SURAH-SURAH AL-QUR'AN | Surah-surah al-Qur’an, kumpulan ayat yang terdapat dalam al-Qur’an. Ia mempunyai permulaan dan pengakhiran yang khusus bahkan terputus dari surah yang sebelumnya. Semua surah dimulakan dengan bacaan Bismillah kecuali surah al-Tawbah. Perkataan ‘surah’ sebenarnya diambil daripada perkataan suwar. Perkataan suwar pula bermaksud pagar kota. Perkataan suwar juga kata jamak untuk perkataan surah. | UMUM | |
SURAH AL-NISA' | Surah al-Nisa’ ialah salah satu daripada surah Madaniyyah, surah yang keempat mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi 176 ayat. Ia dinamakan al-Nisa’ (wanita) kerana di dalam surah ini terdapat banyak hukum yang berkaitan dengan wanita sedangkan hukum-hukum sebegini tidak terdapat dalam surah-surah lain. Surah al-Nisa’ juga disebut surah al-Nisa’ al-Kubra berbeza dengan surah al-Nisa’ al-Sughra yang juga dikenali dalam al-Qur’an sebagai surah al-Talaq. Surah al-Nisa’ ini seperti juga surah-surah Madaniyyah lain, membahaskan secara terperinci mengenai hukum-hukum syariah yang mengatur kehidupan dalaman serta luaran kaum Muslimin iaitu tanggungjawab, hukum-hukum syariah, menceritakan mengenai asas-asas penting yang bersangkutan dengan kaum wanita, rumah tangga, keluarga, negara dan masyarakat. | UMUM | |
SURAH AL-QIYAMAH | Surah al-Qiyamah ialah salah satu daripada surah-surah Makkiyyah, surah yang ke-75 mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi 40 ayat. Surah ini dinamakan al-Qiyamah kerana gambaran hari kiamat dan perkara-perkara dahsyat yang berlaku pada hari tersebut. Firman Allah S.W.T. bermaksud: “Maka apabila pemandangan menjadi bingung (kerana ketakutan). Dan bulan menjadi gelap. Dan dikumpulkan matahari dan bulan”. (Surah al-Qiyamah 75:7–9) | UMUM | |
SURAH AL-BAQARAH | Surah al-Baqarah ialah salah satu daripada surah-surah Madaniyyah, surah yang kedua mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi 286 ayat. Surah ini dinamakan al- Baqarah (lembu betina) untuk mengingati mukjizat terbesar yang berlaku pada zaman Nabi Musa a.s. Ia mengandungi kisah seorang lelaki daripada Bani Israel yang telah dibunuh. Pembunuhnya tidak dapat diketahui. Mereka mengemukakan perkara ini kepada Nabi Musa a.s. dengan harapan baginda dapat mengetahui siapa si pembunuhnya. Lalu Allah S.W.T. mewahyukan kepada Nabi Musa a.s. supaya memerintahkan mereka menyembelih seekor lembu betina dan memukul si mati dengan sebahagian dagingnya. Maka, dengan izin Allah S.W.T. si mati itu hidup semula dan memberitahu mereka siapa pembunuhnya. Peristiwa ini menjadi bukti kekuasaan Allah S.W.T. yang dapat menghidupkan makhluk sesudah ia mati. | UMUM | |
SURAH AL-BAYYINAH | Surah al-Bayyinah ialah salah satu daripada surah-surah Madaniyyah, surah yang ke-98 mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi lapan ayat. Surah ini dinamakan al- Bayyinah (keterangan) berdasarkan firman Allah S.W.T., yang bermaksud: “Dan tidaklah berpecah-belah orang-orang yang didatangkan al-kitab (kepada mereka) melainkan sesudah datang kepada mereka keterangan yang nyata”. | UMUM | |
SURAH AL-QADR | Surah al-Qadr ialah salah satu daripada surah Makkiyyah, surah yang ke-97 mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi lima ayat. Surah ini dinamakan al-Qadr kerana perkara yang dibincangkan dalam surah ini ialah Laylatul Qadr, iaitu malam yang penuh keberkatan kerana al- Qur’an al-Karim diturunkan pada malam tersebut. Surah al-Qadr, seperti juga dengan surah-surah lain yang diturunkan di Makkah, menyentuh prinsip-prinsip akidah Islam dan aspek yang disentuh dalam surah ini ialah turunnya mukjizat Rasulullah s.a.w. yang terbesar, iaitu al-Qur’an al- Karim. | UMUM | |
SURAH AL-ANBIYA' | Surah al-Anbiya’ ialah salah satu daripada surah Makkiyyah, surah yang ke-21 mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi 112 ayat. Surah ini dinamakan Surah al-Anbiya’ kerana di dalamnya Allah S.W.T. menyebut kisah beberapa orang nabi yang mulia. Kadang-kadang kisah para nabi ini diceritakan dengan panjang lebar dan kadang-kadang ringkas sahaja. | UMUM | |
SURAH AL-TAHRIM | Surah al-Tahrim ialah salah satu daripada surah Madaniyyah, surah yang ke-66 mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi 12 ayat. Surah ini dikenali dengan al-Tahrim, kerana perkataan ini telah datang di permulaan surah al- Tahrim yang bermaksud: “Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu)”. (Surah al-Tahrim 66:1) | UMUM | |
SURAH AL-KAWTHAR | Surah al-Kawthar ialah salah satu daripada surah Makkiyyah, surah yang ke-108 mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi tiga ayat. Ia dinamakan surah al-Kawthar (kebaikan yang banyak) berdasarkan firman Allah S.W.T. di dalam surah tersebut yang bermaksud: “Sesungguhnya kami telah berikan kepadamu nikmat yang banyak (al-Kawthar)”. (Surah al-Kawthar 108:1) | UMUM | |
SURAH AL-FATIHAH | Surah al-Fatihah ialah salah satu daripada surah Makkiyyah, surah yang pertama mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi tujuh ayat. Surah ini dinamakan al-Fatihah (pembuka) kerana surah ini menjadi pembuka kitab al-Qur’an dan terletak di awal kitab dari segi susunannya, bukan berdasarkan masa turunnya dari langit. Ia juga dikenali dengan nama Umm al-Kitab, Sab’ al- Mathaniy, al-Shafiyah, al-Wafiyah, al-Kafiyah, al- Asas dan al-Hamd. | UMUM | |