SALAP GILEAD | Salap gilead , juga dinamakan salap Makkah, ialah resin yang dihargai sejak zaman purba kerana keharumannya dan nilainya sebagai salap ubatan. Ia didapati daripada sap pokok kecil malar hijau yang terdapat di Semenanjung Arab dan Ethiopia. Ia mungkin juga salap yang disebut dalam kitab Bible (Jer. 8:22; Ezek. 27:17). Namanya juga digunakan untuk bahan aromatik yang diperoleh dari sejenis poplar balsam . Lihat juga Poplar; Resin. | UMUM | |
SPERMASETI | Spermaseti ialah bahan melekit yang didapati daripada kepala paus sperma yang sangat besar. Bluber paus sperma juga mengandungi bahan ini. Spermaseti digunakan sebagai bahan untuk membuat beberapa jenis salap dan krim muka. Ia pernah digunakan untuk membuat lilin. Spermaseti juga didapati daripada paus “berhidung-botol” dan paus raksasa “berhidung-botol”. Spermaseti mungkin mempunyai fungsi untuk paus, tetapi tiada siapa pun yang tahu apa fungsinya. Lihat juga Paus sperma. | UMUM | |
MIR | Mir ialah damar harum yang diperah daripada pokok-pokok tertentu dan pokok renek tertentu. Mir yang dirujuk dalam Kitab Bible (Matt.2) terdapat di timur laut Afrika dan Timur Tengah. Damarnya diperah dan digunakan dalam gaharu, minyak wangi dan ubat. Satu lagi spesies mir di Timur Tengah, mir Mekah, adalah sumber salap Gilead. Pokok mir Afrika menghasilkan damar gam yang sama, yang dikenali sebagai bdelium dan digunakan untuk membuat varnis dan ubat. Pengelasan saintifik. Pokok yang menghasilkan mir tergolong dalam genus Commiphora. Mir dalam Kitab Bible ialah Commiphora abyssinica; salap Gilead diperoleh daripada C. opobalsamum; mir Afrika ialah C. africana. | UMUM | |
LIGNOKAINA | Lignokaina ialah sejenis ubat untuk menahan rasa sakit di bahagian tubuh yang tertentu. Ubat seperti ini dinamakan anestetik setempat. Lignokaina digunakan di dalam pembedahan dan prosedur pergigian sebagai penyekat saraf bahagian. Ini bermakna, ia disuntik di sekeliling saraf yang mengawal deria rasa di bahagian tubuh yang tertentu. Lignokaina juga digunakan dalam salap dan semburan yang berpreskripsi ataupun yang tidak berpreskripsi sebagai bahan anestetik untuk kecederaan kulit yang kecil. Lignokaina digunakan juga untuk merawat denyutan jantung yang tidak normal. | UMUM | |
SERIGALA JADIAN | Serigala jadian, menurut kepercayaan tahayul, ialah orang yang menukar dirinya menjadi serigala. Dalam bahasa Inggeris, perkataan werewolf berasal daripada istilah Inggeris Lama, iaitu werwulf , yang bermaksud serigala-manusia . Serigala jadian terdapat dalam kebanyakan cerita lama. Dalam beberapa cerita, ia menukar dirinya menjadi serigala dengan menyarung kulit serigala ke badannya, dengan meminum air daripada kesan tapak kaki serigala, atau dengan menyapu salap ajaib pada tubuhnya. Dalam cerita lain pula, manusia ditukar menjadi serigala jadian oleh kuasa sakti orang lain. | UMUM | |