ANNAPOLIS | Annapolis ialah ibu negeri Maryland, negeri di Amerika Syarikat. Di sinilah terletak Akademi Tentera Laut Amerika Syarikat. Annapolis terletak di sepanjang pinggir Sungai Severn di pantai barat Teluk Chesapeake. Susun atur bandar ini terdiri daripada dua bulatan di tengah-tengahnya dan jalan-jalan kecil bercabang-cabang ke semua arah. | UMUM | |
SAVAGE | Savage ialah sebatang sungai di pergunungan barat laut Tasmania, Australia. Di sinilah terletaknya lombong bijih besi yang mengeluarkan hasil secara besar-besaran. Bijih besi gred rendah yang dikenali sebagai magnetit dikeluarkan daripada lombong dedah berhampiran sungai. Magnetit itu ditumbuk menjadi debu, dan zarah besi dikeluarkan daripadanya dengan menggunakan magnet. Air ditambah dan sluri dipam sejauh 87 kilometer melalui saluran paip ke Port Latta. Di situ, bijih besi dibentuk menjadi penabur yang diameternya kira-kira satu sentimeter, dan dikeraskan melalui proses pemanasan. Hampir 2 286 000 tan metrik penabur dipunggah setiap tahun ke dalam kontena besar untuk dieksport ke Jepun. | UMUM | |
PALMER | Palmer ialah sebatang sungai di utara Queensland , Australia. Di sinilah terdapat tapak lombong emas pertama yang besar dan menguntungkan yang ditemui di Queensland. | UMUM | |
SIKKIM | Sikkim ialah negeri yang terletak di timur laut India. Ia terbentang di bahagian timur Himalaya. Di sinilah terletaknya gunung yang tertinggi di India dan yang ketiga tertinggi di dunia, iaitu Gunung Kanchenjunga. Sikkim ialah negeri kedua terkecil di India. | UMUM | |
KLONDIKE | Klondike ialah sebuah kawasan di Wilayah Yukon, barat laut Kanada. Di sinilah berlakunya salah satu kerubut emas yang paling besar di dunia. Kawasan ini luasnya lebih kurang 2070 kilometer persegi, termasuk Sungai Klondike dan cabang-cabangnya. Lihat Kerubut emas; Wilayah Yukon. | UMUM | |
DEWAN UNDANGAN NEGERI | DEWAN UNDANGAN NEGERI, majlis mesyuarat tertinggi pada peringkat negeri di Malaysia. Di sinilah cadangan rang undang-undang dibentangkan oleh kerajaan negeri dan kemudian dibincangkan oleh ahli-ahli Dewan Undangan Negeri secara terbuka. Perbincangan ini penting bagi melihat kepentingan rang undang-undang tersebut secara teliti sebelum diluluskan dengan sebulat suara. Rang undang-undang itu kemudian akan dikuatkuasakan sebagai undang-undang, jika tidak bersalahan dengan perlembagaan negara. Jika perlu mendapat persetujuan kerajaan pusat, rang undang-undang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Dewan Negara, Kabinet atau Yang di-Pertuan Agong untuk dibahaskan dan mendapat kelulusan sepenuhnya, sebelum dikuatkuasakan sebagai sebuah akta atau undang-undang. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |
TELAGA BATU | TELAGA BATU, tapak arkeologi yang penting dalam sejarah kerajaan Sriwijaya. Di sinilah ditemui inskripsi Telaga Batu, yang memberi gambaran tentang bagaimana kerajaan atau kedatuan Sriwijaya diperintah dan juga keadaan organisasi pemerintahan, serta cara keamanan dan perpaduan dikekalkan. Ia merujuk kepada sebuah perigi batu yang tidak diketahui umurnya dan terletak di bahagian barat sebuah kawasan yang kelihatan seperti sebuah pulau empat persegi dan dikenal dengan nama Sabukingking, 300 m dari Gedung Suro iaitu satu lagi tapak bersejarah di Palembang. Pada awal abad ke-20, telah ditemui sebuah prasasti yang penting kepada sejarah Sriwijaya. Prasasti tersebut dikenal dengan nama inskripsi Telaga Batu. Walaupun tidak ada tarikh, namun secara perbandingan dengan inskripsi Sriwijaya yang lain, dipercayai inskripsi itu dibuat pada akhir abad ke-7 M. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bandar/Negeri/Negara/Tempat |
RABU | Rabu ialah nama hari keempat dalam seminggu. Dalam bahasa Inggeris hari Rabu disebut Wednesday . Hari tersebut mendapat namanya daripada Woden, atau Odin, iaitu ketua dewa dalam mitologi Teutonik yang dianggap suci. Pada awal era Kristian, orang Jerman menggelarnya hari Woden. Kemudian, nama tersebut ditukar kepada Wednesday. Orang Rom menamakan hari keempat dalam seminggu ini sempena planet Utarid (Mercury), yang dipercayai mengawal jam pertama pada hari itu. Planet itu pula telah dinamakan sempena dewa Merkuri. Dari sinilah timbulnya perkataan Latin Dies Mercurii . Bahasa Rom yang berasaskan bahasa Latin masih mengekalkan nama ini. Contohnya bahasa Perancis menggelar Wednesday sebagai mercredi . Rabu berasal daripada bahasa Arab al- Arbi‘a’ , iaitu hari keempat dalam seminggu. | UMUM | |
SANTA MARTA | Santa Marta (pend. 218 205) ialah pelabuhan laut berhampiran hujung utara Colombia. Untuk lokasi, lihat Colombia (peta). Bandar ini penting sebagai pusat kapal penghantaran pisang. Beberapa tahun dahulu bandar ini menjadi tempat yang digunakan oleh para pengembara untuk memulakan usaha mencari El Dorado. Santa Marta diasaskan pada tahun 1525 oleh Rodrigo de Bastidas, ahli pelayaran dan penjelajah Sepanyol. Ia adalah petempatan tetap yang tertua di Amerika Selatan. Tidak jauh dari situ ialah hacienda (estet) San Pedro Alejandrino dan di sinilah pembebas Amerika Selatan, Simón Bolívar menghabiskan hari-hari terakhirnya sebelum meninggal dunia pada tahun 1830. Lihat juga El Dorado. | UMUM | |
TAYLOR, G.A. | Taylor, G.A. (1872–1928) ialah juruterbang dan juruteknik perintis Australia yang dianggap oleh ramai ahli sejarah sebagai orang yang melakukan penerbangan pertama di Australia. Dia membuat penerbangan tersebut pada tahun 1909 di Narrabeen, Sydney, dengan sebuah pesawat udara peluncur yang dibinanya. Pada awal tahun 1900-an, dia cuba mencari-cari prinsip-prinsip penerbangan, dan pada tahun 1908, dia mula membina serangkaian layang-layang kotak. Pada tahun berikutnya, dia menubuhkan Aerial League dan dari sinilah gerakan kelab penerbangan Australia berkembang. Pada tahun 1910 dan tahun 1911, Taylor berjaya memancarkan mesej radio dari sebuah kereta api yang bergerak ke kereta api lain. George Augustine Taylor lahir di Sydney. | UMUM | |