API SAINT ELMO | Api Saint Elmo ialah kilauan yang mengiringi keluarnya elektrik secara tetap daripada objek tertentu. Ia terhasil semasa ribut petir atau pada masa lain apabila awan berelektrik, wujud dan ia boleh dilihat hanya dalam keadaan benar-benar gelap. Pada masa dahulu, api Saint Elmo biasa dilihat di sekeliling tiang kapal layar. Hari ini kita kadangkala melihatnya di sekeliling kipas dan hujung sayap kapal terbang yang melalui awan berelektrik. Beberapa orang melaporkan ada melihat api Saint Elmo di sekitar tanduk lembu. Nama Elmo adalah daripada Erasmus . Saint Erasmus dianggap sebagai saint pelindung pelaut-pelaut Mediterranean. Lihat juga Kilat (Bentuk kilat). | UMUM | |
ORANG VIKING | Orang Viking merupakan kaum pelaut yang bangkit untuk menguasai utara Eropah pada zaman pertengahan. Sejarah cenderung menggambarkan mereka sebagai pahlawan dan lanun bengis yang mengganas di Eropah sejak akhir tahun 700-an hingga kira-kira tahun 1100. Walau bagaimanapun, pada ketika itu kelasi Viking yang berani juga menjelajah Lautan Atlantik Utara malah hingga ke Amerika. Tindakan rompakan di laut dan penjelajahan mereka ini telah menyebabkan zaman ini dinamakan Zaman Viking dalam sejarah Eropah. Sungguhpun demikian, orang Viking juga merupakan pelukis, pencerita dan juga penyair yang mempunyai bakat semula jadi. | UMUM | |
NEPTUNE | Neptune ialah dewa laut dalam mitologi Rom. Neptune mempunyai kuasa terhadap laut dan pelaut. Misalnya, Neptune boleh menyebabkan – atau menghalang – ribut berlaku di laut. Neptune menyerupai dewa Yunani yang bernama Poseidon. Seperti Poseidon, dia juga merupakan dewa gempa bumi dan kuda. | UMUM | |
SIRENIA | Sirenia ialah nama bagi order (kumpulan) mamalia air yang berkaitan dengan gajah dan hiraks. Dua famili mamalia air yang masih hidup ialah dugong dan manatee (lihat Dugong; Manatee). Nama Sirenia berasal daripada kepercayaan pelaut bahawa dugong dan manatee adalah makhluk penggoda atau ikan duyung. | UMUM | |
SIRENS | Sirens ialah nimfa laut dalam mitologi Yunani yang tinggal di sebuah pulau. Dua Sirens ada disebutkan dalam puisi epik Yunani, Odyssey. Kebanyakan pengarang yang terkemudian menulis tentang kira-kira tiga Sirens dalam karya mereka. Nyanyian merdu Sirens mengumpan pelaut menuju kebinasaan di pantai pulau yang berbatu-batan. Dalam sesetengah cerita, Sirens-Sirens akan mati jika dapat belayar tanpa merasa terharu mendengar nyanyian mereka. Wira Odysseus (Ulysses dalam bahasa Latin menyumbatkan lilin di dalam telinga kelasinya supaya mereka tidak dapat mendengar suara Sirens. Kemudian dia meminta dirinya diikat pada tiang. Odysseus dengan itu dapat mendengar suara Sirens tanpa membahayakan kapalnya. Dalam seni lukis, Sirens pada mulanya digambarkan sebagai burung yang berkepala wanita dan kemudiannya sebagai wanita yang berkaki burung dan kadangkala bersayap. Lihat juga Odyssey (gambar;) Capri. | UMUM | |
NORMANDY | Normandy ialah sebuah daerah yang terletak di barat laut Perancis. Ia dinamai sedemikian sempena orang Norse yang menakluk kawasan tersebut pada tahun 800-an. Normandy terletak di sepanjang pinggir Selat Inggeris di antara Picardy dengan Brittany . Bandar-bandar terkenal di Normandy termasuklah Rouen, ibu negeri provinsi lama tersebut; Le Havre, Honfleur, Caen, Bayeux, dan Cherbourg . Penduduk daerah ini terkenal sebagai pelaut dan petani. Petani mengkhusus dalam penghasilan tenusu dan menanam pohon buah- buahan, khususnya epal untuk membuat cider dan brandi. Bijih besi dilombong berhampiran Caen. | UMUM | |
TANJUNG PINANG | TANJUNG PINANG, kota pelabuhan yang terletak di bahagian selatan Bintan, pulau yang terbesar di Kepulauan Riau-Lingga, Indonesia. Ia merupakan daerah terdapat di Riau dengan jumlah penduduk melebihi 100 000 orang. Kebanyakan mereka adalah pelaut Melayu dan segelintir penduduk Cina dan India. Kota ini telah dirasmikan menjadi ibu kota kabupaten. Kepulauan Riau semenjak tahun 1958. Selain menjadi pusat pentadbiran kerajaan, ia terus juga memainkan peranan sebagai pusat pengumpulan dan pengedaran barang-barang untuk daerah Riau-Lingga seperti masa dahulu. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bandar/Negeri/Negara/Tempat |
KRIS | KRIS, pertubuhan politik semasa Perang Dunia Kedua. KRIS ialah singkatan Kesejahteraan Rakyat Indonesia Semenanjung. KRIS ditubuhkan pada tahun 1943 di Ceylon (kini Sri Lanka). Ahli KRIS terdiri daripada masyarakat Melayu Indonesia yang tinggal di sana. Mereka bekerja sebagai pelaut, pedagang kecil dan buruh di pangkalan tentera Belanda dan Inggeris. Pada pertengahan tahun 1945, cawangan KRIS ditubuhkan di Singapura. Walaupun panggilan ringkasnya tetap menggunakan akronim KRIS, tetapi nama pertubuhan ini sering berubah. Pada mulanya dikenal sebagai “Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung”, kemudian diubah menjadi ‘Kesatuan Rakyat Istimewa’, dan ‘Kesatuan Rakyat Indonesia Istimewa’. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |
PERJANJIAN GHENT | Perjanjian Ghent menamatkan peperangan antara United Kingdom (UK) dengan Amerika Syarikat pada tahun 1812. Kedua-dua buah negara tersebut menandatangani perjanjian ini di Ghent, Belgium pada 24 Disember 1814 dan mengesahkannya pada 17 Februari 1815. Perunding dari Amerika ialah John Quincy Adams, James A. Bayard, Henry Clay, Jonathan Russell dan Albert Gallatin . Wakil United Kingdom terdiri daripada Sir James Gambier, Henry Goulburn dan William Adams . Walau bagaimanapun, perjanjian tersebut tidak dapat menyelesaikan pertikaian yang mencetuskan peperangan. Perjanjian itu hanya dapat mengembalikan semula suasana aman. Perjanjian itu tidak pun menyebut bahawa pelaut Amerika dipaksa berkhidmat dalam kapal United Kingdom. Perkara ini tidak dimasukkan kerana tidak begitu mustahak. Tiada sebab bagi orang Inggeris untuk melaksanakan perkara ini selepas kekalahan Napoleon pada tahun 1815. | UMUM | |
PENGAJIAN MELAYU DI AMERIKA SYARIKAT | PENGAJIAN Melayu DI AMERIKA SYARIKAT, pusat pengajian bahasa Melayu. Pusat ini berkembang sesudah Perang Dunia Kedua. Namun sebelum itu orang Amerika pernah menyumbang karya mereka dalam bidang pengajian Melayu. Pengkaji Amerika pertama yang belajar bahasa Melayu ialah David Woodard yang ditawan di Sulawesi Tengah pada tahun 1793. Laporan dan senarai kosa katanya diterbitkan di London pada tahun 1805. Pada masa itu juga terdapat ramai pelaut Amerika yang lain terlibat dalam perdagangan lada hitam di Sumatera, dan surat mereka terkumpul dalam koleksi khusus di Amerika. | BAHASA | Bahasa |