PERTEMPURAN CONCORD | Pertempuran Concord berlaku pada 19 April 1775, menandakan pertempuran yang kedua antara kumpulan patriot dengan pihak Inggeris dalam Revolusi Amerika. Peperangan ini mula meletus berhampiran Lexington, Massachusetts. Semasa musim sejuk sebelumnya, orang Amerika telah mengumpul bekalan ketenteraan sebagai persiapan jika berlakunya peperangan. Kerajaan Inggeris mengarahkan ketua turus angkatan tenteranya di Boston , Leftenan Jeneral Thomas Gage, untuk memusnahkan simpanan bekalan di Concord. Pada malam 18 April, Gage menghantar 700 orang tentera di bawah pimpinan Leftenan Kolonel Francis Smith untuk melaksanakan arahan ini. Tetapi, Paul Revere dan William Dawes memberi amaran kepada penduduk di kawasan itu bahawa tentera Inggeris sedang mara. | UMUM | |
PERANG AL-QADISIYYAH | Perang al-Qadisiyyah berlaku pada bulan Muharam tahun 14 Hijrah bersamaan 635 Masihi. Peperangan ini berlaku antara orang Islam dengan Parsi pada zaman Khalifah ‘Umar bin Al-Khattab. Setelah berlakunya peperangan al-Buwaib, Parsi telah mengetahui beberapa ancaman yang akan menggugat negara mereka. Oleh yang demikian, Parsi telah memulakan persiapan untuk serangan yang baru dan berasingan. Mereka telah mengerahkan penduduk tempatan di bawah naungan orang Islam. | UMUM | |
PIAGAM JAKARTA | PIAGAM JAKARTA, persetujuan yang dicapai antara nasionalis Islam dengan nasionalis (kebangsaan) Indonesia mengenai pembentukan negara bangsa Indonesia menjelang pengisytiharan kemerdekaan Indonesia. Persetujuan ini telah dicapai oleh Badan Penyelidik Usaha-Usaha Persiapan Kemerdekaan Indonesia (BPUPKI), iaitu satu panitia yang telah dibentuk pada 28 Mei 1945. Pada sidang kedua BPUPKI, satu panitia kecil telah ditubuhkan. Ahli-ahlinya terdiri daripada Sukarno, Mohammad Hatta, A.A. Maramis, Abiskusno Tjokrosujoso, Abdul Kahar Muzakar, Haji Agus Salim, Ahmad Subardjo, Wahid Hasjim dan Muhammad Yamin. Pada 22 Jun 1945, panitia ini berjaya mencapai suatu modus persetujuan yang kemudian dikenal sebagai Piagam Jakarta (Jakarta Charter). Kandungan Piagam Jakarta hampir sepenuhnya tercermin dalam Pembukaan Undang-Undang Dasar 1945 (UUD 45), iaitu sistem pemerintahan negara Indonesia. Modus persetujuan itu juga mempengaruhi rumusan rancangan UUD bagi Indonesia merdeka. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Konsep |
UNDANG-UNDANG DASAR 1945 | UNDANG-UNDANG DASAR 1945, undang-undang dasar yang diperakukan di negara Indonesia. Undang-undang dasar ini disahkan pada 18 Ogos 1945 oleh suatu badan yang disebut Panitia Persiapan Kemerdekaan Indonesia yang anggotanya diwakili oleh semua golongan di Indonesia. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Konsep |
SEMANGAT 46 | SEMANGAT 46, parti politik. Parti ini ditubuhkan pada 11 Mei 1989. Penubuhan parti ini adalah sebagai persiapan menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Teluk Pasu, Terengganu. Penubuhan Parti Semangat 46 bermula dengan perpecahan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada tahun 1987 dan diikuti dengan pengharaman UMNO pada bulan Februari 1988. Oleh itu, matlamat penubuhan parti ini ialah berusaha untuk meneruskan semangat perjuangan UMNO 1946. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |