| ORION | Orion, Si Pemburu, ialah buruj yang terang yang termasuk dua daripada bintang yang paling terang di langit. Orion sering digambarkan membelakangi kita. Dalam pandangan ini, bintang merah yang terang, Betelgeuse, menandakan bahu kirinya. Bintang putih biru yang dikenali sebagai Rigel menandakan kaki kanannya. Dua bintang yang lebih malap, Bellatrix dan Saiph, menandakan bahu kanan dan kaki kiri Orion. Orion mudah dikenal pasti melalui satu baris tiga bintang yang membentuk tali pinggangnya. Sebilah pedang, yang terbentuk daripada sebaris bintang yang malap, tergantung dari tali pinggangnya. | UMUM | |
| ASMA' BINT ABU BAKAR AL-SIDDIQ | Asma' bint Abu Bakar al-Siddiq (27 S.H.–73 H./595–692 M.) ialah sahabat Nabi Muhammad s.a.w. Baginda menggelarkannya Zat al-Nitaqayn yang bermaksud “yang mempunyai dua tali pengikat”, kerana dia menyediakan makanan untuk ayahnya, Abu Bakar r.a. dan Rasulullah s.a.w. ketika mereka berhijrah ke Madinah. Oleh sebab tidak terdapat sebarang tali untuk mengikat bekas minuman, Asma’ terpaksa membelah tali pinggangnya kepada dua bahagian dan mengikat bekas minuman tersebut. | UMUM | |
| SCYLLA | Scylla, dalam mitologi Yunani, pada mulanya merupakan seorang bidadari yang cantik. Penyair Rom, Ovid menceritakan bagaimana dewa laut, Glaucus, jatuh cinta dengan Scylla apabila Glaucus melihat Scylla berjalan di pantai Selat Messina. Scylla tidak mencintai Glaucus. Glaucus mendapatkan bantuan tukang sihir wanita bernama Circe. Circe pula meminta Glaucus mencintainya dan bukan Scylla, tetapi Glaucus enggan melayaninya. Circe menjadi sangat marah dan menukar Scylla menjadi raksasa laut, yang mempunyai tubuh separuh wanita dan separuh ikan serta beberapa kepala anjing tumbuh dari pinggangnya. | UMUM | |
| BENGKUNG | BENGKUNG, kain yang dililit di bahagian pinggang dan dipakai oleh lelaki dan wanita dengan fungsi dan tujuan yang tertentu. Bengkung bagi lelaki pada asasnya ialah ikat pinggang atau kain ikat pinggang. Pada masa itu, kain ikat pinggang merupakan sehelai kain punca potong sepanjang lebih kurang 200 cm panjang dan selebar 80 cm hingga 90 cm. Bengkung yang terbaik pada masa itu ialah kain cindai daripada sutera yang berjambul (berambu) kedua-duanya puncanya, buatan India dan coraknya berbelang-belang seperti kulit ular. Ada kalanya seseorang yang memakai bengkung disebut sebagai ‘bersayap sandang’ kerana kain ikat pinggangnya dipakai melintang pada dada untuk menusukkan pedang atau keris. | BUDAYA | Alat/Alatan |