SELAT MILFORD | Selat Milford, di pantai barat Pulau Selatan, New Zealand, ialah salah satu tarikan pelancong yang paling terkenal di negara itu. Tebing batu yang curam dan tinggi menjadikannya selat (serokan laut) yang paling hebat di kawasan tersebut. | UMUM | |
ORISSA | Orissa ialah negeri yang terletak di pantai timur laut India. Negeri ini hanya menerima kunjungan segelintir pelancong walaupun terkenal dengan Kuil Matahari di Konarak dan Kuil Jagannath di Puri. Di ibu negeri Orissa, Bhubaneswar, terdapat beberapa buah kuil yang paling cantik di India yang bertarikh tahun 600-an. | UMUM | |
ARKANSAS | Arkansas ialah negeri yang terletak di Selatan Amerika Syarikat. Little Rock ialah ibu negeri dan bandar raya terbesar. Ramai pelancong melawat mata air mineral panas Arkansas terutamanya Mammoth Spring dan Hot Springs. Satu-satunya lombong berlian yang beroperasi di Amerika Syarikat terletak berhampiran Murfreesboro. | UMUM | |
TAMAN NEGARA BANFF | Taman Negara Banff, didirikan pada tahun 1855, merupakan taman negara tertua di Kanada. Pemandangannya yang menakjubkan telah menjadi daya tarikan pelancong yang paling popular di Kanada. Taman ini mempunyai banyak lembah yang dalam, glasier, tasik dan gunung yang diliputi ais. Ia terletak di bahagian timur Pergunungan Rocky di barat daya provinsi Alberta. | UMUM | |
OXFORDSHIRE | Oxfordshire ialah sebuah kaunti pertanian di selatan tengah England dengan pemandangan alam yang tidak tercemar, kampung-kampung yang cantik, dan rumah-rumah bersejarah yang menarik ramai pelancong. Ia terkenal kerana Oxford, iaitu pusat pentadbirannya, mempunyai salah sebuah universiti yang tertua dan terhebat di dunia. Sungai Thames mengalir ke arah timur melalui kaunti ini. Untuk lokasi Oxfordshire, lihat England (peta politik) | UMUM | |
SANTUBONG | Santubong ialah sebuah perkampungan nelayan yang memiliki pantai yang indah. Ia juga terkenal dengan Gunung Santubong setinggi 2700 kaki dari paras laut, yang menjadi salah satu tarikan pelancong ke negeri Sarawak. Ia juga merupakan kawasan beberapa penemuan arkeologi. Ukiranukiran batu daripada pengaruh Hindu-Buddha telah ditemui di lembangan sungai Santubong. Majoriti penduduknya ialah orang Melayu. | UMUM | |
PERGUNUNGAN ADIRONDACK | Pergunungan Adirondack adalah sekumpulan gunung yang melitupi kawasan seluas 30 000 kilometer persegi di barat laut negeri New York. Pergunungan Adirondack terletak di sebelah barat Pergunungan Appalachian. Ramai pelancong dan ahli sukan mengunjungi Pergunungan Adirondack untuk melihat hidupan liar dan menyaksikan pemandangan yang indah. Kawasan ini mempunyai kira-kira 100 puncak gunung dan hampir separuh daripadanya mencapai ketinggian melebihi 1200 meter. Gunung Marcy ialah puncak tertinggi di negeri New York. Ketinggiannya 1629 meter. Puncak Algonquin mencapai ketinggian 1558 meter. Tasik Champlain dan Tasik George adalah antara ratusan tasik yang terdapat di kawasan itu. Tasik Saranac dan Tasik Placid merupakan tempat percutian yang terkenal. | UMUM | |
MAR DEL PLATA | Mar del Plata (pend. 532 845) ialah salah satu bandar peranginan yang terkenal di Argentina. Iklimnya yang nyaman dan pantainya yang cantik menarik lebih daripada dua juta pelancong setiap tahun. | UMUM | |
MANILA | Manila ialah ibu negara dan bandar raya yang terbesar di Filipina. Bandar ini juga ialah pusat ekonomi, politik, sosial dan pendidikan negara selain daripada menjadi pelabuhan utama antarabangsa untuk kargo dan pelancong. | UMUM | |
PORT ARTHUR | Port Arthur (pend. 150) ialah bandar di Tasmania, Australia dan pernah menjadi petempatan para banduan yang dibuang daerah. Ia terletak di Semenanjung Tasman, kira-kira 100 kilometer dari Hobart jika melalui jalan raya. Ramai pelancong datang ke bandar ini untuk menyaksikan tinggalan sejarah petempatan banduan. Antara bangunan yang terdapat di sini termasuklah sebuah gereja, sebuah rumah, sebuah hospital, dan penjara contoh yang masih wujud. Sir George Arthur ialah gabenor Tasmania yang menubuhkan petempatan banduan. | UMUM | |