PUAN | Puan, tepak sirih yangdiperbuat dan direka bentuk khas menggunakan perak dan emas. Saiz puan lebih besar daripada tepak sirih biasa. Puan diperbuat dalam bentuk bulat dan berkaki seakan-akan pahar. Ada yang berbentuk bersegi-segi dan segi empat bujur dan ada juga yang dibentuk melambangkan seekor burung. | BUDAYA | Alat/Alatan |
PUTEH MARIAH IBRAHIM RASHID, PUAN SRI | PUTEH MARIAH IBRAHIM RASHID, Puan Sri (1914 - ), Ketua Wanita UMNO yang pertama. Dia lahir pada 28 Disember 1914 di Kuala Kangsar, Perak. Dia mendapat pendidikan di Anglo Chinese Girl School, Ipoh dan St. Agnes School, Teluk Anson. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
LEMBAGA KEBAJIKAN PEREMPUAN ISLAM PERSEKUTUAN TANAH MELAYU | LEMBAGA KEBAJIKAN PEREMPUAN ISLAM PERSEKUTUAN TANAH MELAYU, pertubuhan kebajikan bagi membantu kaum wanita Islam. Idea penubuhan pertubuhan kebajikan ini lahir daripada cita-cita Tunku Puan Besar Kurshiah, Raja Pemaisuri Agong yang pertama. Baginda berhasrat agar sebuah pertubuhan kebajikan bagi membantu kaum wanita Islam yang miskin dan malang dapat ditubuhkan di negara ini. Baginda berusaha mengumpulkan beberapa tokoh wanita Islam yang berpengalaman mengenai pertubuhan sukarela. Akhirnya, Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada 31 Mac 1960. Jawatankuasa pertubuhan kebajikan ini dianggotai oleh Tunku Puan Besar Kurshiah (sebagai Yang Dipertua), Nyonya Razif (isteri kepada Duta Besar Indonesia Persekutuan Tanah Melayu), Puan Sri Puteh Mariah, Tengku Aishah, Fatimah Musa, Che Tom Khir Johari dan Aminah Bahaman. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |
PERHAMBAAN | Perhambaan merupakan satu amalan manusia yang memiliki manusia lain. Seorang hamba abdi menjadi hak milik kepada tuannya dan bekerja untuknya tanpa sebarang upah atau gaji. Pemilik yang disebut tuan atau puan membekalkan makanan, tempat tinggal, dan pakaian kepadanya. Perhambaan bermula pada zaman prasejarah dan diamalkan sejak dari zaman tersebut. Perhambaan pada zaman purba mencapai kemuncaknya di Greece dan Empayar Rom. Pada Zaman Pertengahan, amalan perhambaan mengalami kemerosotan. Kemudian pada tahun 1500-an dan 1600-an, penjajahan Dunia Baru oleh orang Eropah telah mengakibatkan berkembangnya perhambaan secara pesat. Kemerosotan perhambaan disebabkan oleh perubahan moral terhadap perhambaan pada tahun 1800-an. Kini, perhambaan adalah tidak sah di sisi undang-undang di hampir setiap negara tetapi amalan ini masih lagi wujud di beberapa bahagian Afrika, Asia, dan Amerika Selatan. | UMUM | |
SEKOLAH MENENGAH PEREMPUAN ST. GEORGE | SEKOLAH MENENGAH PEREMPUAN ST. GEORGE, Sekolah perempuan yang terawal di Pulau Pinang. Sekolah ini dibina pada tahun 1884, di ‘Manse’, iaitu beranda rumah Puan Biggs, isteri Reverend L. Courtier Biggs. Pada masa itu dia berkhidmat sebagai Colonial Chaplain, Gereja St. George, Pulau Pinang. Sekolah Menengah Perempuan St. George dinamakan sempena nama gereja tersebut. Pada awal penubuhannya, sekolah ini mempunyai seramai 40 orang pelajar sahaja. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |
SULTAN MANSUR SYAH I | SULTAN MANSUR SYAH I ( ? – 1793), Sultan Terengganu yang kedua keturunan Bendahara Johor. Baginda juga dikenali dengan panggilan Ku Tana Mansur, Tun Dalam, Raja Kecil, Yang Dipertuan Kecil dan Marhum Janggut. Baginda adalah putera Sultan Zainal Abidin I dengan Che Puan Besar Nang Rugayah. Baginda menggantikan ayahandanya menduduki takhta kerajaan Terengganu ketika berusia tujuh tahun dengan persetujuan suadara-saudaranya yang lain. Oleh sebab itu baginda dikenali dengan gelaran Raja Kecil. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
PERGERAKAN WANITA UMNO MALAYSIA | PERGERAKAN WANITA UMNO MALAYSIA, bahagian penting dalam parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Bahagian ini pada asalnya dikenal sebagai Jabatan Kaum Ibu UMNO yang ditubuhkan pada akhir tahun 1947 dengan Puan Sri Datin Hajah Puteh Mariah Ibrahim Rashid sebagai ketuanya. Ia kemudian dinamakan Pergerakan Kaum Ibu (PKI) UMNO pada 25 Ogos 1949. Pada 1971, ia dikenal sebagai Pergerakan Wanita UMNO (PWU). | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Persatuan |
ENGKU TENGAH RAJA HAJI | ENGKU TENGAH RAJA HAJI, ( ? - ?), puteri keempat raja haji, Yang Dipertuan Muda Riau Keempat. Ibunya berasal dari Inderagiri (Sumatera). Engku Tengah dibesarkan di Riau –Lingga. Sewaktu Sultan Ibrahim Syah, Sultan Selangor yang kedua (1778 – 1826) berkunjung ke Riau –Lingga, sekitar tahun 1800, baginda mengahwini Engku Tengah (sepupunya) dan Engku Tengah digelar Engku Puan Selangor. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
DATO' SERI AGAR DIRAJA | DATO’ SERI AGAR DIRAJA, salah satu gelaran Orang Besar dalam kerajaan Melayu. Gelaran ini pernah disandang oleh Tun Mahmud yang menjadi pemerintah Selangor pada masa Kesultanan Melaka. Dalam huraian tentang Dato’ Seri Agar Diraja ini, rujukan khusus kepada negeri Perak. Dalam Kesultanan Perak, Dato’ Seri Agar Diraja ialah gelaran bagi Orang Besar Delapan. Penyandang gelaran ini lebih dikenal dengan panggilan Dato’ Sagor. Isterinya digelar Tuk Puan, manakala pembantunya dikenal dengan gelaran Paduka Raja. Pada tahun 1860-an, gelaran Dato’ Seri Agar Diraja disandang oleh Ngah Kamdin. Dia diberi kuasa oleh Sultan Perak menguruskan pentadbiran di kawasan tebing Sungai Perak, iaitu di antara Kampung Gajah dengan Pulau Tiga. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Jawatan/Gelaran |
PERGERAKAN PUTERI ISLAM MALAYSIA | PERGERAKAN PUTERI Islam Malaysia, pertubuhan berpakaian seragam. Pertubuhan ini ditubuhkan pada tahun 1970-an oleh Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM). LKPIM dipengerusikan oleh Tunku Puan Besar Kurshiah. PPIM merupakan salah satu pergerakan berpakaian seragam yang bergerak di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah/wilayah untuk para pelajar perempuan di sekolah-sekolah rendah, menengah, maktab/Institusi dan universiti. Ia bergerak sebagai sebuah pergerakan dalam unit kokurikulum dan aktivitinya adalah berdasarkan ajaran Islam. Ini adalah selaras dengan falsafah PPIM yang bertujuan melahirkan puteri sebagai insan kamil. Oleh sebab objektif pertubuhan ini dan objektif LKPIM berbeza, maka dengan nasihat pendaftar pertubuhan, Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) telah didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan berpakaian seragam pada 3 Disember 1988 dengan perlembagaannya sendiri. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Persatuan |