SPARTA | Sparta, juga dikenali sebagai Lacedaemon, ibu negeri Laconia, pada suatu masa dahulu merupakan negara kota yang paling berkuasa di Yunani purba. Sparta masyhur dengan kuasa ketenteraannya dan kesetiaan askarnya. Penghormatan yang paling tinggi bagi seorang penduduk Sparta ialah terkorban semasa mempertahankan negerinya. Ketahanan, kebencian terhadap benda mewah, dan ketegasan yang sukar digoyah, masih disebut dalam perbandingan sebagai sikap atau sifat baik penduduk Spartan. | UMUM | |
MENELAUS | Menelaus, raja Sparta, ialah suami kepada Helen of Troy. Paris, putera Trojan, berjaya meyakinkan Helen untuk melarikan diri bersamanya ke Troy. Menelaus bersama saudara lelakinya, Agamemnon, mengumpulkan askar dan menyerang Troy. Selepas 10 tahun, mereka menawan bandar tersebut dan Menelaus berjaya menemui semula Helen. Mereka berdua mengembara selama lapan tahun dan akhirnya sampai di Sparta. Lihat juga Helen of Troy. | UMUM | |
PERANG PELOPONNESIA | Perang Peloponnesia ialah pertempuran antara negara kota Yunani, iaitu antara Athens dengan Sparta dari tahun 431 S.M. hingga tahun 404 S.M. Mengikut Thucydides, ahli sejarah Yunani yang hidup semasa peperangan ini, Liga Peloponnesia mengandungi Sparta dan perikatannya telah menyerang empayar Athenia kerana bimbangkan kuasa Athens bertambah kuat. | UMUM | |
THIRTY TYRANTS | Thirty Tyrants (Tiga Puluh Penzalim) ialah nama gelaran yang diberikan kepada kerajaan Athens selepas bandarnya ditawan oleh orang Sparta pada tahun 404 S.M. Pemerintahnya pada masa itu juga dikenali sebagai The Thirty . Ahli politik Athens yang cerdik, Critias memimpin kumpulan yang berkuasa. Mereka dilantik untuk melakukan pembaharuan perlembagaan Athens mengikut fahaman konservatif. | UMUM | |
ALCIBIADES | Alcibiades (450? S.M–404 S.M.), jeneral Athenisa. Dia menjadi tokoh terkemuka dalam perang Peloponnesia, iaitu peperangan antara Athens dengan Sparta dari tahun 431 S.M. hingga tahun 404 S.M. | UMUM | |
MITCHISON, NAOMI | Mitchison, Naomi (1897–1999) ialah penulis British yang popular dengan beberapa novelnya yang menceritakan kisah purba Yunani dan Mesir. Novelnya terkenal kerana gaya penulisannya sungguh berkesan. Novelnya termasuklah When the Bough Breaks (1924), dan Black Sparta (1928). Karya popularnya yang lain termasuklah The Corn King and the Spring Queen (1931), sebuah karya fantasi sejarah. Karyanya yang terkemudian termasuklah Don’t Look Back (1969), What Do You Think Yourself (1982), Not By Bread Alone (1983), dan Among You Taking Notes (1985). Nama sebenarnya ialah Naomi Margaret Haldane, dan lahir di Edinburgh, Scotland. Dia mendapat pendidikan di Oxford University. | UMUM | |
ARCADIA | Arcadia, salah satu bahagian di Greece pada masa kini adalah kawasan yang penting pada zaman purba. Lebih kurang 108 000 orang tinggal di kawasan yang terdiri daripada gunung dan lembah subur di Peloponnesus (semenanjung selatan Greece). Arcadia adalah satu-satunya bahagian Peloponnesus yang tidak diserang oleh orang Dorian pada tahun 1100-an S.M. Orang Arcadia mengekalkan sebahagian besar bahasa Yunani pra-Dorian. Pada tahun 500-an S.M. Arcadia menyertai Liga Peloponnesus, perikatan tentera yang terdiri daripada bandar-bandar di Peloponnesus yang diketuai oleh Sparta. Bandar- bandar Arcadia tetap setia kepada Sparta sehingga tahun 369 S.M., apabila ia menubuhkan liga pertahanannya sendiri. Tidak lama kemudian Liga Arcadia berpecah, tetapi Liga Macedonia dan kemudiannya Liga Achaean dan Aetolian melindungi Arcadia. | UMUM | |
THUCYDIDES | Thucydides (460?–400? S.M.), ahli sejarah Yunani, menjadi ahli sejarah pertama di dunia yang bercita-cita untuk mencatat sejarah yang tepat dan tidak berat sebelah yang juga boleh mendedahkan perjalanan sifat kemanusiaan semula jadi dalam masyarakat. Bahan sejarahnya ialah perang besar di antara dua negara kota Yunani, Athens dan Sparta . Perang ini berlaku dari tahun 431 S.M. hingga tahun 404 S.M. Catatan Thucydides yang terkenal, History of the Peloponnesian War , berakhir pada tahun 411 S.M. | UMUM | |
NEGARA POLIS | Negara polis, berlaku apabila kerajaan sesebuah negara atau unit politik membenarkan agensi penguatkuasaan undang-undang negara itu mengekalkan keamanan melalui ketakutan rakyat. Dalam keadaan ini, pihak polis tidak lagi tertakluk kepada undang-undang atau kekangan lain yang biasanya mengehadkan tindakan mereka dalam sebuah negara demokrasi berperlembagaan. Pihak polis boleh merisik sesiapa sahaja tanpa menghiraukan privasi individu. Mereka juga boleh menangkap, memenjarakan, membunuh, atau membuang negeri sesiapa sahaja tanpa sebarang sebab. Pada zaman dahulu, negara kota Yunani, Sparta, merupakan sebuah negara polis yang paling lengkap. Pada tahun 1990-an, taktik negara polis ini sering digunakan oleh golongan fasis dan negaranegara komunis. Lihat juga Polis rahsia. | UMUM | |