Pulau Wake ialah pulau milik Amerika Syarikat di bahagian tengah barat Lautan Pasifik. Pulau ini merupakan persimpangan semula jadi bagi kapal dan kapal terbang yang menyeberangi Lautan Pasifik. Wake ialah sebuah atol segi tiga yang terdiri daripada tiga buah pulau kecil karang, iaitu Wake, Peale dan Wilkes. Pulau-pulau kecil ini meliputi kawasan darat seluas lebih kurang lapan kilometer persegi dan mempunyai penduduk lebih kurang 300 orang. Dengan batu karang yang melengkung, pulau-pulau ini melingkungi sebuah lagun yang tidak sampai 10 kilometer persegi luasnya. Wake terletak 3700 kilometer ke sebelah barat Honolulu dan 3195 kilometer ke sebelah tenggara Tokyo. Pulau ini tidak mempunyai air tawar, dan tumbuh- tumbuhannya kebanyakan terdiri daripada pokok- pokok renek dan belukar. |