DEKATLON | Dekatlon ialah pertandingan yang memakan masa selama dua hari dalam sepuluh acara untuk menentukan johan secara keseluruhan. Atlet akan bertanding dalam acara pecut 100 meter, lompat jauh, lontar peluru, lompat tinggi, dan larian 400 meter dalam urutan yang sama pada hari yang pertama. Acara pada hari kedua ialah lari berhalangan 110 meter, lempar cakera, lompat bergalah, lontar lembing dan lari 1500 meter. Atlet bertanding melawan masa dan jarak piawaian yang telah ditetapkan, bukannya bertanding antara satu sama lain. Setiap acara dapat menghasilkan hingga 1200 mata. Atlet yang meraih mata keseluruhan yang paling banyak memenangi pertandingan dekatlon ini. | UMUM | |
ASTROFIZIK | Astrofizik ialah ilmu sains yang menggunakan prinsip-prinsip fizik kepada banyak bidang astronomi. Ahli astrofizik cuba menentukan sifat fizik serta asal usul dan perkembangan sistem suria, bintang, galaksi, dan alam semesta secara keseluruhan. | UMUM | |
PERLUCUTAN SENJATA | Perlucutan senjata adalah penghapusan, pengurangan, atau pembatasan angkatan bersenjata sesebuah negara. Perlucutan senjata biasanya hanya dapat dicapai melalui persetujuan antarabangsa. Tidak ada negara yang digalakkan melepaskan keseluruhan keupayaannya untuk mempertahankan diri atau menyerang negara musuh secara ketenteraan. Akibatnya, persetujuan perlucutan senjata sebenarnya adalah persetujuan untuk mengawal senjata. | UMUM | |
BANGSAWAN | BANGSAWAN, satu bentuk seni pentas dan teater gaya opera Malaysia dan Indonesia. Bangsawan menggunakan dialog dan pada sikuan-sikuan tertentu diolah secara lagu atau puisi, dengan gaya berlakon yang menonjolkan gerak-geri. Kesan keseluruhan teater ini berunsurkan melodrama. | BUDAYA | Drama/Filem/Teater/Persembahan |
PERANG MISLUN | Perang Mislun atau Maysalun ialah peperangan orang Syria dengan penjajah Perancis. Perancis dan British telah membahagikan negara Syam kepada Syria, Lubnan, Palestin dan Jordan selepas Perang Dunia I (1914–1918 M.) mengikut Perjanjian Sykes–Picot. Perancis menjajah kawasan pantai Syria manakala bahagian pedalaman Syria diperintah oleh al-Amir Faysal. Perancis yang ingin menguasai keseluruhan Syria, telah menghantar Jeneral Gourand untuk berbincang dengan al-Amir Faysal. Dia meminta al-Amir Faysal menerima penyatuan Syria yang akan dibuat oleh Perancis dan beberapa permintaan lainnya. Kabilah-kabilah Arab di Syria menolaknya. Ini memaksa Jeneral Gourand memberi amaran secara bertulis kepada al-Amir Faysal supaya menerima tuntutan itu. Kerajaan al-Amir Faysal menerima amaran itu walaupun kabilah Arab tetap menolak tuntutan Perancis. | UMUM | |
PERJANJIAN WAITANGI | Perjanjian Waitangi ialah perjanjian yang dibuat di antara orang Maori New Zealand dengan kerajaan British pada tahun 1840. Menurut perjanjian ini, New Zealand menjadi jajahan British. Orang Maori menyerahkan semua hak dan kuasa kedaulatan tanah mereka kepada Ratu Victoria. Mereka juga bersetuju untuk menjual tanah hanya kepada ratu, melalui wakil- wakil baginda. Sebaliknya, kerajaan British mengesahkan dan memberi jaminan kepada orang Maori tentang pemilikan sepenuhnya terhadap keseluruhan tanah, kampung, hutan dan kawasan perikanan selagi mereka ingin menjadikannya sebagai pemilikan mereka. Jaminan itu meliputi semua pemilikan, sama ada secara berkumpulan atau individu. Ratu bertanggungjawab untuk melindungi orang Maori dan memberikan hak sebagai rakyat British kepada mereka. | UMUM | |