MUZIK POPULAR | Muzik popular ialah muzik yang mendapat tempat di hati orang ramai iaitu muzik yang dinikmati oleh sebilangan besar penduduk. Istilah ini sering digunakan untuk membezakannya daripada muzik klasik. Muzik klasik adalah satu bentuk seni yang dipelajari, dan ciptaan yang agak rumit dipersembahkan oleh pemain instrumental solo, kuartet bertali, orkestra simfoni, dan sebagainya. Sesetengah orang merasakan bahawa muzik popular mudah dan menghiburkan sementara muzik klasik pula serius, begitu halus, atau sukar dinikmati. Walau bagaimanapun lagu popular seperti “Eleanor Rigby” oleh John Lennon dan Paul McCartney, adalah serius dan agak rumit, dan banyak karya klasik seperti Eine Kleine Nachtmusik karya Mozart, simfoni-simfoni Tchaikovsky, atau Bolero karya Ravel dikenali dan digemari oleh berjuta-juta pendengar. Malah sesetengah muzik klasik seperti beberapa karya piano Chopin telah diadaptasikan sebagai lagu popular. | UMUM | |
AGERATUM | Ageratum ialah pokok taman yang popular, tumbuh rendah dan semusim yang popular. Bunganya berwarna biru pucat, putih, atau samar. Ia berbunga sepanjang musim panas. Setiap kuntum bunga mempunyai banyak bunga kecil berbentuk tiub yang tumbuh rapat-rapat. Pokok ageratum boleh ditanam daripada biji pada mulanya di dalam rumah pada awal musim bunga, atau ditanam di luar rumah kemudiannya. | UMUM | |
REGGAE | Reggae ialah sejenis muzik popular yang dikembangkan di Jamaica pada tahun 1960-an. Pada mulanya, reggae dipersembahkan khusus untuk rakyat Jamaica yang miskin. Kemudiannya Reggae menjadi popular di seluruh Jamaica dan England serta Amerika Syarikat. Reggae mempengaruhi jiwa irama blues dan muzik rock. | UMUM | |
MUZIK COUNTRY | Muzik country ialah muzik rakyat Amerika yang popular. Muzik ini dikaitkan dengan budaya luar bandar dan kawasan Amerika Syarikat Selatan. Muzik ini berkembang pada tahun 1800- an, hasil gabungan eleman-eleman muzik rakyat dari Great Britain, muzik blues dari masyarakat kulit hitam luar bandar di Selatan, lagu-lagu popular pada akhir tahun 1800-an dan muzik agama. Ada kalanya, muzik country dipanggil muzik country and western, dan begitu popular di seluruh dunia sejak tahun 1940-an. | UMUM | |
MELIGAS | Meligas juga dikenali sebagai lumba abah-abah, merupakan satu perlumbaan kuda yang popular. Dalam meligas, setiap kuda menarik pemandu yang berada di dalam kenderaan ringan beroda dua yang dikenali sebagai sulky. Meligas popular di Australia, Kanada, New Zealand, dan Amerika Syarikat, serta kebanyakan negara Eropah. Berjuta-juta orang menyaksikan perlumbaan meligas setiap tahun. Kebanyakan perlumbaan berlangsung di trek perlumbaan yang besar di mana orang ramai boleh bertaruh ke atas kuda. | UMUM | |
SPRINGSTEEN, BRUCE | Springsteen, Bruce (1949– ) ialah penyanyi, penulis lagu, dan pemain gitar Amerika yang popular. Peminatnya selalu menggelarnya “The Boss”. Muzik Springsteen mencerminkan gaya ritma yang bertenaga serta blues dan rock ‘n’ roll yang popular pada tahun 1950-an. Dia mengubah sendiri hampir kesemua lagu yang dipersembahkannya. | UMUM | |
BOLA SEPAK | Bola sepak ialah sukan yang paling popular di dunia. Ia adalah sukan kebangsaan bagi kebanyakan negara di Eropah dan di Amerika Latin dan bagi banyak negara yang lain. Sukan ini dikenali sebagai football di kebanyakan negara yang bertutur bahasa Inggeris. Ia juga selalu dikenali sebagai soccer, iaitu namanya yang lebih popular dalam bahasa Inggeris. | UMUM | |
SERAPIS | Serapis ialah dewa yang tiba-tiba menjadi popular di Mesir pada tahun 300-an S.M. Pemerintah Ptolemaic di Mesir bermula dengan Ptolemy I pada tahun 323 S.M., telah membina sebuah kuil yang sangat indah untuk Serapis dan menggalakkan penyebaran fahamannya di seluruh dunia Mediterranean. Serapis menggabungkan watak Mesir dan Yunani. Di Alexandria, dia digambarkan sebagai dewa yang menduduki takhta yang merupakan lambang diraja seperti Zeus, raja segala dewa Yunani. Serapis ialah dewa alam ghaib, dikaitkan dengan Isis, dewi Mesir yang popular. Selain itu, Serapis bertindak sebagai pemilik Sungai Nil yang memberikan kesuburan. Dia melindungi golongan yang bekerja di laut, memberikan ilham tentang ramalan, menyembuhkan pesakit, dan memerintah seluruh alam semesta seperti Zeus. Serapis memiliki banyak watak Mesirnya daripada fahaman Osiris-Apis di Memphis. Nama Serapis mungkin merupakan gabungan antara Osiris dengan Apis. Osiris, suami Isis, ialah dewa kesuburan dan dewa alam ghaib. Apis pula merupakan bentuk duniawi Osiris dalam lambang lembu jantan. | UMUM | |
TANGERIN | Tangerin ialah nama popular bagi buah sitrus dalam kumpulan mandarin. Buah ini kelihatan seperti oren, tetapi lebih kecil dan lebih leper, lebih mudah dikopek dan ulasnya lebih mudah terpisah. Tangerin ialah buah mandarin merah jingga yang berasal dari Asia Tenggara. Kulitnya nipis dan berbau wangi. Buahnya lembut, tetapi pokoknya lebih tahan terhadap kesejukan daripada pokok oren. Jenis tangerin termasuk Clementine, Dancy, Ponkan dan jenis kacukan seperti Kinnow, Robinson, Sunburst dan Wilking. Tangerin ditanam di Brazil, China, Itali, Jepun, Sepanyol dan Amerika Syarikat. Pengelasan saintifik. Tangerin tergolong dalam famili rue, Rutaceae. Ia adalah Citrus reticulata . Lihat juga Tangelo; Tangor. | UMUM | |
NILAND, D'ARCY | Niland, D’arcy (1917–1967), pengarang Australia, menulis lima buah novel dan lebih daripada 500 buah cerpen. Niland merupakan penulis yang popular dan bukan novelis sastera. Tetapi pengkritik mengiktirafnya kerana kepakarannya dalam membina karyanya. Novelnya yang paling popular ialah The Shiralee (1955). Novel ini memaparkan dengan mendalam tentang seorang lelaki yang mengembara di daerah pedalaman dengan anak perempuannya yang berumur empat tahun. Karyanya yang lain termasuklah The Big Smoke (1959) dan Ballad of the Fat Bushranger (1961). D’arcy Francis Niland lahir di Glen Innes, New South Wales. | UMUM | |