SULAMAN | Sulaman ialah seni menjahit hiasan di atas fabrik atau bahan yang seumpamanya dengan menggunakan jarum dan benang. Jahitan itu boleh dicantum untuk dijadikan pelbagai corak, termasuk bunga, binatang, manusia, dan corak abstrak. Corak dilukis di atas fabrik, dan kemudian disulam, atau corak direka semasa menyulam. | UMUM | |
KENDURI | KENDURI, jamuan makan yang lazimnya didahului dengan bacaan doa, zikir dan seumpamanya yang diadakan sempena sesuatu peristiwa, seperti perkahwinan, kelahiran, ataupun mengingati sesuatu peristiwa seperti mengingati orang yang telah meninggal, upacara maulid dan seumpamanya. Juadah yang dihidangkan itu bergantung pada jenis kenduri yang diadakan. Kenduri bersempena majlis perkahwinan, biasanya dihidangkan nasi minyak; dan kenduri sempena mengkhatankan anak biasanya pulut kuning dihidangkan menyertai hidangan nasi. | BUDAYA | Konsep |
ILMU PENGASIH | ILMU PENGASIH, jampi, azimat, doa, ubat guna-guna dan seumpamanya yang digunakan oleh orang Melayu untuk menanam dan membangkitkan rasa kasih seseorang terhadap orang lain. Antara ilmu pengasih yang terdapat di kalangan masyarakat Melayu ialah ilmu tepuk bantal, pemanggil, penunduk dan nasi tangas. | BUDAYA | Konsep |
JAKUN | JAKUN, suku kaum Orang Asli. Masyarakat ini digolongkan dalam rumpun bangsa Melayu Asli atau Melayu proto. Perkataan ‘jakun’ merupakan satu konsep budaya yang digunakan oleh orang Melayu bagi merujuk masyarakat ini. Pada asalnya, konsep ‘jakun’ digunakan untuk merujuk semua kaum Melayu Asli. Konsep ‘jakun’ merupakan gabungan dua perkataan iaitu ‘jah’ atau ‘jak’ yang bermaksud ‘orang’, dan ‘kun’ bermaksud ‘liar’, ‘mundur’ dan seumpamanya. Konsep ‘jakun’ ini kurang disenangi kerana mengandungi pengertian dan konotasi yang negatif. Orang Jakun turut dikenal dengan panggilan lain seperti Orang Hulu, Orang Darat, Orang Dusun dan Orang Dalam. | BUDAYA | Bangsa/Suku/Kaum |
SENOI | SENOI, kumpulan Orang Asli yang mendiami kawasan tengah Semenanjung Malaysia. Istilah Senoi berasal daripada perkataan Semai dan Temiar, ‘Sen-oi’ atau ‘seng-oi’ yang bermaksud orang atau manusia. Istilah ini kemudiannya digunakan oleh penyelidik dan pentadbir sebagai istilah rujukan bagi kumpulan Orang Asli yang menggunakan bahasa Austroasiatik dan mendiami kawasan tengah Semenanjung Malaysia, iaitu Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Selangor. Sebelum istilah Senoi diperkenalkan, pengkaji dan pentadbir menggunakan istilah Sakai. Namun, istilah ini tidak dipersetujui oleh masyarakat Orang Asli kerana membawa makna dan konotasi yang negatif seperti hamba abdi, tidak bertamadun, kotor dan seumpamanya. Istilah ini telah diketepikan dan digantikan dengan ‘senoi’ sebagai istilah rasmi. | BUDAYA | Bangsa/Suku/Kaum |