PYTHEAS | Pytheas ialah penjelajah Yunani yang hidup pada akhir tahun 300-an S.M. Pytheas terlepas daripada kepungan tentera laut Carthaginia di Gibraltar dan dapat meneruskan penjelajahannya ke pantai utara Eropah. Dia belayar mengelilingi Britain , dan menerokai kawasan tersebut. Pytheas mendengar banyak cerita tentang tanah bermisteri yang dikenal sebagai Thule, yang berkemungkinan Norway. | UMUM | |
ARCHER | Archer ialah keluarga penjelajah dan penternak yang menguasai sejarah perintisan di selatan dan tengah Queensland, Australia. Kira-kira pada tahun 1841, sembilan orang adik-beradik Archer menubuhkan syarikat Archer Brothers di daerah Teluk Moreton. Mereka ialah David, William, Charles, John, Thomas, Colin, James, Archibald dan Alexander. Kesemuanya adalah ahli keluarga berbangsa Scotland. Mereka bersama-sama mengendalikan lima ladang ternak biri-biri dan lembu. | UMUM | |
MUIR, JOHN | Muir, John (1838–1914), penjelajah Amerika, ahli alamiah, dan penulis, berkempen bagi pemuliharaan tanah, air dan hutan di Amerika Syarikat. Usahanya mempengaruhi Kongres untuk meluluskan rang draf undang-undang Taman Negara Yosemite pada tahun 1890, menubuhkan Taman Negara Yosemite dan Sequoia. Muir membantu memujuk Presiden Theodore Roosevelt untuk menyediakan kawasan seluas 59 900 000 hektar untuk hutan simpan. Hutan redwood dekat San Francisco dinamakan Muir Woods pada tahun 1908 sebagai menghargai jasanya. | UMUM | |
NICOLET, JEAN | Nicolet, Jean (1598–1642) ialah penjelajah awal Perancis di Amerika. Ahli sejarah percaya bahawa dia merupakan orang Eropah yang pertama yang memudiki Tasik Michigan dan mengembara di wilayah yang kini dikenali sebagai negeri Wisconsin. Tidak banyak yang diketahui tentang penjelajahannya sehingga pada pertengahan tahun 1800-an apabila catatan perjalanannya di bahagian barat ditemui dalam Jesuit Relations. | UMUM | |
AMUNDSEN, ROALD | Amundsen, Roald (1872–1928), penjelajah Norway, mengetuai ekspedisi yang pertama sampai di Kutub Selatan. Amundsen dan empat orang rakannya menemui kutub tersebut pada 14 Disember 1911. Mereka mendahului ekspedisi Inggeris yang diketuai oleh Robert F. Scott lima minggu lebih awal. Amundsen juga terkenal kerana kerap membuat penjelajahan di Artik. | UMUM | |
MONTS, SIEUR DE | Monts, Sieur de (1560?–1630?), penjelajah dan penjajah Perancis, yang menubuhkan petempatan penduduk di wilayah Acadia Kanada. Dia mempunyai minat dalam bidang perniagaan bulu binatang, penemuan baru, dan pelayaran. Sieur de Monts ialah rakan karib Raja Henry IV Perancis. Henry IV melantik Monts menjadi leftenan jeneral dan gabenor Acadia. | UMUM | |
NANSEN, FRIDTJOF | Nansen, Fridtjof (1861–1930) ialah penjelajah kutub Norway yang mashyur. Dia juga seorang ahli kemanusiaan, negarawan, zoologi marin dan perintis ilmu alam lautan. | UMUM | |
ERICSON, LEIF | Ericson, Leif (980?M–1025?M), penjelajah Norway yang memimpin satu ekspedisi yang mungkin merupakan ekspedisi Eropah pertama menjelajah tanah besar Amerika Utara. | UMUM | |
DRAKE, SIR FRANCIS | Drake, Sir Francis (1540?–1596), penjelajah dan panglima tentera Inggeris, merupakan orang Inggeris pertama belayar mengelilingi dunia. Taktik perang lautnya mengalahkan Sepanyol, musuh utama Inggeris, membantu England menjadi kuasa di laut. | UMUM | |
DE SOTO, HERNANDO | De Soto, Hernando (1500–1542), penjelajah Sepanyol yang mengetuai ekspedisi Eropah yang pertama sampai ke Sungai Mississippi di negeri yang kini dikenali sebagai Amerika Syarikat. | UMUM | |