SASTERA TULISAN | SASTERA TULISAN, sastera yang disampaikan melalui tulisan lagi dinyatakan secara pertuturan seperti yang dilakukan pada sastera lisan. Sastera tulisan memerlukan tulisan sebagai alat untuk merakam hasil karya. Sastera ini sudah lama wujud dalam masyarakat Melayu.
| SASTERA | Konsep |
SISTEM MAKLUMAT PENGURUSAN | Sistem maklumat pengurusan ialah sistem komputer yang direka untuk membantu para eksekutif yang menjalankan urusan perniagaan, agensi kerajaan dan juga organisasi lain. Sektor perniagaan sudah lama bergantung kepada komputer untuk mengendalikan kerja menyimpan kira-kira yang asas, seperti penyediaan gaji dan invois. Meskipun begitu, sistem maklumat pengurusan sebenarnya membantu pengurus membuat keputusan perniagaan yang kompleks. | UMUM | |
THOTH | Thoth ialah dewa bulan Mesir purba yang menaungi tamadun dan seni intelek seperti penulisan, astronomi, matematik, perundangan, sihir, dan perbomohan. Thoth digambarkan dalam seni sebagai tubuh manusia yang berkepala burung sekendi. Thoth juga digambarkan sebagai babun berkepala anjing. Peranan utama Thoth di alam ghaib ialah menyelia neraca penimbang roh orang yang sudah meninggal dunia untuk menentukan sama ada orang itu bersalah atau tidak. Thoth juga dikaitkan dengan dewa lain. Thoth dianggap sebagai jurutulis dewa matahari Re dan malah ketua pegawai pentadbir Re. Dalam mitos penciptaan dari Memphis, Thoth menjadi lidah dewa pencipta, Ptah yang mencipta dunia. | UMUM | |
TERA AIR | Tera air ialah tanda pengenalan yang ditekan ke atas kertas ketika ia dibentuk oleh mesin pembuat kertas. Lazimnya, tera air ialah tanda yang ditinggalkan oleh dawai yang dibentuk supaya menyerupai corak tera air dan dipasangkan pada penggelek hias mesin Fourdrinier (lihat Kertas [gambar rajah: Bagaimana kertas dibuat]). Ketika corak dawai itu bersentuh dengan lapisan palpa yang basah, suatu kesan tekanan yang lut cahaya akan terjadi, dan boleh dilihat apabila kertas itu dibentang di hadapan cahaya. Suatu tanda yang kelihatan seperti tera air juga boleh dibuat secara kimia di atas kertas yang sudah siap. Kertas yang ditandakan dengan tera air sering digunakan pada dokumen penting untuk membantu mencegah peniruan atau pemalsuan. | UMUM | |
STEVENSON, ROBERT LOUIS | Stevenson, Robert Louis (1850–1894) ialah novelis, penulis esei, dan penyair Scotland yang menjadi salah seorang penulis yang paling terkenal di dunia. Cerita pengembaraannya seperti Treasure Island dan Kidnapped sudah lama menjadi kegemaran kanak-kanak dan juga orang dewasa. Esei dan buku kembaranya dianggap sebagai model gaya prosa Inggeris yang sofistikated, manakala puisinya yang lembut dan mudah seperti A Child’s Garden of Verses merupakan karya yang terbaik dalam sastera kanak-kanak. | UMUM | |
TBILISI | Tbilisi (pend. 1 140 000) ialah ibu negara Georgia. Georgia ialah sebuah republik dalam Kesatuan Soviet sehingga tahun 1991, apabila Georgia mengisytiharkan kemerdekaannya. Pada akhir tahun tersebut, Kesatuan Soviet telah runtuh. Nama Tbilisi bererti musim bunga yang panas dalam bahasa Georgia. Bandar ini dahulunya dikenal sebagai Tiflis , namanya dalam bahasa Rusia. Ia terletak di Sungai Kura di bahagian timur Georgia (lihat Georgia [peta]). Sebahagian bandar Tbilisi sudah moden dan sebahagian lagi kelihatan seperti kota Timur purba. Hasil keluaran Tbilisi meliputi bahan kapas, sakhlat, barangan kulit, jentera, hasil logam, dan minyak. Tbilisi ialah persimpangan rangkaian jalan raya dan landasan kereta api. | UMUM | |
DIALEK MELAYU BERAU | DIALEK MELAYU BERAU, dialek yang dituturkan oleh lebih kurang 40 000 orang di Propinsi Kalimantan Timur, Indonesia. Dialek ini belum pernah diselidiki dengan wajar seperti kebanyakan dialek Melayu di Pulau Borneo. Maklumat dialek itu sangat penting untuk rekonstruksi bahasa Melayu purba serta untuk memahami jaringan dialek Melayu di Pulau Borneo. Seperti dalam beberapa dialek di Pulau Borneo, dalam dialek Melayu Berau (DMB) hanya terdapat tiga fonem vokal, iaitu i, a, u. Hal ini disebabkan rentensi vokal tinggi pada semua posisi. Jadi o dan e tidak wujud dalam DMB; lihat, umpamanya, ‘orang’ dan ‘olak’ tetap urang dan ulak serta ‘lebar’ dan ‘sentak’ tetap libar dan sintak. Namun, selain rentensi itu, sudah terjadi inovasi pula. Dalam DMB, bunyi purba * disatukan dengan *a; ertinya * (pepet) dan *a tidak dibezakan. Maka, melalui retensi terdapat hanya dua vokal tinggi (*i dan *u) serta melalui inovasi * hilang. Fonologi DMB sememangnya hanya berisikan tiga vokal. | BAHASA | Bahasa |
WASIAT | WASIAT, perkataan daripada bahasa Arab yang bermakna menyatakan kehendak atau pesanan terakhir sebelum wafat. Pengertian yang sama digunakan dalam budaya Melayu, khususnya terhadap peninggalan harta secara bertulis atau lisan. Dalam ertinya yang umum, wasiat mendapat makna yang khusus dalam kesusasteraan Melayu lama bercorak sejarah. Mengikut teks bercorak sejarah seperti Hikayat Raja-Raja Pasai atau Sulatatus Salatin, sudah menjadi tradisi bagi raja-raja yang memerintah dalam menghadapi saat terakhirnya, berpesan kepada putera pewaris takhta tentang betapa pentingnya bagi putera itu apabila menjadi raja kelak berlaku adil. Tradisi ini dikatakan ‘wasiat’ terakhir seorang raja kepada bakal penggantinya. | BUDAYA | Perjanjian/Konvensyen/Triti/Persetiaan |
SURUHANJAYA PILIHAN RAYA | Kapsyen : Mengundi sebagai satu simbol demokrasi SURUHANJAYA PILIHAN RAYA, sebuah badan atau agensi bebas bertaraf perlembagaan dan menjadi pengawas serta penyelia satu proses dalam sistem demokrasi. Suruhanjaya ini ditubuhkan mengikut perintah Perlembagaan Malaysia (Fasal 114). Dalam menjalankan tugasnya, suruhanjaya bukan saja harus bersikap dan bertindak berkecuali, saksama dan adil, tetapi harus kelihatan demikian, kerana sifat-sifat itu sendiri sudah menjadi sebahagian daripada lunas-lunas demokrasi. Dalam mentadbirkan dan menjalankan fungsinya, Suruhanjaya Pilihan Raya dibekalkan dengan kuasa-kuasa berkanun seperti yang terdapat dalam Perlembagaan Malaysia (Bahagian VIII) serta Jadual Kedua Belas, akta-akta khusus, dan peraturan-peraturan terbitan. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |
DIALEK MELAYU MAKASSAR | DIALEK MELAYU MAKASSAR, dialek yang berasal daripada ragam Melayu yang dituturkan pada awal abad ke-17 di bandar Makasar, Sulawesi, Indonesia. Selain bahasa Sulawesi Selatan, bahasa Melayu sudah amat luas digunakan juga di bandar yang pada ketika itu berkembang pesat sebagai pelabuhan utama dalam perdagangan rempah. Peranan bahasa Melayu pada zaman itu dapat dibuktikan dengan merujuk keterangan orang Eropah yang menyaksikan fungsi bahasa itu dan dengan membaca karya sastera Melayu yang dikarang di Makasar pada masa itu, seperti Syair Perang Makasar. | BAHASA | Bahasa |