MENGAWAL BERAT BADAN | Mengawal berat badan ialah proses mengawal amaun lemak badan. Ia berdasarkan kaitan antara amaun makanan yang dimakan oleh seseorang dengan amaun senaman yang dilakukannya. Semakin kurang seseorang makan dan semakin banyak senaman dilakukan, semakin kurang lemak dalam badan. Mengawal berat badan mempunyai kepentingan perubatan kerana menjadi obes (terlalu gemuk) boleh membawa kepada masalah kesihatan yang teruk. Masalah emosi dan sosial yang serius juga boleh berlaku akibat keobesan. | UMUM | |
TAYRA | Tayra ialah anggota yang besar dalam famili wesel . Ia hidup di hutan tropika dari Mexico hingga ke Argentina. Kebanyakan tayra berbulu hitam atau perang tua dengan tompok putih atau kuning di dadanya. Bulu di kepalanya beransur-ansur berubah menjadi perang atau kelabu apabila haiwan ini semakin tua. Tayra dewasa beratnya lebih kurang lima kilogram dan panjangnya lebih kurang 105 sentimeter, termasuk ekornya sepanjang lebih kurang 40 sentimeter. | UMUM | |
SASTERA KANAK-KANAK | SASTERA KANAK-KANAK, bentuk sastera Melayu yang dihasilkan bagi bahan bacaan kanak-kanak dalam lingkungan umur dua hingga 12 tahun. Penggolongan ini dibahagikan pula kepada kanak-kanak yang tahu membaca, pada peringkat prasekolah (2-6 tahun) dan kanak-kanak pada peringkat sekolah rendah (6-12 tahun). Kanak-kanak dalam lingkungan usia ini mempunyai minat dan kecenderungan yang berbeza, pencapaian berbahasa yang tidak sama dan keupayaan yang tidak setara. Justeru, kanak-kanak pada peringkat prasekolah amat berminat membaca buku sastera kanak-kanak yang banyak ilustrasi dan kurang teksnya. Sementara kanak-kanak pada peringkat sekolah rendah pula gemar kepada buku sastera yang bertambah banyak teks dengan ilustrasi yang semakin berkurang. | SASTERA | Konsep |