Rancangan Marshall menggalakkan negara-negara Eropah berganding bahu untuk memulihkan ekonomi selepas Perang Dunia II (1939–1945). Rancangan Marshall menggalakkan negara-negara Eropah berganding bahu untuk memulihkan ekonomi selepas Perang Dunia II (1939–1945). Pada bulan Jun 1947, Amerika Syarikat bersetuju untuk membantu Eropah, sekiranya ia mahu berbincang dan menentukan apa yang diperlukan. Nama rasmi rancangan itu ialah Program Pemulihan Eropah. Ia disebut sebagai Rancangan Marshall bersempena nama George C. Marshall, setiausaha negara Amerika Syarikat yang mula-mula mencadangkannya. Rancangan Marshall bermula pada bulan April 1948 apabila Kongres menubuhkan Pentadbiran Kerjasama Ekonomi untuk menguruskan bantuan luar negara. Sebanyak tujuh belas buah negara menubuhkan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Eropah bagi mewujudkan kerjasama di kalangan ahli-ahlinya. Amerika Syarikat menyumbang kira-kira 13 bilion dolar Amerika dalam bentuk makanan, jentera, dan keluaran lain ke Eropah. Bantuan tersebut ditamatkan pada tahun 1952. Pada tahun 1961, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan dibentuk bagi menggantikan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Eropah. Sebanyak 20 buah negara, termasuk Amerika Syarikat dan Kanada menubuhkan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan pembangunan bagi tujuan menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara-negara ahli dan bagi membantu kawasan yang sedang membangun. Lihat juga Eropah (Eropah Pascaperang); Marshall, George C.; Truman, Harry S. |