STEVENSON, ROBERT | Stevenson, Robert (1772–1850) ialah jurutera awam Scotland yang dikenali sebagai pembina rumah api. Dia membina 23 rumah api di sepanjang pantai Great Britain dan mencipta sebuah lampu pemancar yang digunakan untuk memandu arah kapal. Kerjanya yang paling terkenal ialah Rumah Api Bell Rock, yang direka bentuk dan dibina bersama dengan arkitek dan jurutera, John Rennie. Pemuisi Robert Southey mengabadikan Rumah Api Bell Rock ini dalam puisinya “Inchcape Rock”. Rumah api ini terletak di Laut Utara, 18 kilometer dari Dundee, Scotland. Stevenson lahir di Glasgow, Scotland. Pengarang Robert Louis Stevenson ialah cucunya. | UMUM | |
RUMAH API | Rumah api ialah menara yang memancarkan cahaya yang kuat sebagai bantuan pandu arah kepada pelaut. Rumah api membantu pelayar menetapkan kedudukan mereka, menandakan bahawa tanah daratan semakin hampir, dan memberi amaran tentang kawasan berbatu dan terumbu yang berbahaya. | UMUM | Umum |
SMEATON, JOHN | Smeaton, John (1724–1792) ialah jurutera British yang mereka bentuk rumah api Eddystone yang ketiga di pantai England. Dia mengabaikan nasihat para jurutera lain dan membina rumah api itu daripada blok batu yang ditanggam bersama. Rumah apinya teguh berdiri selama lebih 100 tahun sebelum dirobohkan. Smeaton juga mereka bentuk dan membina jambatan, kincir air, pelabuhan, terusan, sistem saliran, dan projek lain. Dia membuat pembaikan besar pada enjin stim ciptaan Newcomen. Dia orang pertama yang menggelar dirinya sebagai jurutera awam. Pada tahun 1771, dia menubuhkan Persatuan Jurutera Awam. Smeaton lahir di Austhorpe berhampiran Leeds, England. | UMUM | |
SUAR | Suar ialah lampu, atau struktur yang mudah dilihat, yang biasanya terletak pada kedudukan yang tinggi. Suar terutamanya digunakan untuk membantu juruterbang atau kapten kapal mencari laluan yang selamat. Rumah api dan boya pelayaran merupakan dua jenis suar yang utama bagi kapal. | UMUM | |
SIREN | Siren ialah alat yang digunakan untuk membunyikan isyarat amaran. Ambulans, kereta bomba, dan kereta polis menggunakan siren untuk memberitahu lalu lintas supaya memberi jalan. Siren yang dikenali sebagai hon kabut digunakan pada rumah api dan kapal untuk memberi amaran kepada kapal-kapal lain semasa cuaca berkabut dan cuaca buruk. Siren juga digunakan sebagai amaran serangan udara. | UMUM | |
TANJUNG HATTERAS | Tanjung Hatteras ialah tanjung tinggi yang indah yang terletak di hujung tenggara Pulau Hatteras yang menjadi sebahagian daripada Outer Banks. Tanjung ini terletak lebih daripada 48 kilometer ke timur pantai Carolina Utara di Amerika Syarikat (lihat Carolina Utara ). Beting Diamond Shoals berbahaya bagi kapal, hingga tempat ini digelar Perkuburan Atlantik (Graveyard of the Atlantic). Rumah api dan stesen api luar pesisir memberi amaran kepada kapal supaya mengelak kawasan tersebut. Cape Hatteras National Seashore terletak di Tanjung Hatteras. | UMUM | |
ARCHER, JOHN LEE | Archer, John Lee (1791–1852), jurutera awam dan arkitek, yang mereka bentuk kebanyakan bangunan- bangunan tertua di Tasmania. Dia mereka bentuk gereja-gereja Old Trinity, Richmond, Bothwell, Hamilton, Battery Point, Stanley dan St. John di New Town. Bangunan-bangunan awam yang paling terkenal hasil reka bentuknya ialah Ordnance Stores , Public Buildings dan Launceston Court House . Rumah Kastam yang direka bentuk olehnya kini merupakan Parlimen Tasmania. Dia juga mereka bentuk sebahagian daripada rumah api di Low Head dan Cape Bruny. Archer lahir di Ireland. | UMUM | |
KEMAHIRAN BINAAN | Kemahiran binaan ialah mana-mana satu daripada cabang industri yang berkaitan dengan pembinaan bangunan awam, rumah, jambatan, terusan, pelabuhan, landasan kereta api, takungan, jalan dan lebuh raya, betung, dan terowong. Kesemua kemahiran binaan ini dikenali sebagai industri pembinaan. | UMUM | |
PETROLEUM | Petroleum adalah salah satu daripada sumber semula jadi yang paling berharga di dunia. Sesetengah orang menamakan petroleum emas hitam , tetapi lebih baik sekiranya ia diperikan sebagai nadi negara perindustrian. Bahan api yang dibuat daripada petroleum membekalkan kuasa kepada kereta, kapal terbang, kilang, kelengkapan ladang, trak, kereta api, dan kapal. Bahan api petroleum juga menjana haba dan tenaga elektrik untuk rumah dan premis perniagaan. Keseluruhannya, petroleum membekalkan hampir separuh daripada tenaga yang digunakan di dunia. | UMUM | |
KUASA ELEKTRIK | Kuasa elektrik ialah penggunaan tenaga elektrik untuk melakukan kerja. Ia menerangi, memanaskan dan menyejukkan suhu rumah. Elektrik juga dapat membekalkan kuasa untuk set televisyen, peti sejuk, pembersih vakum dan banyak lagi alat rumah. Kuasa elektrik menggerakkan jentera di kilang. Eskalator, lif dan komputer, dan banyak lagi alat bagi kegunaan di kedai dan pejabat menggunakan kuasa elektrik. Elektrik memacu dan menggerakkan kereta api dan sistem pengangkutan bawah tanah. Di ladang, jentera elektrik melakukan kerja seperti mengepam air, memerah susu lembu dan mengeringkan rumput kering. | UMUM | |