ONTARIO | Ontario (pend. 10 084 885) ialah provinsi Kanada. Kira-kira satu per tiga daripada penduduk Kanada tinggal di Ontario. Industri perkhidmatan mendatangkan pendapatan yang besar kepada Ontario. Industri pembuatan di Ontario mengeluarkan keluaran yang sama banyak dengan keluaran sembilan provinsi lain yang digabungkan. Ontario merupakan provinsi pertama antara provinsi Kanada yang meraih pendapatan melalui pertanian dan menduduki tempat kedua selepas Alberta dalam bidang perlombongan. Ontario mempunyai lombong nikel, uranium, dan emas. | UMUM | |
SINONIM | Sinonim ialah kata yang sama maknanya atau hampir sama maknanya dengan kata lain. Sinonim berasal daripada dua kata Yunani, yang bermakna berkaitan dan nama. Terdapat banyak kes apabila satu kata boleh digunakan untuk maksud yang sama seperti kata lain. Walaupun kedua-dua kata itu mungkin bersinonim (digunakan dengan cara yang sama) dalam satu pengertian, tetapi ia mungkin tidak bersinonim dalam pengertian yang lain. Umpamanya, dull dan stupid mungkin kedua-duanya boleh digunakan untuk menerangkan seseorang. Tetapi kita tidak menggunakan kata stupid untuk menerangkan mata pisau yang dull. Sinonim memperkaya bahasa dengan membantu penutur, atau penulis menggunakan kata dengan makna dan kaitan yang tepat, dan untuk mengelakkan perulangan yang membosankan. | UMUM | |
MENENUN | Menenun ialah proses membuat pakaian dengan menjalinkan dua set benang di atas dan di bawah antara satu sama lain. Banyak kain dan kebanyakan selimut, pakaian, serta ambal dihasilkan melalui tenunan. Tukang tenun menggunakan benang yang dipintal daripada gentian asli seperti kapas, sutera, dan bulu. Gentian tiruan yang kuat termasuk nilon dan orlon juga popular. | UMUM | |
TETELUK | Teteluk ialah kumpulan air masin yang besar yang sebahagiannya dikelilingi oleh daratan. Teteluk terbuka ke lautan, dan ia mempunyai banyak ciri yang sama dengan lautan. Misalnya, banyak teteluk adalah sedalam lautan. Oleh sebab persamaan ini, teteluk seperti Teluk Bothnia dan Teluk Mexico sering dikenali sebagai laut pinggir. Teteluk dibentuk oleh pergerakan kerak bumi di sepanjang sempadan benua. Dalam sesetengah kes, kerak bumi yang mendap menyebabkan sesuatu kawasan tenggelam ke bawah aras laut. Dalam kes lain, gelinciran berlaku – iaitu, kerak bumi retak dan daratan di sebelah retakan yang menghala ke laut berganjak ke bawah. Dalam kedua-dua kes ini, air laut membanjiri kawasan yang tenggelam. | UMUM | |
KEJELEKITAN | Kejelekitan ialah daya yang menyatukan bahan. Kejelekitan terhasil daripada tarikan yang ada pada semua atom dan molekul terhadap satu sama lain. Tarikan ini banyak berkurangan apabila jarak di antara molekul sesuatu bahan bertambah. | UMUM | |
TAKAT EMBUN | Takat embun ialah suhu apabila lembapan dalam udara mula terpeluwap. Takat embun sama ada lebih rendah daripada suhu udara atau sama dengan suhu udara apabila kelembapan relatif adalah 100 peratus. Embun terbentuk apabila lapisan udara yang nipis, yang bersentuhan dengan permukaan, disejukkan di bawah takat embun. Penyejukan udara ini menghasilkan embun di permukaan atau kabut di udara, apabila takat embun di atas takat beku. Jika suhu udara dan takat embun di bawah takat beku, fros terbentuk di permukaan, atau hablur ais terbentuk di udara. Kabut dan awan terbentuk apabila banyak udara disejukkan di bawah takat embun. Lihat juga Embun; Fros; Kabut; Kelembapan. | UMUM | |
RASA | Rasa ialah deria yang penting pada manusia dan banyak haiwan. Rasa makanan membantu menentukan apa dan berapa banyak yang kita makan. Kita boleh menolak makanan yang rasanya tidak disukai dan akibatnya diet kita mungkin tidak seimbang. Deria rasa kita dipengaruhi oleh bau benda. Apabila kita mendapat selesema dan hidung kita tersumbat, sesetengah makanan mungkin sama rasanya (lihat Bau ). Makanan hendaklah lembap untuk dirasa. Jika lidah dan makanan adalah kering, makanan tidak mempunyai rasa. | UMUM | |
PUMIS | Pumis ialah sejenis kaca asli berwarna putih kekelabuan yang mempunyai banyak rongga halus. Pumis merupakan bahan melelas, menggosok, dan menggilap yang berharga sama ada dalam bentuk serbuk dan juga sebagai batu pumis. | UMUM | |
TEPUNG UBI KAYU | Tepung ubi kayu ialah kanji makanan yang banyak digunakan untuk membuat kuih. Ia diambil daripada akar ubi kayu, iaitu tumbuhan tropika dalam famili yang sama dengan kacang jarak . Kuih yang dibuat daripada tepung ubi kayu adalah berkhasiat dan mudah dihadam. | UMUM | |
PROTESTANISME | Protestanisme ialah nama umum bagi beratus- beratus mazhab dan taifah Kristian yang mempunyai sedikit atau banyak perbezaan di antara satu sama lain. Kira-kira 380 juta manusia – kira-kira tujuh peratus penduduk dunia – tergolong dalam pelbagai kumpulan Protestan ini. Di kalangan badan-badan agama Kristian, hanya Gereja Roman Katolik mempunyai ahli yang lebih ramai. | UMUM | |