TIRANI | Tirani ialah istilah yang digunakan dalam sejarah untuk menggambarkan corak pemerintahan oleh seorang pemerintah yang mempunyai kuasa mutlak. Pada zaman Yunani purba, tirani bermaksud pemerintahan mutlak oleh seorang pemerintah. Kebanyakan tirani Yunani adalah pemerintahan yang baik dan bertanggungjawab. Istilah tirani boleh juga digunakan untuk merujuk kepada kerajaan yang diperintah oleh pemerintah mutlak yang mendapat kuasa melalui kekerasan tentera atau muslihat politik. Pemerintah seperti ini tidak akan mendapat sokongan majoriti rakyat dan perlu menggunakan kekerasan untuk mengekalkan kekuasaan. Satu lagi maksud tirani ialah kerajaan yang menggambarkan seorang atau sekumpulan orang yang memerintah dengan kejam, menindas, atau tidak adil. | UMUM | |
SHAH JAHAN | Shah Jahan (1592–1666) ialah pemerintah kelima empayar Mughal di India. Baginda menjadi pemerintah pada tahun 1627. Ketika pemerintahannya, rakyat Mughal berada dalam zaman keemasan, dengan bilik kebal yang dipenuhi harta dan gaya seni bina yang indah dan mengagumkan. Shah Jahan paling diingati kerana Taj Mahalnya yang amat sempurna, iaitu makam marmar putih yang amat besar yang dibina untuk permaisurinya di Agra, India (lihat Taj Mahal ). Baginda juga telah membina sebuah istana yang amat hebat dan luar biasa di Delhi. Istana ini berserta dengan bangunan lain masih lagi kekal sebagai contoh keagungan empayar Mughal. Dinasti itu mulai mengalami kemerosotan kerana terlalu banyak wang telah dihabiskan untuk kemewahan dan terlalu banyak tenaga yang telah disia-siakan dalam peperangan. Pemerintahan Shah Jahan sentiasa menghadapi masalah, dan seorang daripada puteranya telah merampas takhta daripadanya. | UMUM | |
ANTONY, MARK | Antony, Mark (83?–30 S.M.) ialah jeneral dan negarawan Rom yang berkhidmat sebagai pembantu pemerintah Rom sejak tahun 43 S.M. sehingga dia meninggal dunia. Antony dan Gaius Octavian menjadi pembantu pemerintah bersama dengan Marcus Lepidus selepas kematian pemerintah Rom, Julius Caesar. Antony kemudiannya mengahwini Cleopatra, ratu Mesir, dan kedua-duanya menggabungkan angkatan tentera mereka. Antony bercita-cita untuk menguasai Rom seorang diri, tetapi dia kalah dalam Perang Actium pada tahun 31 S.M. | UMUM | |
NIMITZ, CHESTER WILLIAM | Nimitz, Chester William (1885–1966), berkhidmat sebagai pemerintah tertinggi tentera laut Armada Pasifik Amerika Syarikat semasa Perang Dunia II (1939–1945). Dia menjadi pemerintah armada tersebut pada 31 Disember 1941, kira-kira tiga minggu selepas angkatan laut tersebut hampir lumpuh akibat serangan tentera Jepun di Pearl Harbor. | UMUM | |
OCTAVIA | Octavia (69?S.M.–11S.M.) ialah kakak tiri tua pemerintah Rom yang bernama Octavian, yang menjadi maharaja Augustus pada tahun 27 S.M. Octavia mengahwini pemerintah bersama Octavian iaitu Mark Antony pada tahun 40 S.M. Perkahwinan ini memeteraikan perjanjian damai yang mengakhiri perang saudara antara Octavian dengan Antony. Octavia melahirkan dua orang anak perempuan, Antonia Tua dan Antonia Muda. | UMUM | |
ALA-UD-DIN KHALJI | Ala-ud-din Khalji juga dikenali sebagai Juna Khan , ialah pemerintah utara India dari tahun 1296 hingga tahun 1316. Dia ialah pemerintah dinasti Khalji Turki kedua yang lebih berjaya, yang memerintah dari tahun 1290 hingga tahun 1320. | UMUM | |
AMIR AL-MUKMININ | Pemerintah kerajaan Islam. 'Amir' bermaksud ketua, manakala al-Mukminin pula ialah umat Islam. | AGAMA | Tokoh |
MAHARAJA | Maharaja ialah pemerintah bagi sebuah empayar atau kumpulan negara atau negeri. Seseorang raja selalunya hanya memerintah satu daerah atau sekumpulan rakyat tetapi seorang maharaja memerintah beberapa daerah atau kumpulan rakyat. | UMUM | |
SYOGUN | Syogun ialah gelaran bagi pemerintah feudal Jepun yang agung. Istilah syogun bererti panglima agung dalam bahasa Jepun, dan merupakan singkatan bagi suatu gelaran yang bermakna Generalismo yang Menakluki Orang Gasar. | UMUM | |
MUHAMMAD ALI | Muhammad Ali (1769–1849), pemerintah Mesir dari tahun 1805 hingga tahun 1848. Dia menggunakan penasihat Perancis dan Eropah untuk membantu memodenkan Mesir dan menambahkan kekayaan dan kuasa. Di bawah pemerintahannya, kerajaan dan tentera Mesir dibentuk mengikut susunan seperti di negara-negara Eropah. Tetapi dia tidak menggalakkan demokrasi. Kuasa pemerintahan negara berada di tangannya. | UMUM | |