RUSUHAN | Rusuhan ialah cetusan kekacauan yang ganas dan bising oleh sekumpulan manusia. Perusuh kerap kali mencederakan orang lain dan memusnahkan harta benda. Merusuh atau menggalakkan orang awam supaya merusuh merupakan suatu jenayah di kebanyakan negara. Walau bagaimanapun, takrifan undang-undang yang tepat mengenai rusuhan berbeza dari satu tempat ke satu tempat. | UMUM | Umum |
PERISTIWA NATRAH | Peristiwa Natrah ialah peristiwa rusuhan yang berlaku di Singapura pada tahun 1950 berikutan bantahan orang Islam Singapura terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Singapura yang membatalkan keislaman Natrah, seorang gadis Belanda yang telah menganut agama Islam. | UMUM | |
PERANG CROFTER | Perang Crofter ialah satu siri rusuhan petani di Scotland dari tahun 1882 hingga tahun 1888. Ramai penduduk di Tanah Tinggi Scotland yang tinggal di situ pada tahun-tahun sebelumnya telah diusir secara sistematik daripada kawasan tanah tengah oleh tuan tanah yang mahu memperkenalkan penternakan biri-biri ke kawasan itu. Mereka yang diusir telah membuka petempatan di bidang tanah yang dikenali sebagai croft. Banyak tanah croft ini terletak di pulau dan ada yang masih wujud hingga kini. Kemudian, tuan tanah mengambil lebih banyak tanah ladang untuk tujuan memburu rusa, dan menembak burung dan menghalau penyewa lain dengan mengenakan tunggakan sewa. Tindakan ini ditentang oleh penyewa tersebut. | UMUM | |
PERISTIWA 13 MEI | Peristiwa 13 Mei ialah peristiwa rusuhan kaum yang berlaku di Kuala Lumpur pada 13 Mei 1969. Peristiwa ini berlaku akibat sentimen perkauman yang ketara dalam politik Malaysia, iaitu selepas pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum 1969 yang diadakan pada 10 Mei 1969, setelah Parti Perikatan memperoleh undi yang kurang berbanding pilihan raya sebelumnya. | UMUM | |
MOSLEY, SIR OSWALD | Mosley, Sir Oswald (1896–1980), menubuhkan Kesatuan Fasis British pada tahun 1930-an. Dia dan pengikutnya yang berbaju hitam terlibat dalam rusuhan terutamanya di kawasan East End, London. Dalam Perang Dunia II (1939–1945), Mosley ditahan kerana pandangannya yang pro- Jerman. Kemudian, dia cuba menghidupkan semula fahaman fasis di United Kingdom. Mosley lahir di London. Dia dipilih menjadi ahli parlimen Parti Konservatif bagi kawasan Harrow pada tahun 1918. Pada tahun 1926, dia dipilih pula sebagai ahli parlimen Parti Buruh untuk kawasan Smethwick. Dia bersara pada tahun 1930 dan menubuhkan partinya sendiri. | UMUM | |
KEAMANAN | Keamanan ialah keadaan yang tenang, senyap dan bebas daripada kekacauan. Dari segi politik dan ketenteraan, keamanan bermakna bebas daripada kacau-bilau seperti peperangan dan rusuhan. | UMUM | |
MENGGANTUNG TANPA PERBICARAAN | Menggantung tanpa perbicaraan lazimnya bermakna pembunuhan yang umumnya dilakukan oleh perusuh dengan menggantung seseorang tanpa menghiraukan undang-undang dan peraturan. Mangsa penggantungan tanpa perbicaraan tidak ada peluang bagi mempertahankan diri mereka. Perusuh cuma menganggap mangsanya bersalah, sama ada dibicarakan atau tidak. Walaupun rusuhan ganas sedemikian pernah berlaku di beberapa negara pada berlainan masa, namun begitu, istilah menggantung tanpa perbicaraan secara khusus dikaitkan dengan Amerika Syarikat. Kebanyakan negeri di Amerika Syarikat cuba menghentikan perbuatan menggantung tanpa perbicaraan melalui undang-undang. Sesetengah negeri menjalankan dakwaan mengikut undang-undang menentang homisid, rusuhan dan serangan. Negeri-negeri yang lainnya mempunyai undang-undang menggantung tanpa perbicaraan yang khusus. Namun begitu, pengawalan melalui undang-undang tidak berjaya mencegah menggantung tanpa perbicaraan. | UMUM | |
RHEE, SYNGMAN | Rhee, Syngman (1875–1965), negarawan Korea yang memegang jawatan Presiden Republik Korea yang pertama pada tahun 1948. Dia meletak jawatan sebagai presiden pada tahun 1960, walaupun dipilih semula untuk menyandang jawatan presiden bagi penggal yang keempat. Ini berikutan terjadinya rusuhan yang meluas disebabkan amalan pilihan raya yang tidak adil. | UMUM | |
TINGKAH LAKU KOLEKTIF | Tingkah laku kolektif ialah suatu istilah dalam bidang sosiologi yang merujuk kepada cara orang bertindak semasa berada dalam kumpulan orang ramai dan dalam kumpulan ramai lain yang agak tidak tersusun. Pelbagai jenis tingkah laku kolektif termasuk sifat kegila-gilaan, cemas dan rusuhan. Tingkah laku kolektif sering timbul dalam situasi yang merangsang emosi orang. Situasi tersebut termasuk acara bersukan, tunjuk perasaan membantah dan malapetaka. | UMUM | |
MOYOLA, LORD | Moyola, Lord (1923–2002) ialah Perdana Menteri Ireland Utara dari tahun 1969 hingga tahun 1971. Nama sebenarnya ialah James Dawson Chichester- Clark. Semasa dia mula dilantik, dia telah dirayu untuk meneruskan pembaharuan yang dimulakan oleh perdana menteri sebelumnya, Terence O’Neill. Tetapi pertama sekali, dia perlu mengembalikan kedamaian di wilayah tersebut, selepas berlakunya kekacauan. Dia juga perlu memulihkan semula perpecahan yang berlaku dalam Parti Kesatuan Ulster. Pada awalnya dia mendapat sedikit kejayaan di dalam kedua-dua usaha tersebut tetapi rusuhan yang serius berlaku pada bulan Ogos 1969. Dia terpaksa meminta kerajaan United Kingdom menghantar tentera untuk menjaga keamanan. | UMUM | |