PROVINSI UTARA | Provinsi Utara ialah provinsi yang paling utara di Afrika Selatan. Ia berkongsi sempadan negeri dengan Botswana, Zimbabwe, dan Mozambique, dan sempadan provinsi dengan North West, Gauteng, dan Mpumalanga. Provinsi ini diasaskan pada 27 April 1994 sebagai Transvaal Utara. Pada tahun 1995, namanya bertukar menjadi Provinsi Utara. Bandar dan pekan utama ialah Pietersburg, Seshego, Namakgale, dan Mahwelereng. | UMUM | |
PROVINSI ATLANTIK | Provinsi Atlantik ialah empat provinsi Kanada, iaitu New Brunswick, Newfoundland, Nova Scotia, dan Pulau Prince Edward. Tiga daripada provinsi ini – New Brunswick, Nova Scotia, dan Pulau Prince Edward – kadangkala dikenali sebagai provinsi Maritim. | UMUM | |
PROVINSI | Provinsi pada zaman Rom, ialah kawasan yang ditakluki dan diperintah oleh seorang pegawai dari Rom. Kemudiannya negeri-negeri merdeka yang bersatu untuk membentuk sebuah negara biasanya menamakannya provinsi. Contohnya ialah Provinsi Bersatu Holland. Kemudiannya, negeri-negeri yang merdeka juga dibahagikan kepada wilayah yang dikenali sebagai provinsi. | UMUM | |
NEWFOUNDLAND | Newfoundland (pend. 568 474) merupakan provinsi Kanada yang paling baru. Provinsi ini termasuklah pulau Newfoundland dan pantai Labrador , sebahagian daripada tanah besar Kanada. Newfoundland menjadi sebuah provinsi Kanada pada tahun 1949. St. John merupakan ibu provinsi dan bandar yang terbesar di Newfoundland . Bandar yang sibuk ini adalah antara komuniti yang tertua di Amerika Utara. Ketam, udang karang dan kekapis hidup di sepanjang pantai Newfoundland. | UMUM | |
NORTH WEST | North West ialah satu daripada sembilan provinsi di Afrika Selatan. Ia disempadani oleh Botswana di utara. Provinsi ini ditubuhkan pada 27 April 1994. Ia termasuk bahagian bekas provinsi Transvaal dan Cape dan kebanyakan bekas tanah air Bophuthatswana . Mmabatho ialah ibu provinsi North West. Bandar utama dan pekannya adalah Mafikeng, Kelrksdorp, Potchefstroom, dan Rustenburg. | UMUM | |
KWAZULU-NATAL | KwaZulu-Natal ialah salah satu daripada sembilan provinsi di Afrika Selatan. Ia wujud pada 27 April 1994. Provinsi ini terletak di pantai timur Afrika Selatan, dan berkongsi sempadan negara dengan Swaziland dan Mozambique di sebelah utara, dan Lesotho di sebelah barat. Ia juga berkongsi sempadan provinsi dengan Mpumalanga, Free State, dan Cape Timur. Provinsi ini termasuk bekas provinsi Natal dan tanah air KwaZulu. | UMUM | |
MUNSTER | Munster ialah provinsi terbesar daripada empat provinsi yang terdapat di Ireland. Munster terletak di selatan Republik Ireland dan merangkumi lebih daripada satu per tiga daripada kawasan negara tersebut. Munster mempunyai enam kaunti, iaitu Clare, Cork, Kerry, Limerick, Tipperary, dan Waterford. Munster ialah kawasan ladang tenusu utama Republik Ireland. Tiga daripada lima bandar terbesar Ireland terdapat di Munster, iaitu Cork, Limerick, dan Waterford. | UMUM | |
ONTARIO | Ontario (pend. 10 084 885) ialah provinsi Kanada. Kira-kira satu per tiga daripada penduduk Kanada tinggal di Ontario. Industri perkhidmatan mendatangkan pendapatan yang besar kepada Ontario. Industri pembuatan di Ontario mengeluarkan keluaran yang sama banyak dengan keluaran sembilan provinsi lain yang digabungkan. Ontario merupakan provinsi pertama antara provinsi Kanada yang meraih pendapatan melalui pertanian dan menduduki tempat kedua selepas Alberta dalam bidang perlombongan. Ontario mempunyai lombong nikel, uranium, dan emas. | UMUM | |
ALBERTA | Alberta (pend. 2 545 533) ialah provinsi di barat Kanada dan salah satu kawasan pengeluaran minyak yang paling besar di Amerika Utara. Lebih kurang 80 peratus daripada minyak Kanada dan lebih kurang 90 peratus daripada gas asli Kanada datangnya dari provinsi ini. | UMUM | |
NOVA SCOTIA | Nova Scotia (pend. 899 942) merupakan salah satu daripada empat buah Provinsi Atlantik Kanada. Ia termasuk semenanjung tanah besar Kanada dan juga Pulau Cape Breton. Industri perkhidmatan merupakan aktiviti ekonomi yang utama di Nova Scotia. Industri perkhidmatan ini termasuk pendidikan, kerajaan, dan hotel serta restoran. Pemprosesan makanan juga penting kepada ekonomi provinsi ini. Halifax ialah ibu negeri Nova Scotia. Lihat Kanada. | UMUM | |