PERLUCUTHAKAN | Perlucuthakan ialah hukuman atau denda menurut undang-undang terhadap seseorang yang didapati bersalah atas perbuatan salah laku atau terhadap seseorang yang melanggar kontrak atau syarat. Ia akan kehilangan beberapa hak atau pemilikan. | UMUM | |
TINGKAH LAKU | Tingkah laku ialah cara manusia atau organisma lain berkelakuan. Ramai orang menggunakan perkataan tingkah laku untuk maksud kelakuan [ conduct ] iaitu bagaimana perangai seseorang itu bersesuaian dengan tanggapan masyarakat tentang apa yang betul dan apa yang salah. Tetapi dalam psikologi dan sains berkenaan tingkah laku yang lain, tingkah laku dianggap sebagai apa-apa sahaja kegiatan seseorang atau benda hidup yang lain. Rencana ini membayangkan penggunaan yang lebih umum dan memberi tumpuan kepada tingkah laku manusia. | UMUM | |
SOSIALISASI | Sosialisasi, dalam bidang sains tingkah laku, merujuk kepada proses kompleks yang dialami oleh individu ketika belajar mengenal dan melaksanakan tingkah laku yang dituntut oleh masyarakat. Sosialisasi memperkenalkan tabiat, idea, sikap, dan nilai. Para ahli sains tingkah laku yang terdiri daripada ahli antropologi, ahli psikologi, dan ahli sosiologi menganggap sosialisasi sebagai salah satu cara utama masyarakat mengabadikan kewujudannya. Melalui sosialisasi, kebudayaan dipindahkan daripada satu generasi kepada satu generasi yang lain. | UMUM | |
KINSEY, ALFRED CHARLES | Kinsey, Alfred Charles (1894–1956), ahli biologi Amerika. Dia ialah salah seorang ahli sains pertama yang membuat kajian tentang tingkah laku seksual manusia. Kajiannya yang bermula pada akhir tahun 1930-an, menyumbangkan wawasan penting kepada perhubungan seksual antara manusia. | UMUM | |
SOSIOLOGI | Sosiologi ialah satu kajian tentang individu, kumpulan, dan institusi yang membentuk masyarakat manusia. Bidang sosiologi meliputi lapangan yang cukup luas, termasuk setiap aspek tentang keadaan sosial manusia. Ahli sosiologi meneliti dan merekod bagaimana manusia berhubung sesama mereka dan dengan persekitaran mereka. Mereka juga mengkaji pembentukan kumpulan; sebab-sebab pelbagai bentuk tingkah laku sosial; dan peranan sekolah institusi dan lain yang wujud di kalangan masyarakat. Sosiologi ialah salah satu bidang sains sosial dan amat rapat hubungannya dengan antropologi, psikologi, dan sains sosial yang lain. | UMUM | |