ALAT MENGUJUT | Alat mengujut ialah sejenis kolar besi. Ia pernah digunakan di Sepanyol dan Portugal dalam upacara menghukum mati pesalah. Algojo akan menempatkan pesalah di atas kerusi dan memasang alat mengujut di lehernya. Alat mengujut yang dipasang pada tiang besi yang terletak di belakang kerusi pesalah akan diperketat dengan menggunakan skru sehingga pesalah lemas. | UMUM | |
PASUNG | Pasung ialah alat yang pernah digunakan untuk menghukum pesalah yang melakukan kesalahan kecil. Ia terdiri daripada binaan kerangka kayu yang dilubangkan untuk memasang tangan dan kepala pesalah. | UMUM | |
TIANG SEBATAN | Tiang sebatan ialah tempat pesalah diikat untuk disebat sebagai hukuman. Hukuman ini satu ketika dahulu dilakukan di hadapan khalayak ramai. Kebanyakan kampung di England mempunyai tiang untuk menjalankan hukuman sebatan ini di dataran awamnya. Tiang ini biasanya dilengkapi dengan pasung (lihat Pasung ). | UMUM | |
SEKOLAH PEMULIHAN AKHLAK | Sekolah pemulihan akhlak ialah institusi pemulihan untuk pelanggar undang-undang yang berumur lebih daripada 18 tahun, tetapi tidak memerlukan pengawasan ketat. Sekolah pemulihan akhlak sering digunakan untuk mengasingkan pesalah yang lebih muda daripada pesalah yang lebih tua. Sekolah ini menyediakan khidmat kaunseling, latihan vokasional dan program pembaikan yang lain. | UMUM | |
AMNESTI | Amnesti ialah pengampunan oleh kerajaan bagi jenayah yang telah dilakukan terhadapnya. Amnesti mengembalikan semula status perundangan pesalah kepada status perundangan mereka yang asal sebelum mereka melakukan jenayah tersebut. | UMUM | |
BORSTAL | Borstal ialah sekolah penjara bagi pesalah remaja di United Kingdom dari tahun 1902 hingga 1983. Perkataan borstal berasal daripada nama sebuah kampung di Kent, tempat sekolah penjara pertama didirikan. | UMUM | |
MAHKAMAH | Mahkamah ialah sebuah institusi kerajaan yang menyelesaikan pertikaian undang-undang dan mengendali keadilan. Mahkamah menyelesaikan konflik melibatkan individu, pertubuhan, dan kerajaan. Mahkamah juga menentukan, sama ada orang yang dituduh melakukan jenayah itu bersalah atau tidak, dari segi undang-undang, dan menjatuhkan hukuman terhadap pesalah. | UMUM | |
PERCUBAAN | Percubaan ialah satu tindakan kehakiman yang membenarkan penjenayah yang disabitkan bersalah, tinggal bebas dengan masyarakat sebagai ganti menjalani hukuman di dalam penjara. Hukuman percubaan selalunya diizinkan oleh hakim kepada mereka yang disabitkan bersalah melakukan kesalahan jenayah selain jenayah berat, seperti rompakan bersenjata, pembunuhan atau rogol. Hukuman percubaan ini memberikan peluang kepada pesalah untuk membuktikan bahawa dia tidak akan mengulangi perbuatan jenayah itu lagi. Perkataan percubaan (probation) dalam bahasa Inggeris diambil daripada perkataan Latin yang bermaksud membuktikan atau menguji. | UMUM | |
UNDANG-UNDANG ADAT DI SABAH | UNDANG-UNDANG ADAT DI SABAH, peraturan-peraturan yang diaplikasi kepada penduduk peribumi Sabah, yakni mereka yang diberi status ‘anak negeri’. Peraturan ini berasal daripada adat atau amalan penduduk peribumi Sabah yang berkaitan dengan kepercayaan, kekeluargaan, pewarisan, kejiranan, hubungan seksual dan tatacara menimbangkan konflik. Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahawa adat yang dipakai oleh pelbagai suku kaum yang terdapat di Sabah seperti suku kaum Dusun-Kadazan, Murut, Bajau, Melayu, Bugis, Orang Sungai dan lain-lain lagi boleh dikekalkan dan merupakan sebahagian daripada undang-undang negara sekiranya ia menepati syarat-syarat berikut. Pertama, adat tersebut tidak boleh direka tetapi mempunyai sejarah turun-temurun. Kedua, adat tersebut masih dihayati oleh suku kaum berkenaan. Ketiga, adat itu mestilah diamalkan secara berterusan, yakni tidak pernah terputus daripada satu keturunan kepada satu keturunan, dan keempat, adat itu mestilah boleh dikuatkuasakan dalam erti kata bahawa ia jelas dari segi hukuman yang akan dikenakan terhadap pesalah. | BUDAYA | Konsep |