SUSU PEKAT | Susu pekat ialah susu yang telah dipasteurkan dan dipekatkan. Ia dibuat dengan menyejatkan air daripada susu untuk mengurangkan isi padu susu sebanyak setengah susu. Susu ini tidak disteril, dan mesti disimpan dalam peti sejuk untuk mencegahnya daripada rosak. Susu pekat adalah sumber protein, kalsium, dan vitamin B2 yang baik. | UMUM | |
ASTATIN | Astatin ialah unsur kimia dalam anggota famili halogan yang paling berat. Unsur ini sangat tidak stabil dan kesemua isotopnya sebanyak 130 itu mengalami penguraian radioaktif. Isotopnya yang paling stabil mempunyai separuh hayat lapan jam dan berat atomnya 210. Formula kimia Astatin, At dan nombor atomnya 85. Sifat kimianya menyerupai sifat iodin. Tetapi astatin lebih mudah kehilangan elektronnya dalam tindak balas kimia daripada iodin kehilangan elektronnya. Astatin juga kurang mungkin mendapat elektron daripada iodin (lihat Iodin ). | UMUM | |
MENARA CONDONG PISA | Menara Condong Pisa ialah sebuah menara loceng yang terletak di Pisa, Itali. Strukturnya terkenal kerana kecondongannya sebanyak 4.4 meter daripada garisan asal apabila diukur daripada tingkat ketujuh. Menara ini condong kerana tapak asasnya telah dibina di atas tanah yang tidak stabil. Pembinaan menara berkenaan bermula pada tahun 1173 dan telah disiapkan antara tahun 1360 dan 1370. Tanah di bawah menara berkenaan mula terbenam selepas tiga tingkat pertama siap dibina. Menara berkenaan ditutup pada awal tahun 1990-an bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dilakukan dengan segera. | UMUM | |
MIASTENIA GRAVIS | Miastenia gravis ialah sejenis penyakit yang tidak berjangkit yang dicirikan dengan keadaan otot-otot tulang yang lemah. Keadaan lemah ini meningkat dengan peningkatan aktiviti fizikal tetapi sedikit sebanyak boleh diredakan dengan cara berehat. Penyakit ini menyerang semua kumpulan umur dan kedua-dua jantina, tetapi ia paling kerap berlaku di kalangan wanita yang berumur antara 15 tahun hingga 30 tahun, dan lelaki yang berumur antara 40 tahun hingga 70 tahun. | UMUM | |
SEJARAH ALAM MELAYU | SEJARAH ALAM MELAYU, satu siri karya persejarahan Melayu moden. Buku ini sebanyak lima jilid dan telah dihasilkan antara tahun 1925 hingga tahun 1939. Buku ini ditulis oleh Abdul Hadi Hassan dan Yusof Adil yang lebih dikenal dengan nama Buyong Adil. Daripada lima jilid itu, tiga jilid daripadanya adalah hasil penulisan Abdul Hadi, sementara Jilid IV dan Jilid V pula adalah karya Buyong Adil. Kedua-duanya pernah bertugas sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim, Perak. Karya mereka adalah yang pertama sekali memakai judul tersebut dalam persejarahan rantau ini, sama ada dalam bahasa Melayu ataupun bahasa-bahasa lain. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Karya |
SUNGAI VOLGA | Sungai Volga ialah sungai yang terpanjang di Eropah. Sungai ini mengalir 3530 kilometer melalui barat Rusia. Sungai Volga bermula di Bukit Valdai, lebih kurang 320 kilometer di tenggara St. Petersburg. Ia berada 228 meter di atas aras laut di puncanya. Sungai Volga mengalir ke arah selatan, menuju ke Laut Kaspia, yang terletak 28 meter di bawah aras laut. Untuk lokasi Sungai Volga, lihat Rusia (peta bentuk muka bumi). Delta Volga lebih kurang 160 kilometer panjang dan termasuk sebanyak 500 buah terusan dan sungai-sungai yang lebih kecil. | UMUM | |
PUYUH | Puyuh ialah sejenis burung kecil yang serumpun dengan famili kuang bayas, ayam hutan, grouse, ayam belanda, dan ayam mutiara. Burung ini hidup di padang rumput, belukar dan kawasan paya di setiap benua, kecuali Antartika. Terdapat sebanyak 45 spesies burung puyuh. Burung ini selalunya diburu untuk dimakan. | UMUM | |
BURUNG HAWARI | Burung hawari berwarna kelabu atau hitam, bergerak pantas dan berukuran kira-kira 30 sentimeter panjang. Burung ini berasal dari Australia. Hawari merayau-rayau di hutan, memakan serangga dan biji-bijian. Burung Hawari bergerak dalam kumpulan sebanyak kira-kira 12 ekor. Disebabkan inilah burung ini diberi nama sempena dengan nama hawari dalam Bible – 12 orang pengikut Jesus Christ. | UMUM | |
PERTEMPURAN MUKTAMAD LIMA BELAS | Pertempuran Muktamad Lima Belas merupakan pertempuran yang mempunyai kesan dan makna yang hebat sehingga ia mengubah sejarah dunia. Pertempuran seperti ini selalunya dikenali sebagai pertempuran muktamad atau penentu. Sir Edward Creasy (1812–1878), seorang ahli sejarah Inggeris, percaya bahawa sehingga tahun 1850, sebanyak 15 pertempuran sedemikian telah berlaku. | UMUM | |
NABI IDRIS A.S. | Nabi Idris a.s. ialah salah seorang daripada nabi yang diutuskan oleh Allah SWT. Nama Nabi Idris disebut di dalam al-Qur’an sebanyak dua kali. Allah SWT berfirman di dalam al-Qur’an yang bermaksud: “ Dan bacakanlah (Wahai Muhammad) di dalam kitab (al-Qur’an) ini perihal Nabi Idris, sesungguhnya adalah dia amat benar (tutur katanya dan imannya) serta dia seorang Nabi. Dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya”. (Surah Maryam 19:56–57) Allah SWT berfirman lagi yang bermaksud: “ Dan (demikianlah pula) nabi-nabi Ismail, Idris dan Dhulkifli semuanya adalah dari orang-orang yang sabar”. (Surah al-Anbiya’ 21:85) | UMUM | |