumlah RM200 juta, manakala modal berbayar sebanyak RM100 juta. Ibu pejabat PNB terletak di Menara PNB, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur . Penubuhan PNB bertujuan untuk melaksanakan matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) dari segi penyusunan semula masyarakat dengan meningkatkan pegangan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat dan membasmi kemiskinan. PNB merupakan anak syarikat Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB). | UMUM | |
PERBADANAN KEWANGAN ANTARABANGSA | Perbadanan Kewangan Antarabangsa – International Finance Corporation (IFC) ialah badan pelaburan yang dimiliki dan dibiayai oleh kira-kira 125 buah negara. IFC menggalakkan pertumbuhan perusahaan swasta yang produktif di kalangan negara anggota yang kurang membangun. Ia melabur dalam perusahaan swasta di negara tersebut tanpa jaminan daripada pihak kerajaan. Pelaburannya membentuk sebahagian daripada jumlah pelaburan lebih besar yang disediakan oleh pelabur usahawan swasta tempatan dan pelabur asing. IFC juga melabur dalam projek yang dibiayai bersama oleh kerajaan dan pelabur swasta. | UMUM | |
AMANAH SAHAM | Amanah saham ialah syarikat pelaburan atau gabungan firma yang mengumpul wang para pelabur dan menggunakan wang itu untuk membeli saham atau sebarang jenis sekuriti lain. Sebagai ganti kepada wang, para pelabur menerima saham. Saham daripada syarikat ini dikenali sebagai saham amanah. | UMUM | |
PNB | PNB, institusi pelaburan saham amanah terbesar di Malaysia. PNB ialah singkatan Permodalan Nasional Berhad. PNB ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia pada 17 Mac 1978 di bawah Akta Syarikat sebagai sebuah anak syarikat Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB). Modal sebenar PNB berjumlah RM200 juta manakala modal berbayar sebanyak RM100 juta. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |
SKIM AMANAH SAHAM BUMIPUTERA | SKIM AMANAH SAHAM BUMIPUTERA, skim saham amanah untuk kaum bumiputera dengan harga tetap RM1 seunit yang ditubuhkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB). Skim Amanah Saham Bumiputera (Skim ASB) ditubuhkan pada tahun 1990 setelah Sekim Amanah Saham Nasional (Skim ASN) diurus niaga mulai 1 Januari 1991. Skim ASB tidak menggantikan Skim ASN, tetapi ia adalah skim tambahan dengan ciri dan struktur yang sama seperti ASN dengan pelaburan maksimum sebanyak RM100 000. Penubuhan Skim ASB membolehkan kaum bumiputera terus bergiat dalam pelaburan saham amanah dengan risiko paling minimum di samping terus melabur dalam Skim ASN. Skim ASB merupakan skim saham amanah yang terbesar di Malaysia dengan pemegang saham berjumlah 4.52 juta orang dan pelaburan berjumlah RM25 bilion pada 31 Disember 1996. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Konsep |
RAO, P.V. NARASIMHA | Rao, P.V. Narasimha (1921–2004) ialah Perdana Menteri India pada tahun 1991 hingga tahun 1996. Dia memegang jawatan tersebut apabila Parti Kongres I memenangi kebanyakan kerusi dalam pilihan raya parlimen. Sebagai Perdana Menteri, Rao telah memperkenalkan pembaharuan ekonomi bagi menarik pelaburan asing dan mempertingkatkan perkembangan ekonomi. Walau bagaimanapun, kerajaannya dihalang oleh konflik yang tidak dapat diselesaikan antara kumpulan-kumpulan etnik dan keagamaan. | UMUM | |
MENGUMPUL DUIT SYILING | Mengumpul duit syiling adalah salah satu hobi yang sangat popular di dunia. Kebanyakan pengumpul duit syiling akan berasa seronok apabila mencuba mendapatkan set lengkap duit syiling sesebuah negara atau memperolehi satu atau lebih duit syiling tertentu. Sesetengah orang mengumpul duit syiling sebagai karya seni. Manakala yang lainnya berbuat demikian sebagai satu pelaburan, iaitu untuk dijual kemudiannya bagi mendapat keuntungan. Melalui duit syiling yang dikumpul, seseorang pengumpul dapat mengetahui perihal orang ternama dan peristiwa tertentu dalam sejarah sesebuah negara. | UMUM | |
MENGUMPUL BUKU | Mengumpul buku ialah hobi yang popular. Orang mengumpul buku kerana beberapa sebab. Ramai orang mengumpul buku kerana mereka gemar membaca dan suka mengumpul barang. Sesetengah pengumpul berminat kepada perkara tertentu atau pengarang. Sesetengah orang mengumpul buku kerana kecantikan buku itu. Sesetengah orang pula mengumpul buku kerana berharap buku mereka akan bertambah nilainya dan menjadi pelaburan yang baik. | UMUM | |