BALAMBANGAN, kerajaan Hindu yang terakhir selepas kejatuhan kerajaan Majapahit dan penyebaran agama Islam antara abad ke-15 hingga abad ke-16, terletak di timur Pulau Jawa. Penyisihan Balambangan dari dunia Islam telah berakhir dengan sebuah legenda yang terdapat dalam Sejarah Melayu yang menghubungkaitkannya dengan kemunculan sebuah kerajaan Islam di Giri. Mengikut legenda ini, seorang pendakwah Islam dari Pasai yang bernama Maulana Ishak telah berkahwin dengan puteri pemerintah Balambangan. Keengganan pemerintah Balambangan memeluk Islam, menyebabkan Maulana Ishak meninggalkan negeri itu. Walaupun telah ditinggalkan oleh kedua-dua ibu bapanya, Raden Paku, putera Maulana Ishak, telah dibesarkan sebagai seorang Islam. Setelah menyempurnakan ibadat haji, Raden Paku telah mendirikan sebuah masjid di Giri dan akhirnya baginda ditabalkan sebagai Sunan Giri yang pertama.
Thanks for clicking. That felt good.