| PETIT POINT | Petit point ialah bentuk sulaman yang halus, selalunya dijahit di atas kanvas jejaring halus. Istilah ini juga digunakan untuk menggambarkan kanvas yang telah siap. Petit point kadangkala dikenali juga sebagai jahit khemah (tent stitch) atau jahit setengah (half stitch). | UMUM | |
| SYDNEY OPERA HOUSE | Sydney Opera House di Sydney, Australia dianggap sebagai salah sebuah bangunan yang teragung pada tahun 1900-an. Ia terletak di Bennelong Point, sebuah semenanjung yang menganjur ke Pelabuhan Sydney. Dua buah bumbungnya yang seperti layar kapal itu dengan cangkerang yang tindih-menindih, serta kejuruteraannya yang mengagumkan telah menjadikannya terkenal ke seluruh dunia. Gedung opera ini dapat menampung lebih 6600 orang penonton. Dewan-dewannya menyediakan kemudahan untuk konsert simfoni, opera, drama, balet, filem, resital solo, pameran dan konvensyen. Bumbung cangkerang itu meliputi dua buah dewan pertunjukan yang terbesar dan sebuah restoran. | UMUM | |
| ARCHER, JOHN LEE | Archer, John Lee (1791–1852), jurutera awam dan arkitek, yang mereka bentuk kebanyakan bangunan- bangunan tertua di Tasmania. Dia mereka bentuk gereja-gereja Old Trinity, Richmond, Bothwell, Hamilton, Battery Point, Stanley dan St. John di New Town. Bangunan-bangunan awam yang paling terkenal hasil reka bentuknya ialah Ordnance Stores , Public Buildings dan Launceston Court House . Rumah Kastam yang direka bentuk olehnya kini merupakan Parlimen Tasmania. Dia juga mereka bentuk sebahagian daripada rumah api di Low Head dan Cape Bruny. Archer lahir di Ireland. | UMUM | |
| SELAT MENAI | Selat Menai ialah selat yang sempit di antara pulau Anglesey di Laut Ireland dengan tanah besar Wales Utara. Selat ini lebih kurang 25 kilometer panjang dan terbentang dari Beaumaris di timur laut ke Abermenai Point di barat daya. Lebarnya tidak sekata dari lebih kurang lima kilometer hingga sekecil 180 meter. Bangor ialah bandar yang terbesar di selat ini. Jambatan gantung Selat Menai yang dibina oleh Thomas Telford terletak berhampiran. | UMUM | |
| SYDNEY HARBOUR BRIDGE | Sydney Harbour Bridge di New South Wales ialah jambatan Australia yang paling terkenal di Australia dan salah sebuah jambatan satu rentangan yang paling panjang di dunia. Bersama dengan rentangan jalan masuknya, panjangnya ialah 1149 meter. Jambatan ini terbentang menyeberangi Pelabuhan Sydney dari Dawes Point ke Milsons Point. Jambatan ini, yang dibuka pada 19 Mac 1932, mengambil masa sembilan tahun untuk dibina dan menelan belanja hampir 20 juta dolar Australia. | UMUM | |
| ANDRE, JOHN | Andre, John (1751–1780), pegawai Inggeris, digantung oleh Tentera Revolusi Amerika kerana menjadi perisik. Dia merupakan utusan jeneral Inggeris, Sir Henry Clinton, yang bersama-sama Benedict Arnold, mempunyai rancangan untuk merampas kubu penting orang Amerika di West Point (lihat Arnold, Benedict ). | UMUM | |
| AUTRY, GENE | Autry, Gene (1907–1998), penyanyi, pelakon, penulis lagu, dan eksekutif perniagaan Amerika. Dia menjadi terkenal kerana peranannya sebagai seorang penyanyi koboi di dalam filem-filem Barat dari tahun 1930-an hingga tahun 1950-an. Orvon Gene Autry lahir di Tioga, berdekatan Pilot Point, Texas, Amerika Syarikat. Dia mula merakamkan lagu- lagu koboi pada tahun 1929 dan mencipta rekod kegemaran ramai “That Silver-Haired Daddy of Mine”, buat kali pertamanya, pada tahun 1931. Autry menulis lebih daripada 250 buah lagu, termasuk yang menjadi kegemaran ramai seperti “Tears on My Pillow” (1941) dan “Here Comes Santa Claus” (1947). Dia juga membuat rakaman popular lagu “Back in the Saddle Again” (1939), “Rudolph the Red- Nosed Reindeer” (1949), “Frosty the Snowman“ (1950) dan “Peter Cottontail” (1950). | UMUM | |
| TANJUNG HARAPAN | Tanjung Harapan ialah sebuah semenanjung di Afrika Selatan. Ia terletak lebih kurang 160 kilometer ke barat laut Tanjung Agulhas, hujung bahagian paling selatan Afrika. Tanjung ini menganjur ke selatan dari Pergunungan Table yang menaungi bandar Cape Town. Penduduk Afrika Selatan menyebut semenanjung ini Cape Peninsula . Hujung bahagian selatan semenanjung ini mereka namai Cape Point. Semenanjung ini membentuk bahagian pinggir barat Teluk False. Tanjung Harapan terkenal dengan pemandangan yang amat indah serta pantai yang cantik. | UMUM | |
| TELUK NAPLES | Teluk Naples ialah serokan Laut Tyrrhenian, yang merupakan cabang Laut Mediteranean. Teluk ini terkenal dengan keindahan pemandangannya di sepanjang pesisirannya dan airnya yang dalam berwarna biru. Teluk Naples memanjang ke pantai barat daya pantai Itali. Lebarnya kira-kira 32 kilometer di antara Tanjung Miseno dengan Point Campanella dan merentang ke pedalaman sejauh kira-kira 16 kilometer. Lihat juga Naples (gambar). | UMUM | |
| TASIK MACQUARIE | Tasik Macquarie ialah lagun pinggir laut yang besar di New South Wales, Australia. Luasnya kira-kira 100 kilometer persegi dan terletak kira-kira 15 kilometer ke selatan Newcastle. Air Tasik Macquarie dibekalkan daripada beberapa anak sungai kecil dan yang terbesar daripadanya ialah Dora Creek dan Cockle Creek. Tasik Macquarie terbuka terus ke laut di Tasik Entrance, berdekatan dengan bandar pinggir laut Swansea. Bandar utama yang lain di pesisir tasik tersebut ialah Toronto, Wangi Wangi dan Belmont. Stesen penjanaan kuasa terma Vales Point dan Wangi mendapat bekalan air dari tasik tersebut. Tasik Macquarie sebuah tempat percutian popular yang menyediakan kemudahan bermain bot dan memancing yang sangat baik. | UMUM | |