Persepsi ialah satu proses yang melaluinya kita dapat menerima dan mentafsir segala maklumat dari dunia sekeliling kita. Dunia sekeliling kita mengandungi pelbagai jenis dan tahap tenaga fizikal. Pengetahuan kita tentang dunia datangnya dari organ-organ deria yang bertindak balas dengan tenaga fizikal berkenaan. Sesetengah jarak gelombang radiasi elektromagnetik merangsang mata kita. Telinga kita mendengar beberapa jenis getaran mekanikal di udara. Hidung dan lidah pula adalah sensitif kepada rangsangan bahan-bahan kimia tertentu. Sesetengah organ di dalam kulit kita bertindak kepada tekanan, perubahan suhu dan pelbagai rangsangan yang berkaitan dengan rasa sakit. Organ-organ deria yang terdapat pada sendi, tendon dan otot kita adalah sensitif kepada gerakan dan kedudukan tubuh. |