Arkwright, Sir Richard (1732–1792) ialah pereka cipta dan pengilang British. Pada tahun 1769, dia telah mendapatkan paten untuk sebuah mesin pemintal benang yang dinamakan kerangka air kerana alat tersebut dijalankan oleh kuasa air. Mesin itu dipusingkan oleh beberapa set penggelek yang bergerak pada kelajuan yang berlainan untuk menarik kapas daripada mesin penyisir dan meluruskan seratnya. Kemudian, kapas itu diputar oleh gelendong supaya menjadi benang. Bagaimanapun, benang yang dihasilkan oleh kerangka air adalah keras, liat dan kasar. Arkwright dan dua pekilang lain mula membina kilang kapas yang menggabungkan pelbagai proses pengilangan yang terdiri daripada penyisir, penarik, peracik dan pemintal supaya menjadi satu proses sahaja. Dia dikatakan bekerja 16 jam sehari dan belajar pada waktu malam untuk menyambung semula alam persekolahannya yang tercicir. |