OAKLEY, ANNIE | Oakley, Annie (1860–1926) ialah penembak tepat Amerika yang terkenal (pakar menggunakan senapang) yang membintangi pertunjukan Buffalo Bill’s Wild West selama lebih 16 tahun. Dia dibantu oleh suaminya, Frank Butler, dan lakonannya termasuk menembak duit syiling yang dipegang oleh suaminya atau menembak rokok di mulut suaminya. Oakley juga boleh menembak kad yang dilontarkan ke udara dari sejauh 25 meter. | UMUM | |
SUAMI RATU | Suami ratu ialah suami kepada ratu yang sedang memerintah. Di negara-negara yang membolehkan puteri raja mewarisi takhta kerajaan, suaminya tidak memakai gelaran raja. | UMUM | |
SAWDAH BINT ZAM'AH | Sawdah bint Zam’ah ( ? –55 H. / ? –675 M.) ialah salah seorang daripada isteri Rasulullah s.a.w. Sawdah bint Zam‘ah berasal dari kalangan bangsawan Quraisy ‘Amiriyyah. Dia pernah berhijrah ke Habsyah bersama-sama bekas suaminya al-Sakran ibn ‘Amru yang juga seorang Muslim yang bersaudara dengan Suhayl ibn ‘Amru. Kemudian mereka pulang ke Makkah dan setibanya di sana, suaminya meninggal dunia. Baginda mengahwininya tiga tahun sebelum Hijrah, iaitu selepas kematian Khadijah bint Khuwaylid. Sebenarnya, Khawlah bint Hakim, iaitu isteri Uthman ibn Maz’un yang mencadangkan kepada Baginda Rasulullah s.a.w. dan meminang Sawdah bagi pihak nabi. Baginda Rasulullah s.a.w. pernah berhasrat untuk menceraikannya bahkan menurut sesetengah riwayat lain, Baginda telah menceraikannya, tetapi dia memohon agar dirujuk kembali kerana ingin dibangkitkan di akhirat kelak bersama-sama para isteri Baginda yang lain. Menurut riwayat lain, dia adalah wanita yang menjadi sebab turunnya ayat yang memerintahkan kaum wanita Islam memakai hijab. Dia meninggal dunia di Madinah. Lihat juga Isteri-isteri Nabi Muhammad s.a.w. | UMUM | |
KRUPSKAYA, NADEZHDA KONSTANTINOVNA | Krupskaya, Nadezhda Konstantinovna (1869–1939) ialah pemimpin Revolusi Rusia dan isteri V. I. Lenin. Dia membantu suaminya menubuhkan Parti Komunis Rusia pada tahun 1903. | UMUM | |
ADAMSON, JOY | Adamson, Joy (1910–1980), pengarah dan pelukis, yang menjadi termasyhur kerana bukunya Born Free: A Lioness of Two Worlds (1960). Buku ini menceritakan bagaimana Adamson dan suaminya memelihara Elsa, anak singa yatim piatu, semasa mereka tinggal dan bertugas di Kenya, Afrika Timur. Pasangan Adamsons melatih Elsa memburu haiwan-haiwan lain untuk makanan supaya ia akhirnya dapat mencari makan sendiri dalam hutan. | UMUM | |
SUTTEE | Suttee merupakan adat Hindu yang lazim diamalkan di India. Perkataan suttee berasal daripada perkataan Sanskrit sati, yang bermakna isteri setia. Mengikut amalan ini, apabila seorang suami meninggal dunia, balunya merelakan dirinya atau dipaksa untuk mati. Biasanya dia dibakar bersama mayat suaminya atau bersama barang-barang pakaian suaminya. | UMUM | |
KES CHAMBERLAIN | Kes Chamberlain yang melibatkan kehilangan seorang bayi perempuan Australia berumur sembilan minggu pada tahun 1980-an, telah menarik perhatian seluruh dunia. Pada 17 Ogos 1980, Azaria Chamberlain, anak perempuan Alice Lynne (Lindy) Chamberlain dan suaminya, Michael, seorang Pastor Gereja The Seventh Day Adventist, telah hilang dari sebuah khemah di Ayers Rock, Australia. Dalam satu inkues pada bulan Februari 1981, koroner memutuskan bahawa bayi itu, yang tidak pernah dijumpai, telah mati apabila diterkam dan dibawa lari oleh seekor dingo liar. | UMUM | |
NABI ISMAIL A.S. | Nabi Ismail a.s. ialah seorang nabi dan rasul, anak kepada Nabi Ibrahim a.s. dan ibu baginda Hajar berasal dari Mesir. Sarah, isteri pertama Nabi Ibrahim a.s. tidak dapat melahirkan zuriat pada waktu itu dan telah dihadiahkan seorang hamba perempuan oleh Raja Mesir untuk berkhidmat kepadanya. Dengan alasan tidak dapat melahirkan anak, Sarah telah memberikan hamba tersebut iaitu Hajar, kepada suaminya Nabi Ibrahim a.s. dengan harapan dapat melahirkan seorang anak yang dapat menggembirakan mereka. Akhirnya mereka dikurniakan seorang anak dengan kelahiran Nabi Ismail a.s. Setelah itu, perasaan cemburu mula timbul di hati Sarah lalu dia merayu suaminya membawa anak tersebut bersama-sama ibunya ke suatu tempat yang jauh daripada pandangan matanya. Hikmah Allah SWT sememangnya menghendaki perkara tersebut berlaku, lalu Nabi Ibrahim a.s. memperkenankan permintaan isterinya. Allah SWT mewahyukan kepada Nabi Ibrahim a.s. untuk membawa Nabi Ismail a.s. bersama-sama ibunya dan menempatkan kedua-duanya di suatu wadi yang tidak ditumbuhi sebarang tumbuhan. Ini merupakan satu ujian kepada Nabi Ibrahim a.s., iaitu perpisahan dengan anaknya yang sangat dicintai. | UMUM | |
AGRIPPINA THE YOUNGER | Agrippina the Younger (15 M.–59 M.) ialah salah seorang wanita paling berkuasa pada zaman Rom purba. Agrippina ialah cucu kepada Maharaja Augustus dan adik Maharaja Caligula. Dia juga kuat mempengaruhi dua Maharaja Rom yang lain – suaminya Claudius dan anaknya Nero. | UMUM | |
ARGUS | Argus ialah raksasa besar dalam mitologi Yunani. Ia mempunyai 100 biji mata dan dikenali sebagai Panoptes, yang bermakna melihat segalanya. Dewi Hera menugaskan Argus menjaga pesaing yang dibencinya, Puteri Io yang cantik, yang juga perempuan simpanan suaminya, Zeus. Atas alasan ini, perkataan argus kadangkala digunakan untuk menerangkan penjaga yang sentiasa berjaga-jaga. | UMUM | |