SAWDAH BINT ZAM'AH | Sawdah bint Zam’ah ( ? –55 H. / ? –675 M.) ialah salah seorang daripada isteri Rasulullah s.a.w. Sawdah bint Zam‘ah berasal dari kalangan bangsawan Quraisy ‘Amiriyyah. Dia pernah berhijrah ke Habsyah bersama-sama bekas suaminya al-Sakran ibn ‘Amru yang juga seorang Muslim yang bersaudara dengan Suhayl ibn ‘Amru. Kemudian mereka pulang ke Makkah dan setibanya di sana, suaminya meninggal dunia. Baginda mengahwininya tiga tahun sebelum Hijrah, iaitu selepas kematian Khadijah bint Khuwaylid. Sebenarnya, Khawlah bint Hakim, iaitu isteri Uthman ibn Maz’un yang mencadangkan kepada Baginda Rasulullah s.a.w. dan meminang Sawdah bagi pihak nabi. Baginda Rasulullah s.a.w. pernah berhasrat untuk menceraikannya bahkan menurut sesetengah riwayat lain, Baginda telah menceraikannya, tetapi dia memohon agar dirujuk kembali kerana ingin dibangkitkan di akhirat kelak bersama-sama para isteri Baginda yang lain. Menurut riwayat lain, dia adalah wanita yang menjadi sebab turunnya ayat yang memerintahkan kaum wanita Islam memakai hijab. Dia meninggal dunia di Madinah. Lihat juga Isteri-isteri Nabi Muhammad s.a.w. | UMUM | |
MERPATI PEMBAWA UTUSAN | Merpati pembawa utusan ialah burung yang asalnya dibiakkan bakanya daripada merpati yang digunakan untuk membawa utusan dari satu tempat ke tempat lain. Walau bagaimanapun, bertahun-tahun lamanya merpati ini telah kehilangan naluri pulang ke sarangnya. Kini ia dipelihara sebagai burung pertunjukan. Merpati pembawa utusan ini berwarna biru, hitam, putih, perang kekelabuan, atau kuning. Ia lebih besar daripada merpatimerpati lain, dan ia tegak. Burung ini mempunyai sayap dan kaki yang kuat. Ia mempunyai ketumbuhan yang besar, berisi di sekeliling matanya yang besar,dan berwarna kuning pada paruhnya. Ketumbuhan ini mungkin meliputi hidung merpati tua. | UMUM | |
MOLOTOV, VYACHESLAV MIKHAILOVICH | Molotov, Vyacheslav Mikhailovich (1890– 1986), terkenal semasa menjadi Menteri Luar Kesatuan Soviet selama dua penggal. Dia diturunkan pangkat pada tahun 1957 kerana penentangannya terhadap Nikita S. Khrushchev, Setiausaha Pertama Parti Komunis Soviet. Dia dipecat daripada menganggotai Presidium Parti Komunis dan dapat dianggap seperti dibuang negeri apabila dia dilantik sebagai duta ke Mongolia Luar. Pada tahun 1960, dia menjadi wakil Soviet ke Agensi Tenaga Atom Antarabangsa di Vienna, Austria. Parti Komunis Soviet mengutuknya pada tahun 1961, dan dia pun pulang ke Moscow. Pada tahun 1962, dia disingkirkan daripada parti. Majlis Tertinggi Soviet mengarahkan namanya ditarik balik daripada digunakan untuk bandar, bangunan, dan objek lain di seluruh Soviet. Dia dilantik semula sebagai anggota parti pada tahun 1984. | UMUM | |
SUNGAI GANGES | Sungai Ganges ialah jalan air yang terbesar di India dan salah satu sungai yang terpanjang di dunia. Sungai ini sangat penting kepada rakyat India kerana peranannya dalam agama Hindu. Orang Hindu menganggap sungai itu sebagai sungai yang paling suci di India. Setiap tahun, beribu-ribu penganut Hindu berkunjung ke bandar suci seperti Varanasi dan Allahabad di sepanjang tebing Sungai Ganges untuk mandi-manda dan membawa pulang airnya. Kuil dan ghat (anak tangga) yang menuju ke sungai didirikan di tebing sungai itu. Sesetengah penziarah datang untuk mandi-manda di sungai itu semata-mata untuk menyucikan diri daripada dosa. Mereka yang sakit dan cacat datang dengan harapan sentuhan air itu dapat menyembuhkan penyakit. Terdapat juga yang datang kerana mahu mati di sungai itu. Mengikut kepercayaan Hindu, sesiapa yang mati di Ganges akan dimasukkan ke syurga. Nama sungai ini dalam bahasa Hindu, bahasa utama orang India, ialah Ganga. | UMUM | |
RAJA KECIL | RAJA KECIL ( ? -1746), Sultan Johor-Riau (1718-1722). Baginda menduduki takhta kerajaan Johor pada tahun 1718 dengan memakai gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah. Menurut Sejarah Melayu, Raja Kecil mendakwa baginda adalah putera Sultan Mahmud (Marhum Mangkat Dijulang) dan ibunya, Encik Pong. Raja Kecil dibesarkan di istana Minangkabau. Baginda mendapat kebenaran daripada Puteri Jamilan mengembara ke Tambang, Limon, Batanghari, Palembang, Johor, Lawas, Siantan, Bangka dan akhirnya pulang semula ke Minangkabau. Ketika berada di Lawas, Raja Kecil berkahwin dengan anak Dipati Mata Kucing. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
SYEIKH OSMAN JALALUDDIN | SYEIKH OSMAN JALALUDDIN (1880-1952), ulama dan penulis. Beliau lahir di Kampung Panjang, Sering, Kota Bharu, Kelantan. Beliau berasal daripada keluarga yang berada. Ayahnya ialah seorang bomoh terkenal yang boleh mengubati penyakit gila dan penyakit puru. Beliau mendapat pendidikan awal daripada Haji Jamal Perupuk dengan mempelajari kitab-kitab agama dalam tulisan Jawi. Beliau kemudiannya berguru dengan Dato’ Mufti Haji Wan Ahmad di Kota Bharu, Kelantan dan juga pernah belajar agama di Sungai Pinang. Selepas beberapa tahun belajar di Kelantan, beliau melanjutkan pelajarannya di Makkah. Di Makkah, beliau berguru dengan beberapa orang ulama terkenal. Setelah berada di Makkah selama empat tahun, akhirnya beliau pulang ke tanah air. Di Kelantan, beliau terus menyambung pelajarannya di Pondok Tuk Kenali, seorang ulama yang terkenal di Kelantan. Beliau dilantik sebagai pembantu Tuk Kenali dan mengajar kitab fiqah kepada pelajar di pondok itu. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
ZAINUDDIN LABAI EL-YUNUSI | ZAINUDDIN LABAI EL-YUNUSI (1890-1924), ulama Indonesia. Dia lahir di Padang Panjang, Indonesia. Nama sebenarnya ialah Zainuddin Labai bin Syekh Muhammad Yunus Pandai Sikat. Ayahnya juga seorang ulama. Zainuddin mendapat pendidikan awal di Sekolah Gubernement, hingga Darjah Empat. Di samping itu dia mendapat pendidikan agama daripada ayahnya. Setelah kematian ayahnya pada tahun 1904, dia tidak meneruskan pelajarannya. Selepas itu dia pernah belajar dengan Haji Abdullah Ahmad di Padang,dan Syekh Abbas di Padang Japang, di samping menjadi guru bantu. Pada tahun 1913, dia pulang ke Padang Panjang dan mengajar di surau Jambatan Besi. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |