ACAPULCO | Acapulco (pend. 515 374) secara rasmi dikenali sebagai Acapulco de Juárez, ialah pelabuhan dan juga bandar percutian di Mexico. Pemandangannya yang indah, dan iklim sederhana panas menjadikannya salah satu tempat percutian yang paling popular di dunia. Ia terletak di atas bukit bukau berhutan di sepanjang pelabuhan semula jadi yang dalam di pantai Pasifik Mexico. Bandar ini terletak kira-kira 300 kilometer ke barat daya Mexico City (lihat Mexico [peta politik]). | UMUM | |
ABERYSTWYTH | Aberystwyth, tempat percutian tepi pantai yang popular di Dyfed, ialah pusat kebudayaan dan pendidikan Wales. Bandar ini terletak di pantai Teluk Cardigan, di muara Sungai Rheidol dan Sungai Ystwyth. Aberystwyth dalam bahasa Wales bermakna Muara Sungai Ystwyth . Salah sebuah kolej University of Wales terletak di Aberystwyth. Beberapa jabatan universiti dan National Library of Wales terdiri di atas bukit di belakang bandar ini. | UMUM | |
BUTLIN, SIR BILLY | Butlin, Sir Billy (1899–1980) ialah pelopor khemah percutian di United Kingdom. Dia membuka khemah percutiannya yang pertama di Skegness pada tahun 1936 dan mengembangkan perniagaannya selepas Perang Dunia II (1939–1945). | UMUM | |
AGENSI PELANCONGAN | Agensi pelancongan ialah perniagaan yang membantu mengatur perjalanan dan percutian orang ramai dengan menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan pemergian mereka. Agensi pelancongan membuat tempahan bilik hotel dan pengangkutan serta mengatur perjalanan untuk melihat tempat-tempat yang menarik. Agensi ini juga menawarkan panduan bagi pelanggannya untuk memperoleh pasport dan visa yang diperlukan untuk melancong ke luar negara. Agensi pelancongan juga memberikan maklumat tentang undang-undang dan peraturan sesebuah negara kepada pelanggannya. Agensi ini mengatur pelancongan untuk orang perseorangan atau secara berkumpulan. | UMUM | |
ATLANTIC CITY | Atlantic City (pend. 40 199; pend. kaw. met. 319 416) ialah bandar percutian tepi laut yang besar di timur negeri New Jersey di Amerika Syarikat. Bandar ini terletak di Pulau Absecon, berhampiran pantai tenggara tanah besar New Jersey. Untuk lokasi bandar ini, lihat Amerika Syarikat (peta politik). | UMUM | |
DOUGLAS | Douglas (pend. 20 368) ialah ibu negeri Isle of Man di Britain. Bandar yang menghadap Teluk Douglas di sebelah timur pulau ini, merupakan sebuah pusat percutian yang terkenal. | UMUM | |
NEW MEXICO | New Mexico (pend. 1 521 779) ialah negeri di barat daya Amerika Syarikat. Ia dikenali sebagai Taman yang Mempesonakan kerana pemandangannya yang indah dan kaya dengan sejarah. New Mexico pernah diperintah oleh Sepanyol, dan pengaruh Sepanyol jelas kelihatan pada nama tempat, makanan, dan budaya percutian. | UMUM | |
PULAU WIGHT | Pulau Wight (Isle of Wight) ialah pulau yang terbesar di luar pantai England. Ia terletak di Selat Inggeris, lebih kurang separuh jalan di sepanjang pinggir laut selatan bertentangan dengan Hampshire. Untuk lokasinya, lihat Englan d (peta politik). Semenjak tahun 1800-an, Pulau Wight terkenal khususnya sebagai tempat peranginan percutian. | UMUM | |
TASIK TE ANAU | Tasik Te Anau ialah tasik yang terbesar di Pulau Selatan New Zealand. Tasik ini luasnya 344 kilometer persegi dan panjangnya melebihi 64 kilometer. Ia mempunyai tiga buah terusan yang panjang yang menganjur ke luar ke arah pergunungan di bahagian barat. Kebanyakan puncak gunung di sekeliling tasik ini menjulang hingga melebihi 1800 meter di atas aras laut. Te Anau, sebuah bandar kecil di hujung selatan tasik ini, merupakan tempat percutian yang popular. Antara tarikannya ialah perjalanan dengan bot di Tasik Te Anau. Tasik ini juga merupakan tempat permulaan Milford Track, iaitu lorong pejalan kaki yang mengambil masa selama tiga hari untuk sampai ke Milford Sound. Untuk lokasi, lihat New Zealand (peta rupa bumi). | UMUM | |
TASIK MACQUARIE | Tasik Macquarie ialah lagun pinggir laut yang besar di New South Wales, Australia. Luasnya kira-kira 100 kilometer persegi dan terletak kira-kira 15 kilometer ke selatan Newcastle. Air Tasik Macquarie dibekalkan daripada beberapa anak sungai kecil dan yang terbesar daripadanya ialah Dora Creek dan Cockle Creek. Tasik Macquarie terbuka terus ke laut di Tasik Entrance, berdekatan dengan bandar pinggir laut Swansea. Bandar utama yang lain di pesisir tasik tersebut ialah Toronto, Wangi Wangi dan Belmont. Stesen penjanaan kuasa terma Vales Point dan Wangi mendapat bekalan air dari tasik tersebut. Tasik Macquarie sebuah tempat percutian popular yang menyediakan kemudahan bermain bot dan memancing yang sangat baik. | UMUM | |