SIFAR MUTLAK | Sifar mutlak ialah suhu teoretis apabila atom dan molekul sesuatu bahan mempunyai tenaga serendah mungkin. Suhu ini, yang dipercayai oleh ahli sains adalah suhu yang paling rendah boleh dicapai, bersamaan –273.15°C. Nilai ini berdasarkan sebahagiannya pada pemerhatian hubungan antara suhu dengan tekanan gas. Apabila suhu gas terbatas kepada isi padu tetap direndahkan, tekanannya berkurangan berkadaran langsung – seolah-olah ia akan menjadi sifar pada –273.15°C.
| UMUM | Konsep |
KOTA JELASIN | KOTA JELASIN, salah sebuah ibu negeri Kelantan pada zaman silam. Mengikut sejarah tempatan, Kota Jelasin telah dibina oleh Raja Abdullah dan permaisurinya Puteri Sa’adong atas titah Che Siti Wan Kembang, raja yang memerintah Tanah Serendah Sekebun Bunga Cherang Tegayong, sebuah negeri di Kelantan dengan ibu negerinya di Chetok yang terletak dalam jajahan Pasir Mas sekarang. Kota Jelasin dibina sekitar tahun 1633 sempena pelantikan Raja Abdullah dan Puteri Sa’adong sebagai raja pemerintah. Sumber tempatan lain pula menyebut Puteri Sa’adong telah dilantik oleh Che Siti Wan kembang menjadi raja di Kota Jelasin pada tahun 1677. Manakala sebuah sumber tempatan lain menyebut, setelah Raja Abdullah berkahwin dengan Puteri Sa’adong, baginda telah dilantik sebagai raja negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga dengan gelaran Sultan Abdullah dan kemudian baginda telah membina Kota Jelasin. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bandar/Negeri/Negara/Tempat |
PUTERI SA'ADONG | Puteri Sa’adong ( ? - ? ) ialah isteri kepada Raja Abdullah, pemerintah kerajaan Jembal ke-3 iaitu sebuah kerajaan di timur negeri Kelantan, pada abad yang ke-17. Puteri Sa’adong adalah puteri kepada Raja Luyor, iaitu raja ke-2 yang memerintah Jembal. Perihal kecantikan Puteri Sa’adong tersebar luas hingga ke negeri Serendah Sekebun Bunga Cerang Tegayung, iaitu negeri yang diperintah oleh Cik Siti Wan Kembang yang berpusat di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan. Puteri Sa’adong yang juga dikenali sebagai Puteri Wijaya Mala dijadikan anak angkat oleh Cik Siti Wan Kembang. | UMUM | |
CIK SITI WAN KEMBANG | CIK SITI WAN KEMBANG (1580-1677), pemerintah negeri bernama ‘Negeri Serendah Sekebun Bunga Cerang Tagayong’ dengan gelaran Seri Maharaja Puteri. Mengikut sejarah tempatan, Cik Siti Wan Kembang ialah puteri kepada Raja Ahmad, Yang Dipertua Kelantan dengan isterinya yang bernama Cik Banun, anak bongsu kepada Nara Diraja, seorang pembesar Kelantan. Semasa Cik Siti Wan Kembang berusia lebih kurang empat tahun, Raja Ahmad mangkat. Baginda digantikan oleh Raja Hussin dari Johor dengan gelaran Sultan Hussin. Raja Hussin ialah satu-satunya putera kepada Raja Umar, iaitu Sultan Johor yang bergelar Sultan ‘Ala Jalla Abdul Jalil II yang memerintah Johor dari tahun 1570 hingga tahun 1597. Sultan Hussin memerintah Kelantan selama 26 tahun, dari tahun 1584 hingga tahun 1610. Cik Siti Wan Kembang yang masih kecil itu diasuh oleh Sultan Hussin sebagai puteri angkat baginda. Apabila Sultan Hussin mangkat pada tahun 1610, Cik Siti Wan Kembang, ketika itu berusia lebih kurang 30 tahun, ditabal sebagai Raja Pemerintah Kelantan. Cik Siti Wan Kembang dikatakan bersemayam di Gunung Besar yang kemudian dinamai Gunung Cintawangsa yang sekarang ini terletak di sempadan Kelantan-Terengganu. Baginda tidak bersuami. Di bawah pemerintahan Cik Siti Wan Kembang negeri Kelantan bertambah maju dan terkenal sehingga ramailah pedagang termasuk yang datang dari luar negeri seperti dari negeri China, India dan Arab berniaga di Kelantan. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |