PINGGUL | Pinggul ialah bahagian badan di antara badan dengan paha. Sendi pinggul dibentuk oleh tulang pinggul (yang terdiri daripada tiga tulang yang bercantum iaitu ilium, iskium dan pubis ) dan pangkal femur (tulang paha). Pangkal femur dipadankan dengan asetabulum, iaitu rongga pada tulang pinggul. Susunan ini membentuk sendi bebola dan rongga yang memberikan kekuatan dan membolehkan pelbagai pergerakan dalam semua arah. Beberapa otot yang kuat mengelilingi sendi ini, termasuk gluteus maksimus yang besar, bulat di belakang; gluteus medius di sisi; dan rektus femoris yang panjang bak pengikat di depan. Otot-otot ini menegakkan sendi supaya seseorang boleh berdiri. Ia juga menggerakkan kaki untuk berjalan dan berlari. | UMUM | |
KEMBAR SIAM | Kembar siam yang dikenali juga sebagai kembar melekat ialah kembar yang bersambung pada bahagian tertentu di tubuh mereka. Kembar seperti ini biasanya bersambung pada pinggul, dada, abdomen, punggung, atau kepala. Ada juga yang berkongsi organ dalaman seperti jantung atau hati. Kembar siam ialah kembar seiras, iaitu pasangan yang mempunyai sifat genetik yang sama. Kembar siam berlaku kira-kira satu dalam 50 000 kelahiran. Hanya kira-kira 500 kes sahaja yang dilaporkan di seluruh dunia walaupun jumlah yang sebenarnya mungkin lebih daripada itu. | UMUM | |
SENDI SAKROILIAK | Sendi sakroiliak menyambungkan tulang belakang dengan pelvis. Tulang sakrum berbentuk V berdekatan dengan bahagian bawah tulang belakang muat seperti baji di antara kepak lebat tulang ilium (tulang pinggul). Ligamen dan plat daripada rawan menyambungkan tulang- tulang tersebut. Keradangan atau ketegangan pada sendi sering menyebabkan kesakitan di belakang bahagian bawah belakang. | UMUM | |
PRONGHORN | Pronghorn ialah haiwan berhuf yang hidup di Amerika Utara. Badannya gempal, telinganya besar, kakinya kurus dan ekornya pendek. Warnanya berbeza-beza daripada perang cerah hingga kepada perang kemerahan. Ia mempunyai sedikit bulu putih pada bahagian bawah, pinggul, sisi muka dan lehernya. | UMUM | |
ALLOSAURUS | Allosaurus ialah dinosaur besar karnivor yang hidup lebih kurang 150 juta tahun dahulu. Allosaurus hidup di bahagian barat Amerika Syarikat. Haiwan ini membesar sehingga lebih kurang 11 meter panjang, berdiri lebih kurang dua meter tinggi pada bahagian pinggul, dan beratnya lebih kurang 1.8 tan metrik. | UMUM | |
POSTUR | Postur ialah kedudukan tubuh seseorang ketika berdiri atau duduk. Postur ditentukan oleh keupayaan seseorang mengekalkan keseimbangan terhadap daya graviti, yang menarik tubuh secara berterusan ke bawah. Tindakan sesetengah otot tertentu mengekalkan tubuh supaya tegak lurus. Otot ini termasuk otot yang menahan belakang, pinggul dan lutut daripada bengkok. Disebabkan oleh tindakan tolak ansur dengan tarikan graviti dan juga tindakan otot, maka postur ialah keadaan yang dinamik dan sentiasa berubah. | UMUM | |
OKAPI | Okapi ialah haiwan nadir yang hidup di hutan tebal di sekitar lembangan Sungai Congo di Afrika. Ia ditemui di sana oleh penjelajah Eropah pada tahun 1900. Okapi tingginya kira-kira 1.5 meter pada paras bahu. Ia berkaitan dengan zirafah, tetapi lehernya jauh lebih pendek. Badan okapi berwarna perang berangan tua, mukanya putih, pinggul dan kaki atasnya berbelang-belang putih. Okapi jantan mempunyai sepasang tanduk yang pendek dan berbulu. | UMUM | |
BURSITIS | Bursitis ialah gangguan yang menyebabkan kesakitan dalam sendi-sendi tubuh. Lazimnya penyakit ini terjadi di bahagian sendi bahu atau sendi pinggul. | UMUM | |