Sungai Rhine ialah jalan air pedalaman yang terpenting di Eropah. Panjang sungai ini lebih kurang 1320 kilometer dan merupakan saliran air bagi kawasan yang luasnya lebih kurang 224 600 kilometer persegi. Sungai ini bermula di sebelah timur Switzerland. Ia membentuk sebahagian sempadan Switzerland, Liechtenstein, Austria, Perancis, dan Jerman. Sungai ini mengalir melalui Jerman dan Belanda dan masuk ke Laut Utara. Walaupun terdapat beberapa masalah pencemaran daripada bahan buangan perindustrian, sebahagian Sungai Rhine ini amat cantik dan menarik banyak pelancong. Bagi orang Jerman, Sungai Rhine merupakan lambang sejarah kebangsaan mereka. Beberapa legenda orang Jerman berkait dengan sungai ini. |