SAJAK PROTES | SAJAK PROTES, sajak yang memperlihatkan sikap penentangan dan kurang senang penyair terhadap sesuatu isu yang timbul dalam masyarakat yang ada hubungannya dengan keadaan sosioekonomi dan politik. Sajak protes mula berkembang di Malaysia pada tahun 1966. Suara penyair yang lantang dan berterus terang, menyebabkan nilai seni sajak tidak terpelihara. | SASTERA | Konsep |
ATWOOD, MARGARET | Atwood, Margaret (1939– ), penyair, penulis novel dan pengkritik Kanada. Atwood mula dikenali melalui bukunya The Circle Game (1966). Buku sajaknya yang lain termasuk The Journals of Susanna Moodie (1970), sebuah biografi mengenai seorang penulis Kanada; Power Politics (1971), sebuah kajian mengenai had-had antara hubungan lelaki dengan perempuan; dan Two-Headed Poem (1978), yang mengandungi sajak-sajak mengenai seorang ibu dan anaknya. Buku Selected Poems diterbitkan pada tahun 1978 dan Selected Poems II pada tahun 1986. | UMUM | |
ZWEIG, STEFAN | Zweig, Stefan (1881–1942), penulis cerita, biografi, sajak, dan novel psikologi Austria yang terkenal. Ceritanya yang paling terkenal termasuk Amok (1922), Conflicts (1927), dan Beware of Pity (1939). Antara biografi terbaiknya ialah Romain Rolland (1921), Marie Antoinette (1932), dan Erasmus of Rotterdam (1934). Zweig lahir di Vienna. Pihak Nazi memaksa Zweig meninggalkan Austria kerana dia berketurunan Yahudi, dan dari tahun 1934 hingga tahun 1940 dia tinggal di London. Dia dan isterinya membunuh diri di Brazil kerana berasa sedih dengan hal-ehwal dunia. | UMUM | |
SPENSER, EDMUND | Spenser, Edmund (1552?–1599) ialah penyair Inggeris yang unggul dalam zaman Elizabeth. Sajak epiknya, The Faerie Queene, dianggap sebuah karya agung sastera Inggeris walaupun puisi ini tidak siap sepenuhnya. Spenser hanya menyiapkan enam daripada 12 buku (bahagian) yang dirangkakan untuk karya ini. | UMUM | |
MALLARMÉ STÉPHANE | Mallarmé Stéphane (1842–1898) ialah penyair (pemuisi) dan pengkritik Perancis yang lahir di Paris. Dia terkenal dengan sajak khayalannya L’Aprés-midi d’un faune (Petang Seorang Dewa 1876). Selain pertemuan mingguan dengan sekumpulan penyajak dan artis Eropah di Paris, Mallarmé hidup terasing daripada masyarakat. Mallarmé menganggap masyarakat bermusuhan dengan nilai penyair. | UMUM | |
ARIOSTO, LUDOVICO | Ariosto, Ludovico (1474–1533) ialah penyair pada Zaman Renaissance Itali. Karya agungnya, Orlando Furioso (1516, 1532) ialah sebuah sajak berbentuk cerita yang panjang. Plotnya yang rumit menceritakan pahlawan-pahlawan yang mengembara ke seluruh dunia mencari cabaran, mempertahankan kepercayaan agama mereka, dan membantu mereka yang tidak berdaya. | UMUM | |
KERANDA 152 | KERANDA 152, antologi puisi yang mengandungi karya 33 penyair. Daripada jumlah tersebut, seramai 24 orang terdiri daripada penulis bebas dan sembilan orang siswa dari Universiti Malaya. Jumlah kesemua sajak yang termuat dalam antologi ini ialah 38 buah yang dihasilkan pada awal tahun 1967. | SASTERA | Karya |
KASMANI HAJI ARIF | KASMANI HAJI ARIF, (1919-1941), penulis cerpen dan sajak. Dia lahir di Batu Pahat, Johor. Dia mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Mampan, Batu Pahat hingga tamat Darjah Empat, pada tahun 1929. Pada tahun 1930, dia diterima menjadi guru dan pada tahun 1931, dia lulus peperiksaan untuk memasuki Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim (1932). Setelah tamat pengajian di MPSI (1934), dia ditugaskan mengajar di Sekolah Melayu Bandar Tinggi, Johor. | SASTERA | Tokoh |
CHU CI | Chu Ci, sajak yang dihasilkan di negeri Chu pada Zaman Negeri-negeri Perang (475 SM-221 SM). Ciri utama Chu Ci ialah banyak menggunakan tema, pemandangan, muzik dan dialek negeri Chu. | SASTERA | Karya |
RUBA`IYYAT, AL- | Ruba`iyyat, al- ialah satu nama kumpulan sajak empat baris yang dihasilkan oleh `Umar al-Khayyam, penyair Parsi yang juga ahli astronomi dan matematik . | UMUM | Umum |