SAYID ABU BAKAR SAYID ABDULLAH | SAYID ABU BAKAR SAYID ABDULLAH (1898-1981) , ulama dan pendakwah. Dia lahir pada 11 Disember 1898 di Jalan Pisang, Singapura. Sayid Abu Bakar berasal daripada keturunan Arab Sayid al-Attas. Dia mendapat pendidikan awal dari sekolah Arab dan Melayu di Kampung Pisang, Singapura. Oleh sebab penduduk Kampung Pisang majoritinya orang Melayu, dia menjadi biasa dengan adat dan tradisi orang Melayu. Dalam usia belasan tahun Sayid Abu Bakar telah dihantar oleh keluarganya belajar di Hadramaut, Yaman, bagi mempelajari ilmu agama dan bahasa Arab. Ketika usianya 21 tahun, dia sudah hafaz sebuah al-Quran. Dia mempelajari ilmu agama dan menghafaz al-Quran di salah sebuah madrasah di Tarim, Hadramaut. Dia juga memperoleh ijazah Aliyah (Sarjana Muda). | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
SAYID SHAABAN | SAYID SHAABAN ( ? -1871), Yamtuan Muda Rembau (1832-1836). Di lahir di Rembau, Negeri Sembilan. Nama sebenarnya ialah Sayid Shaaban bin Sayid Ibrahim. Ayahnya seorang guru agama dan ibunya berketurunan Melayu, berasal dari Melaka. Tidak diketahui tentang riwayat hidup Sayid Shaaban sebelum tahun 1830-an. Dia mula terkenal setelah berkahwin dengan puteri Raja Ali Raja Aman, Yamtuan Muda Rembau. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
SAYID ALWI TAHIR AL-HADDAD | SAYID ALWI TAHIR AL-HADDAD (1884-1962), ulama dan cendekiawan Islam. Dia lahir pada 7 Ogos 1884 di Hadramaut, Yaman, Arab Saudi. Dia berasal daripada keturunan Arab Sayid Alawiyah. Sayid Alwi terdidik dalam keluarga ulama yang disegani. Bapanya, Tahir al-Haddad, adalah seorang tokoh ulama di Hadramaut. Sebelum sampai di Tanah Melayu, Sayid Alwi pernah menjadi kadi di Hadramaut. Dari Hadramaut dia berhijrah ke Somalia dan Kenya. Seterusnya, dia ke Nusantara bagi tujuan menyebarkan dakwah Islamiah. Kedatangannya ke Nusantara adalah hasil dorongan rakan karib keturunan Sayid Alawiyah yang sudah berada di rantau Nusantara sejak beberapa abad sebelumnya. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
SAYID | SAYID, gelaran yang diberikan kepada keturunan Arab di Malaysia. Perkataan Sayid berasal daripada bahasa Arab ‘Sayyid’ yang bermaksud ketua atau pemimpin. Sayid juga bermaksud pemimpin atau ketua kabilah. Misalnya, Abu Masud mendakwa sebagai ketua kabilah Thaqif dan al-Walid bin al-Mughirah sebagai ketua kabilah Quraisy. Sayid juga boleh diertikan sebagai orang kenamaan, gelaran yang diberikan kepada golongan ahli tasawuf dan ahli keramat. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Jawatan/Gelaran |
SAYID ABUL HASSAN BURHAN | SAYID ABUL HASSAN BURHAN ( ? - ? ), pencetak dan pelopor penerbitan akhbar berbahasa Melayu dan Tamil di Semenanjung Tanah Melayu. Sayid Abul Hassan adalah seorang India Muslim. Dia dilahirkan di Madras, India. Ketika berusia dalam lingkungan awal dua puluhan, dia merantau ke Semenanjung Tanah Melayu dan menetap di Taiping, Perak. Di bandar inilah dia berkhidmat sebagai guru bahasa Hindustani kepada pegawai-pegawai British dalam perkhidmatan Malay States Guides selama 20 tahun. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
SULTAN ABDUL JALIL SYAIFUDDIN | SULTAN ABDUL JALIL SYAIFUDDIN (? - ?), Sultan Siak (1791 – 1811). Pada tahun 1780-an, Siak berpecah-belah kerana masalah politik dalam negeri, pemberontakan dan perang saudara. Pada masa itu Siak di bawah pemerintahan Sultan Yahya. Sayid Ali yang berkahwin dengan adik Sultan Yahya yang bernama Tengku Sakol mengambil kesempatan ini untuk merebut takhta. Sayid Ali adalah putera Sayid Osman, menantu Raja Alam dari Siak. Sayid Ali telah mengumpulkan kekuatan di Bukit Batu dengan bantuan sebahagian besar Orang Besar Siak dan bantuan tentera dari Padang. Akhirnya, dia berjaya merebut takhta pada tahun 1791 dan mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Siak dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Syaifuddin. Setelah dia berjaya merebut takhta Siak, dia memberi gelaran kepada Raja Lamkanuddin, Raja Padang sebagai Sultan Magedar Alam yang menjadi raja di Padang dan Bedagai. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
TUK KU PALUH | TUK KU PALUH (1817-1917), ulama. Dia dipercayai lahir pada tahun 1817 di Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu, Terengganu. Nama sebenarnya ialah Sayid Abdul Rahman bin Sayid Muhammad. Bapanya Sayid Muhammad bin Zainal Abidin al-Idrus yang lebih dikenali dengan panggilan Tuk Ku Tuan Besar adalah generasi kedua daripada keturunan al-Idrus di Terengganu, yang dipercayai berasal dari Hadramaut. Tuk Ku Paluh adalah anak kedua daripada lima orang adik-beradik seibu sebapa. Pada awalnya Tuk Ku Paluh mendapat pendidikan daripada bapanya. Dia juga telah berguru dengan Haji Wan Abdullah bin Mohd. Amin atau Tuk Syekh Duyung, ulama yang menjadi mufti Baginda Omar. Setelah dewasa, Tuk Ku Paluh meneruskan pengajiannya di Makkah dengan mendalami ilmu tafsir, hadis, tauhid dan tasawuf. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
TUK KU TUAN BESAR | TUK KU TUAN BESAR (1795 -1878), ulama dan penulis. Dia lahir di Cabang Tiga, Kuala Terengganu. Nama sebenarnya ialah Sayid Muhammad bin Zainal Abidin. Tuk Ku Tuan Besar berketurunan Sayid al-Idrus. Nenek moyangnya datang dari Hadramaut dan tiba ke Terengganu pada akhir abad ke-18. Bapanya adalah seorang peniaga beras yang berulang-alik dari Jawa ke Terengganu dan kemudiannya menetap di situ setelah berkahwin dengan anak Sayid Muhammad Mustafa al-Idrus (golongan sayid terawal di Terengganu). | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
JAJAHAN MELAYU, | JAJAHAN MELAYU, akhbar mingguan. Akhbar ini diterbitkan di Taiping, Perak, pada 4 November 1896 oleh Sayid Abul Hassan bin Burhan yang berasal daripada keturunan Jawi Peranakan. Sebelum ini, Sayid Abul Hassan menerbitkan akhbar Seri Perak. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Karya |
SUNAN KUDUS | SUNAN KUDUS ( ? - ? ), ulama dan pendakwah Indonesia. Nama sebenarnya ialah Sayid Jaafar Shadiq. Dia adalah salah seorang ahli Walisongo yang berjasa dalam mengembangkan dan menegakkan kerajaan-kerajaan Islam di Jawa pada abad ke-15. Dia dikatakan berasal dari Palestin dan tiba di Jawa pada tahun 1435 dengan tujuan membantu memperkembangkan agama Islam. Pada tahun 1436, dia dilantik sebagai ahli Walisongo kerana menggantikan Malik Isroil. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |