SAINS SOSIAL | Sains sosial. Umumnya para sarjana mengenal pasti tiga kategori ilmu: (1) sains semula jadi dan matematik, (2) ilmu kemanusiaan, dan (3) sains sosial. Sains semula jadi berhubung dengan alam dan dunia fizikal. Ilmu kemanusiaan cuba mentafsir erti kehidupan di dunia bukannya cuba menjelaskan dunia fizikal atau masyarakat. Sains sosial memberi tumpuan kepada kehidupan manusia dengan orang lain dalam sesuatu kumpulan. Sains sosial termasuklah antropologi, ekonomi, sejarah, sains politik, sosiologi, psikologi sosial, kriminologi, dan sains undang-undang. Sesetengah sarjana menganggap pendidikan, etika dan falsafah sebagai sebahagian daripada sains sosial. Kajian dalam lapangan lain, seperti biologi, geografi, perubatan, kesenian, dan linguistik, juga dikatakan sebagai sebahagian daripada kategori sains sosial yang luas. | UMUM | |
LAPORAN RAZAK | LAPORAN RAZAK, laporan Jawatankuasa Pendidikan 1956 tentang pendidikan. Laporan ini dihasilkan pada bulan April 1956 oleh satu Jawatankuasa Pendidikan yang ditubuhkan pada bulan September 1955 dan dipengerusikan oleh Dato’ Abdul Razak bin Hussein, Menteri Pelajaran. Antara tujuan jawatankuasa ini ditubuhkan termasuklah untuk meneliti semula dasar kerajaan Persekutuan Tanah Melayu tentang pendidikan pelajaran dan mencadangkan beberapa perubahan yang sesuai dan dapat dimanfaatkan oleh rakyat Tanah Melayu dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Penerbitan |
LAPORAN ABDUL RAHMAN TALIB | LAPORAN ABDUL RAHMAN TALIB, laporan Jawatankuasa Pendidikan 1960 yang dipengerusikan oleh Abdul rahman Talib, Menteri Pelajaran. Jawatankuasa tersebut dilantik oleh kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pada bulan Februari 1960 berhubung dengan cadangan jawatankuasa Pendidikan 1956. Jawatankuasa ini mencadangkan supaya diadakan satu jawatankuasa lain untuk meninjau semula cadangan-cadangan yang telah dikemukakan. Tugas utama Jawatankuasa Abdul rahman Talib adalah untuk mengkaji pelaksanaan cadangan Jawatankuasa Pendidikan 1956 yang diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan, iaitu menimbangkan implikasi dari segi kepentingan negara dan kewangan termasuk mengenai pengenalan pendidikan percuma pada peringkat sekolah rendah. Laporan Jawatankuasa Abdul rahman Talib juga dikenal sebagai Laporan Jawatankuasa Penyemak Pendidikan 1960. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Penerbitan |
TAMAN | Taman. Kebanyakan taman merupakan sebidang tanah yang disediakan kepada orang awam untuk bersantai. Banyak taman digunakan untuk rekreasi atau sebagai tempat yang boleh dilawati oleh pelawat untuk berehat dalam persekitaran semula jadi. Sesetengah taman pula digunakan untuk acara kebudayaan dan pendidikan, sukan, rali, dan pesta. | UMUM | |
MOHAMMAD SANY ABDUL GHAFFAR, TAN SRI | MOHAMMAD SANY ABDUL GHAFFAR, Tan Sri (1926- ), Ketua Turus Angkatan Tentera yang keenam (1977-1981). Dia lahir pada 19 Januari 1926 di Kampung Pinang Baik, Selayang, Selangor. Dia mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu hingga Darjah Lima dan pendidikan menengah di Victoria Institution, Kuala Lumpur. Persekolahannya terganggu akibat Perang Dunia Kedua pada tahun 1941. Semasa pendudukan Jepun, dia bekerja di Jabatan Pelajaran Jepun dan ditugaskan sebagai Penjaga Kutub Khanah Kuala Lumpur. Semasa berkhidmat dengan Jepun, dia memasuki Marai Koa Kun Rengho di Melaka selama enam bulan. Apabila British kembali memerintah Tanah Melayu, dia menyambung semula persekolahannya di Victoria Institution, Kuala Lumpur hingga memperoleh Senior Cambridge. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
TEUKU ISKANDAR | TEUKU ISKANDAR (1924 - ) sarjana dan penyusun kamus. Dia lahir di Trieng Gading, Kota Sigli, Pidie, Aceh. Nama penuhnya ialah Teuku Iskandar bin Teuku Ali Basyah. Teuku Iskandar mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Belanda di Kota Sigli, kemudiannya Meer Uitgebreid Lager Onderwijs (MULO) di Kutaraja dan Algemeene Middlebare School (AMS) di Jakarta. Semasa Jepun memerintah Indonesia dia kembali semula ke Aceh untuk bersama-sama keluarganya. Dia pernah menjadi anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) di Pematang Siantar, Sumatera Utara, berjuang melawan tentera kolonial Belanda. Dia menjadi anggota TNI selama setahun (1946 – 1947). | SASTERA | Tokoh |
KITAB PENGETAHUAN BAHASA | KITAB PENGETAHUAN BAHASA, buku yang telah dihasilkan oleh Raja Ali Haji pada tahun 1859 dengan tujuan mencuba menerapkan tradisi kerangka tatabahasa bahasa Arab ke dalam kaedah bahasa Melayu. Penulisan buku ini bermula pada tahun 1858 di Pulau Penyengat, Riau dan telah dicetak semula dalam tulisan Arab-Melayu pada tahun 1929 oleh Matbaah al-Ahmadiah di Singapura. Buku setebal 566 halaman (Ensiklopedia Umum, 1973: 1107) dan 466 halaman (Hamidy, 1948: 45) dan berukuran 14.5 cm x 21 cm ini telah ditransliterasikan oleh Raja Hamzah Yunus, dan diterbitkan oleh Depaetemen Pendidikan dan Kebudayaan, Pekan baru pada tahun 1986/7. | BAHASA | Bahasa |