Panama ialah sebuah negara kecil di Amerika Tengah. Negara ini penting kepada seluruh dunia sebagai pusat pengangkutan. Negara ini meliputi Segenting Panama, iaitu sejaluran sempit tanah yang memisahkan Lautan Atlantik dengan Lautan Pasifik berdekatan dengan bahagian tengah Hemisfera Barat. Segenting itu direntas oleh Terusan Panama bagi menghubungkan kedua-dua lautan tersebut. Beribu-ribu buah kapal menggunakan terusan ini setiap tahun untuk pergi dari sebuah lautan ke lautan yang lain. Dengan berbuat begitu, kapal-kapal ini dapat mengelakkan pelayaran yang jauh mengelilingi hujung selatan benua Amerika Selatan. Oleh yang demikian, Panama memainkan peranan yang utama dalam sistem pengangkutan dunia. Kadang-kadang negara ini juga dikenali sebagai Persimpangan Jalan Dunia disebabkan peranannya itu semenjak tahun 1914. |