SUNGAI AMAZON | Sungai Amazon ialah sungai kedua terpanjang di dunia selepas Sungai Nil di Afrika. Sungai ini merupakan sungai utama di Amerika Selatan dan sepanjang 6437 kilometer. Sungai Amazon mengandungi lebih banyak air daripada sungai-sungai lain seperti Sungai Mississippi, Sungai Yangtze, dan Sungai Nil yang digabungkan bersama. | UMUM | |
SUNGAI ZAMBEZI | Sungai Zambezi ialah sungai yang keempat terpanjang di Afrika selepas Sungai Nil, Sungai Congo, dan Sungai Niger. Sungai Zambezi berpunca di Zambia, berhampiran sempadan Zaire dengan Angola. Sungai tersebut mengikut aliran yang berliku-liku sejauh 2736 kilometer, memisahkan Zambia daripada Zimbabwe dan merentasi Mozambique dan mengalir masuk ke Terusan Mozambique [lihat Afrika (peta)]. Sungai Zambezi mempunyai banyak cabang dan menyalirkan kawasan lebih daripada 1 300 000 kilometer persegi. | UMUM | |
SUNGAI INDUS | Sungai Indus ialah sungai yang terpanjang di Pakistan. Dalam puisi purba sejarah India, sungai ini dikenali sebagai “Raja Sungai”. Sungai ini menjadi sumber kepada salah satu sistem saliran yang terbesar di dunia. Sungai Indus berpunca di Tibet di utara Pergunungan Himalaya pada ketinggian 5180 meter, mengalir ke barat dan ke barat daya sepanjang kira-kira 2897 kilometer dan mengalir masuk ke Laut Arab melalui beberapa muara. | UMUM | |
SUNGAI UBANGI | Sungai Ubangi ialah anak sungai utama di sebelah utara Sungai Congo, Afrika. Sungai Ubangi yang dieja sebagai Oubangui, berukuran kira-kira 2250 kilometer panjang termasuk hulu sungainya iaitu Sungai Mbomu. Sungai ini terbentuk daripada gabungan Sungai Mbomu dengan Sungai Uele, dan mengalir masuk ke dalam Sungai Congo berhampiran Tasik Tumba di Zaire. Sungai Ubangi membentuk garisan sempadan sepanjang kira-kira 1100 kilometer yang memisahkan Zaire dengan Congo di sebelah barat, dan Republik Afrika Tengah di sebelah barat laut. Sungai ini boleh dilayari sepanjang tahun bermula dari bahagian hilir Bangui, Republik Afrika Tengah. | UMUM | |
SUNGAI TIBER | Sungai Tiber ialah sungai ketiga terpanjang di Itali selepas Sungai Po dan Sungai Adige. Sungai Tiber berpunca dari Pergunungan Apennines di bahagian tengah Itali, yang mempunyai ketinggian 1268 meter di atas aras laut. Sungai ini mengalir sejauh 390 kilometer melalui Pergunungan Sabine, iaitu satu banjaran Pergunungan Apennines, kemudian melalui Rom dan terus ke Laut Tyrrhenian (lihat Itali [peta rupa bumi]). Ia mengalir ke laut melalui cawangan-cawangannya di Ostia dan Fiumicino. Sungai Tiber sering melimpahi tebingnya. Tambak banjir telah dibina di Rom. | UMUM | |
SUNGAI CONGO | Sungai Congo, dikenali juga sebagai Sungai Zaire, ialah sungai yang kelima terpanjang di dunia. Ia bermula di selatan Kabalo, Zaire, tempat Sungai Lualaba dan Luvua bertemu. Dari tempat ini hingga Air Terjun Boyoma (dahulu dikenali sebagai Air Terjun Stanley), sungai ini dikenali sebagai Sungai Lualaba. Selepas Air Terjun Boyoma, sungainya dikenali pula sebagai Sungai Congo. Di Zaire, ia dikenali sebagai Sungai Zaire. Sungai Congo (Zaire) mengalir sejauh 4667 kilometer melalui barat-tengah Afrika tengah. Sungai ini mengalirkan air yang terbanyak berbanding sungai-sungai lain kecuali Sungai Amazon. Sungai ini menyaliri kawasan seluas kira-kira 3 630 000 kilometer persegi. | UMUM | |
SUNGAI PARANÁ | Sungai Paraná ialah sungai kedua terpanjang di Amerika Selatan selepas Sungai Amazon. Panjangnya kira-kira 4000 kilometer. Sungai Paraná berpunca di selatan Brazil, iaitu pertemuan Sungai Rio Grande dan Sungai Paranaiba. Dari sini, Sungai Paraná mengalir ke selatan melalui Brazil dan sepanjang sempadan di antara Brazil dengan Paraguay. Kemudian sungai ini menjadi sempadan di antara Paraguay dengan Argentina dan mengalir melalui Argentina. Sungai ini masuk ke Lautan Atlantik melalui muara yang dikenali sebagai Sungai Plata (Rio de la Plata). Kapal boleh mudik melalui muara itu dan terus sampai ke Paraná sejauh Rosario, Argentina, iaitu 640 kilometer dari Lautan Atlantik. Sungai Paraguay ialah cabang utama Sungai Paraná. Lihat juga Rio de la Plata; Sungai Paraguay. | UMUM | |
SUNGAI NIGER | Sungai Niger ialah sungai yang ketiga terpanjang di Afrika selepas Sungai Nil dan Sungai Congo (Zaire). Sungai Niger mengalir sejauh kira-kira 4180 kilometer di barat Afrika. Ia membawa lebih banyak air daripada mana-mana sungai di Afrika yang lain kecuali Sungai Congo (Zaire). Sungai Niger menyaliri kawasan seluas kira-kira 1 500 000 kilometer persegi. | UMUM | |
SUNGAI PERAK | SUNGAI PERAK, sungai kedua terpanjang di Malaysia iaitu lebih kurang 400 km. Dari muara Sungai Perak hingga ke bandar Kuala Kangsar terdapat sebanyak 99 cawangan sungai. Di tengah-tengah aliran sungai ini terdapat banyak pulau kecil. Sungai Perak bermula dari Gunung Hulu Merah, yang terletak di sempadan Perak – Thailand yang ketinggiannya melebihi 1000 m. Cawangan utama Sungai Perak ialah Sungai Kinta, Sungai Batang padang, Sungai Bidor, Sungai Tangkas, Sungai Tiang, Sungai Pial, Sungai Kerunei, Sungai Temenggor, Sungai Pelus, Sungai Lenggong, Sungai Temelong dan Sungai Kangsar. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bandar/Negeri/Negara/Tempat |
SUNGAI RAJANG | Sungai Rajang, sungai terpanjang di Malaysia. Sungai sepanjang 563 kilometer ini berpunca dari banjaran gunung yang berhampiran dengan sempadan Sarawak dari Indonesia. Ia terdiri daripada dua cabang utama iaitu Sungai Baleh dan Sungai Balui. Panjang sungai ini adalah satu per lima daripada panjang Sungai Amazon (Amerika Selatan) dan Sungai Yangtze, dan hampir satu per tiga panjang Sungai Danube. | UMUM | |